PhotobucketPhotobucketPhotobucketPhotobucket

23 January 2012

Selamat Menyambut Tahun Baru Cina

Admin@5ATP ingin mengucapkan SELAMAT MENYAMBUT TAHUN BARU CINA kepada semua kaum masyarakat cina di negara ini.
Sehubungan dengan sambutan ini, saya berbesar hati ingin berkongsi mengenai Tahun Baru Cina (sumber : wikipedia).

Tahun Baru Cina merupakan perayaan terpenting orang Cina bagi menyambut tahun baru dalam kalendar qamari Cina. Kalendar qamari Cina terbahagi kepada kitaran 12 tahun dan dinamakan sempena nama haiwan.

Tahun Baru Cina melambangkan permulaan, titik permulaan dalam nasib dan kehidupan. Sebelum hari tahun baru bermula, sanak saudara yang jauh akan kembali berkumpul. Rumah akan dicuci dan segala hutang-piutang dikutip atau dibayar agar mereka tidak sentiasa dikelilingi hutang sepanjang tahun yang baru. Mercun dibakar pada tengah malam bagi menandakan bermulanya tahun baru dan bagi menghalau puaka dan nasib malang. Rumah-rumah dihiasi dengan buah limau sebagai simbol murah rezeki, bunga dan pokok limau.
Tahun Baru Cina diraikan dengan jamuan yee sang dan kuih bakul. Kaum keluarga akan makan besar dengan masakan tradisi seperti daging itik, daging salai, sosej, kuih pulut, dan limau mandarin. Golongan muda pula akan melawat golongan tua dan menerima wang ang pau dalam sampul merah bagi melambangkan nasib baik, yang diberikan oleh orang yang berkeluarga kepada mereka yang masih belum kahwin. Perarakan tarian naga atau singa akan diadakan, dengan kereta berhias yang diiringi bunyi gendang. Lima belas hari selepas

13 January 2012

35 PETUA PELAJAR CEMERLANG DARI DR FADZILAH KAMSAH

Berikut merupakan petua-petua dan ciri-ciri yang ada pada pelajar cemerlang, dari Dr Fadzilah Kamsah. Pelajar cemerlang akan:

  1. Menggunakan kedua-dua belah otak kanan & kiri. Ini dapat dilakukan dengan membuat aktiviti merangsang kedua-dua belah otak tersebut.
  2. Merangsang kesemua deria dalam pembelajaran. Kajian menunjukkan bahawa:
    1. kita ingat 10 % apayang dibaca
    2. kita ingat 20% apa yang didengar
    3. kita ingat 50 % apa yang didengar & dilihat
    4. kita ingat 70% apa yang dicakapkan
    5. kita ingat 90% setelah dipraktikkan
  3. Belajar secara aktif dengan pen/pensil ditangan.
  4. Belajar 3 jam sehari atau 20 jam seminggu (tidak termasuk kerja rumah).
    ...Tahu memberi ganjaran kepada diri sendiri selepas belajar seperti membaca surat khabar, melawat rakan dan sebagainya....
  5. Belajar dalam persekitaran kondusif.
    1. pastikan cahaya adalah terang
    2. kurangkan gangguan bunyi
    3. tampal poster yang mengandungi slogan yang menaikkan semangat belajar
    4. tampal gambar-gambar yang menenangkan fikiran
    5. kerusi dan meja menghadap kiblat
    6. jangan lupa untuk senyum
  6. Tidak ponteng kelas. Kalau tertinggal kelas, salin

06 January 2012

Puisi Syair - Siti Sianah ting.4

Maksud
Rangkap 1
Segelintir wanita berlebih-lebihan ketika berdandan seperti mencukur bulu roma di muka dan membentuk kening. Mereka juga berhias dan memakai pakaian yang selengkapnya.
Rangkap 2
Terdapat segelintir wanita yang ketawa mengilai-ngilai. Malahan, di hadapan lelaki dia akan menunjuk-nunjukkan mukanya supaya lelaki tersebut terpikat akan kecantikannya.
Rangkap 3
Ada sesetengah wanita yang suka bersolek dan berhias. Mereka juga sanggup membuang masa di hadapan cermin bagi melihat wajah mereka.
Rangkap 4
Terdapat segelintir wanita yang tidak begitu cantik dan jelita. Malahan, hidungnya kembang dan tidak

03 January 2012

Prosa Tradisional - Hikayat Indera Nata ting.4

Sinopsis
 
Kisah bermula bermula apabila Indera Jenaka tiba ke negeri Rom setelah sekian lama mengembara dan sampai ke rumah bondanya Si Batu Kembar . Bondanya bertanya tentang Si Piatu. Indera Jenaka memberitahu bahawa Si Piatu itu sebenarnya adalah Indera Nata yang berani dengan segala binatang buas dan boleh bercakap dengan segala binatang. Indera Nata telah menyeberangi lautan dengan bantuan ular sakti ke negeri Pattani. Indera Nata juga telah menyelamatkan Indera Jenaka daripada dibaham binatang buas. Tuanku Syah Alam mengkagumi Indera Nata apabila mendengar cerita daripada Indera Jenaka.
 
Kisah selanjutnya, Indera Nata pergi mengembara dan ternampak sebuah bukit yang terlalu tinggi dan terdapat sebuah rumah di situ. Di sebelah rumah tersebut terdapat sebuah mahligai dan dia melihat tujuh orang puteri di dalamnya . Indera Nata memperkenalkan dirinya sebagai anak Raja Rom dan memberitahu tujuannya datang atas perintah ayahandanya mencari gajah bergadingkan emas. Puteri-puteri itu gembira dengan kedatangan Indera Nata dan memperkenalkan diri mereka yang berasal dari negara yang berlainan. Salah seorang puteri tersebut iaitu Tuan Puteri Cendera Kesuma memberitahu mereka telah ditawan oleh sepasang suami isteri raksasa untuk dimakan apabila mereka dewasa. Puteri Cedera Kesuma bercadang meminta pertolongan raksasa untuk mencari gajah bergading emas bagi membantu Indera Nata mendapatkan gajah itu segera.
 
Apabila raksasa pulang, Indera Nata disembunyikan di dalam peti emas dan puteri-puteri itu membuat helah kepada raksasa dengan mengatakan jika hendakkan mereka cepat dewasa dan boleh dimakan hati mereka , perlulah mencari gajah bergading emas. Raksasa pergi ke hutan mencari gajah bergading emas dan secara kebetulan terserempak dengan Raja Rom yang menaiki gajah bergading emas dan pengikut-pengikutnya pergi berburu . Raksasa berasa gembira dan telah membunuh mereka semua dan membawa balik gajah bergading emas.
Sekali lagi Tuan Puteri Cendera Kesuma membuat helah supaya raksasa mencari kijang putih bertanduk emas dan memberikan kain hitam untuk dicuci sampai putih sebagai tanda sayang raksasa kepada mereka. Raksasa lelaki keluar mencari kijang putih bertanduk emas sementara raksasa perempuan pergi mencuci kain hitam supaya menjadi putih. Pada masa itulah, Indera Nata membawa ketujuh-tujuh puteri melarikan diri dengan menaiki gajah bergading emas bersama semua harta dalam mahligai itu.
 
Kedua-dua raksasa itu gagal mencari kijang putih bertanduk emas dan memutihkan kain yang hitam, mereka kembali ke mahligai dan mendapati gajah bergading emas dan ketujuh-tujuh puteri telah hilang. Kedua-dua raksasa terlalu marah dan segera mengikuti kesan tapak kaki gajah dan akhirnya ternampak ketujuh-tujuh puteri bersama Indera Nata di atas gajah. Indera Nata dan ketujuh-tujuh puteri menangis ketakutan apabila mendengar suara raksasa sehingga sampai ke tepi pantai. Indera Nata meminta Betara Gangga dengan menggunakan gemala hikmat dan Betara Gangga mengarahkan ular sakti dan naga membawa Indera Nata dan ketujuh-tujuh puteri menyeberangi lautan. Ular sakti dan naga tersebut membawa mereka semua ke seberang. Raksasa yang tiba di tepi pantai cuba menarik Indera Nata dan ketujuh-tujuh puteri di seberang tetapi ular sakti dan naga telah menarik raksasa ke tengah laut menyebabkan kedua-dua raksasa itu mati.
 
Indera Nata bersama ketujuh-tujuh puteri telah berjalan selama tujuh hari tujuh malam sehingga sampai ke rumah bondanya Tuan Puteri Cenderawati. Bondanya sangat gembira melihat kedatangan mereka. Indera Nata menceritakan semua peristiwa yang berlaku dan ketujuh-tujuh puteri bercerita tentang diri mereka kepada Tuan Puteri Cederawati. Mereka semua tinggal bersama Tuan Puteri Cenderawati.
 
Tema
 
Pengembaraan Anak Raja Menempuh Pelbagai Cabaran
Indera Nata mengembara mencari gajah bergading emas atas perintah ayahandanya, Raja Rom. Pelbagai cabaran dihadapi dalam pengembaraan tersebut antaranya menemui binatang buas di dalam hutan, mendaki bukit yang terlalu tinggi, menyelamatkan tujuh orang puteri daripada tawanan raksasa, dan hampir ditangkap dan dibunuh oleh raksasa.
 
Persoalan
 
1. Persoalan keberanian dan kehebatan anak raja
 Indera Nata berani menentang binatang buas dan menyelamatkan Indera Jenaka daripada dibaham binatang buas yang terdapat di dalam hutan.
 Indera Nata berani masuk ke mahliga raksasa dan menyelamatkan tujuh orang puteri.
 Indera Nata mempunyai kebolehan bercakap atau berinteraksi dengan haiwan.
 
2. Persoalan kasih sayang seorang ibu terhadap anaknya
 Si Batu Kembar memeluk dan mencium anaknya Indera Jenaka yang baru balik darpada mengembara.
 Ibu Indera Nata iaitu Tuan Puteri Cenderawati sangat bimbang dan bersedih ketika menunggu kepulangan anaknya itu daripada mengembara.
 
3. Persoalan kebijaksanaan untuk mendapatkan sesuatu dan menyelamatkan diri
 Tuan Puteri Cendera Kesuma membuat helah dengan menyuruh raksasa mencari gajah bergading emas sekiranya raksasa mahukan mereka cepat besar, tetapi sebenarnya dia bertujuan membantu Indera Nata mendapatkan gajah bergading emas segera.
 Tuan Puteri Cendera Kesuma membuat helah sekali lagi dengan menyuruh raksasa lelaki mencari kijang putih bertanduk emas dan raksasa perempuan mencuci kain hitam menjadi putih sebagai tanda sayang kepada mereka. Sebenarnya dia bertujuan untuk melarikan diri bersama Indera Nata dan puteri-puteri yang lain semasa ketiadaan raksasa.
 
4. Persoalan tolong-menolong sesama manusia
 Indera Nata membantu menyelamatkan Indera Jenaka daripada serangan binatang buas di hutan.
 Indera Nata membantu menyelamatkan ketujuh-tujuh puteri daripada tawanan raksasa.
 
Watak dan Perwatakan
 
Watak Utama
 
Indera Nata
 Anak kepada Raja Rom dan Tuan Puteri Cenderawati
 Digelar Si Piatu
 Sangat disayangi oleh ibunya - Ibu Indera Nata iaitu Tuan Puteri Cenderawati sangat bimbang dan bersedih ketika menunggu kepulangan anaknya itu daripada mengembara.
 Mempunyai kesaktian – Indera Jenaka hairan melihat kelakuan Indera Nata yang boleh bercakap dengan binatang.
 Seorang yang berani –Menyelamatkan Indera Jenaka daripada serangan binatang buas
 Seorang yang baik hati - Menyelamatkan tujuh orang puteri daripada tawanan raksasa.
 
Watak Sampingan
 
Tuan Puteri Cendera Kesuma
 Anak Raja Mesir
 Memiliki rupa paras yang cantik
 Menjadi tawanan raksasa .
 Petah berkata-kata -Tuan Puteri bukan sahaja cantik malah pandai berkata-kata dan berpantun.
 Bijaksana – pandai membuat helah untuk membantu Indera Nata dan untuk menyelamatkan diri daripada raksasa
 
Raksasa suami isteri
 Tinggal di mahligai di atas sebuah bukit yang tinggi.
 Kejam – menawan tujuh orang puteri untuk dijadikan makanan.
 Besar, kuat dan gagah. – gerakan mereka berbunyi seperti rebut
 Pemarah dan ganas – membunuh semua rombongan Raja Rom yang pergi berburu untuk mendapatkan gajah bergading emas yang dinaiki oleh Raja Rom
 Mudah diperdaya – percaya helah yang dibuat oleh Tuan Puteri Cendera Kesuma
 
Indera Jenaka
 Anak Tuanku Syah Alam dan Si Batu Kembar
 Menghargai jasa – Indera Jenaka menghargai Indera Nata dengan menceritakan kebaikan dan kelebihan Indera Nata kepada kedua-dua ibu bapanya.
 Seorang yang berterus terang - Memberitahu kedua-dua ibu bapanya siapa sebenarnya Si Piatu iaitu Indera Nata.
 
Latar
 
Latar Tempat
i. Negeri Rom (rumah Si Batu Kembar)
 Indera Jenaka menceritakan kepada ibu bapanya siapa Si Piatu dan darihal Indera Nata
ii. Negeri Pattani
 Indera Nata menentang haiwan buas dan menyelamatkan Indera Jenaka dan Indera Nata boleh bercakap dengan haiwan.
iii. Sebuah bukit yang tinggi
 Tempat tinggal sepasang raksasa suami isteri di sebuah mahligai yang indah bersama-sama tujuh orang puteri yang ditawan.
iv. Sebuah peti emas
 Tempat Indera Nata disembunyikan oleh Tuan Puteri Cendera Kesuma semasa raksasa balik ke mahligai.
v. Tepi Laut / Pantai
 Tempat isteri raksasa mencuci kain hitam supaya menjadi putih.
Rumah Bonda Indera Nata (Tuan Puteri Cenderawati)
 Kepulangan Indera Nata bersama tujuh puteri.
 Ketujuh-tujuh puteri menetap di situ.
 
Latar Masa
 Waktu pagi – raksasa keluar mencari kijang putih bertanduk emas.
 Waktu petang – raksasa tidur.
 Waktu siang – raksasa keluar mencari gajah bergading emas.
 Tujuh hari tujuh malam – perjalanan Indera Nata pulang ke rumah bondanya bersama tujuh puteri.
 Waktu tengah malam – Indera Nata tiba di rumah bondanya bersam tujuh puteri.
 
Latar Masyarakat
 Golongan bangsawan – Raja Rom, Tuanku Alam Syah, Tuan Puteri Cenderawati, Tuan Puteri Cendera Kesuma
 Golongan bawahan – rakyat yang mengikut Raja Rom pergi berburu yang semuanya dimakan oleh raksasa
 Masyarakat taat kepada perintah – Indera Nata mengikut perintah Raja Rom mengembara mencari gajah bergading emas
 Masyarakat yang memiliki kesaktian dan hikmat- Indera Nata boleh berinteraksi dan bercakap dengan haiwan, mempunyai gemala hikmat yang boleh menyeru dan meminta bantuan Betara Gangga.
 Masyarakat raksasa – sepasang suami isteri raksasa yang tinggal di atas sebuah bukit.
 Masyarakat haiwan – gajah bergading emas, ular sakti dan naga
 
Gaya Bahasa
 
 Bahasa Klasik – sebermula, hatta
 Bahasa istana - tuanku , kakanda , anakanda .
 Simile – maka ia mendengar bunyi seperti ribut , ia berani dengan segala binatang itu adalah ia berkata-kata seperti ia berkata dengan manusia juga.
 Puisi – pantun contoh:
Ikan pari bertelur beribu
Bertelur sejengkal juga;
Hujan arah ke langit biru,
Tawakalku dapat juga.
 Bahasa Arab – Allah
 Hiperbola – gajah bergadingkan emas , kijang putih bertandukkan emas , parasnya gilang-gemilang, cahayanya kilau-kilauan.
 
 
Nilai
 
 Nilai Bijaksana – Tuan Puteri Cendera Kesuma membuat helah untuk melepaskan diri.
 Nilai Keberanian – Indera Nata berani masuk ke mahligai raksasa dan menyelamatkan tujuh puteri.
 Nilai Kasih Sayang – Tuan Puteri Cenderawati amat menyayangi Indera Nata.
 Nilai Tolong-menolong - Indera Nata menyelamatkan tujuh puteri daripada tawanan raksasa dan Tuan Puteri Cendera Kesuma membuat helah supaya raksasa mencari gajah bergading emas bagi membantu Indera Nata.
 
Pengajaran
 
 Kita mestilah berusaha bersungguh-sungguh untuk mencapai sesuatu yang dihajati.
 Kita mestilah saling menyayangi antara satu sama lain supaya dapat hidup harmoni.
 Kita hendaklah bijak menyelesaikan masalah yang timbul.
 Kita mestilah menghargai budi yang diterima dan membalas dengan sebaik-baiknya.
 Kita hendaklah tolong-menolong antara satu sama lain.

Prosa Tradisional - Hikayat Khoja Maimun ting.4

Sinopsis
Bab 1 :
Khoja Maimun yang berasal dari negeri Ajam, mempunyai seorang isteri yang cantik bernama Bibi Zainab. Pada suatu hari, mereka pergi ke pekan lalu membeli seekor burung Bayan jantan dengan harga seribu dinar. Burung itu sungguh istimewa kerana boleh membuat ramalan. Menurut ramalannya, dalam masa tiga hari lagi Khoja Maimun akan mendapat keuntungan hasil daripada menjual sanbal ( wangi-wangian). Hasil keuntungan tersebut, Khoja Maimun turut membeli seekor burung tiung betina.
Khoja Maimun keluar berniaga dan meninggalkan isteri tercintanya di rumah. Pemergiannya menyebabkan Bibi Zainab berasa sunyi lalu duduk di tepi jendela. Pada ketika itu dia terpandang anak raja negeri yang sangat kacak dan mereka saling jatuh hati. Bibi Zainab ingin berjumpa dengan anak raja itu lalu meminta nasihat burung tiung. Namun, tiung melarangnya dengan memberi nasihat bahawa perbuatan tersebut bertentangan dengan hukum Allah. Bibi Zainab amat marah mendengar nasihat itu, lantas menghempas tiung sehingga mati. Seterusnya, dia meminta pandangan daripada Bayan pula. Bayan berusaha melalaikan Bibi Zainab dengan bercerita kepadanya.
Bab 2: Cetera Pertama
Cetera pertama berkisar tentang Kisah Bayan yang dicabut bulunya oleh isteri saudagar. Isteri saudagar berbuat demikian kerana mengesyaki bahawa Bayan telah membocorkan dia telah bermukah dengan seorang fakir kepada suaminya. Bayan menyembunyikan dirinya di dalam saluran tempat membuang air beras menyebabkan isteri saudagar tersebut mengganggap Bayan telah mati
Isteri saudagar menberitahu kepada suaminya bahawa bayan telah mati akibat dimakan kucing. Namun, helah itu diketahui suaminya menyebabkan saudagar tersebut marah dan menghalau isterinya. Dia telah pergi ke kubur Tuan Sheikh Wali Allah untuk memohon doa agar suaminya menerimanya kembali. Setelah bulu bayan tumbuh kembali, dia keluar dari tempat persembunyian lalu terbang ke kubur Tuan Syeikh untuk menyuruh isteri saudagar bertaubat. Bayan menyuruh isteri saudagar mencukur rambut dan bulu kening kerana ingin membalas dendam. Bayan menyatakan hasrat untuk membantu isteri saudagar agar dapat kembali ke pangkuan suaminya. Bayan menemui saudagar dan menjelaskan bahawa bukan isterinya yang membunuh Bayan, menyebabkan isterinya diterima kembali.
Bayan menyuruh Bibi Zainab menemui anak raja yang dicintainya, malangnya hari telah siang. Pada hari yang lain Bibi Zainab sekali lagi ingin keluar menemuai anak raja itu, namun Bayan telah bercerita tentang Hikayat Taif untuk melalaikannya.
Bab 3: Cetera Kedua
Taif menemui Raja Tabristan kerana Raja Arab tidak menghargai jasa yang dicurahkannya selama ini. Kehadirannya dialu-alukan dan Raja Tabristan yang menganugerahinya emas, perak dan tempat penginapan. Dalam suatu majlis keramaian, Taif telah menyatakan hasrat untuk melawan Isteri Syah Alam sehingga menyebabkan rajanya murka.
Suatu malam ketika Taif sedang berkawal, Raja Tabristan terdengar suara perempuan. Raja menitahkan Taif untuk menyiasat perkara tersebut. Menurut perempuan itu, jika Taif inginkan daulat raja Tabristan bertambah dan umur baginda dipanjangkan, dia harus membunuh anaknya sendiri. Taif begitu setia dan rela melakukan perkara tersebut, namun dihalang oleh perempuan itu kerana dia sebenarnya hanya ingin menguji Taif.
Peristiwa itu sebenarnya diintip oleh Raja Tabristan. Ketaatan Taif menyebabkan dia dianugerahi sebuah negeri dan harta yang banyak. Cerita itu sekali lagi melalaikan Bibi Zainab menyebabkan dia tidak berkesempatan untuk bertemu kekasihnya. Malam berikutnya, Bayan bercerita lagi.
Bab 4 : Cetera Ketiga
Terdapat seorang suami yang begitu mencemburui isterinya menyebabkan segala tindak tanduk isterinyanya dikawal. Isterinya telah bercerita tentang seorang suami yang terlalu memahami isterinya dan tidak akan marah walaupun isterinya berlaku sumbang terhadapnya.
Hal ini demikian kerana, dia pernah melihat suami yang cemburu turut diduakan oleh isterinya. Akibat terlalu cemburu si suami sanggup menjadikan dirinya seekor gajah untuk membawanya berjalan-jalan, kerana bimbang isterinya akan bersenda gurau dengan lelaki lain.
Isteri kepada suami yang cemburu itu selalu menegaskan kepada suaminya bahawa dia setia, namun kesetiaannya masih diragui. Oleh sebab itu, dia membekalkan bunga dan sehelai kain kesumba ketika suaminya pergi belayar. Jika isterinya curang, bunga itu akan layu dan kain itu akan luntur
Bunga yang dibawa oleh saudagar (suami) itu tidak layu walaupun ketika itu musim kemarau. Raja di negeri itu tertanya-tanya akan keunikan bunga itu menyebabkan saudagar itu menceritakan hal sebenar. Kebijaksanaan isteri saudagar itu menyebabkan Raja ingin menguji kesetiaan isteri saudagar dengan menghantar seorang hamba raja menemuinya namun gagal. Seterusnya, tiga orang hamba dihantar untuk menguji kesetiaan isteri saudagar tadi, namun turut mengalami kegagalan. Akhirnya raja sendiri yang pergi untuk menguji isteri saudagar tadi. Isteri saudagar menasihati Raja agar takut akan azab Allah dan segera bertaubat.
Sekali lagi Bibi Zainab gagal menemui kekasihnya. Hajatnya masih tidak kesampaian apabila Bayan bercerita pula kisah Hikayat Serimala dengan Pandai Emas. Akhirnya, Bibi Zainab insaf dan sedar bahawa seorang perempuan mestilah taat kepada suaminya. Nilai etika yang harus diutamakan oleh golongan wanita terutamanya para isteri.
Tema 
Cerita-cerita yang disampaikan oleh Bayan berkisar tentang pentingnya kesetiaan seseorang isteri dan perlu memiliki etika yang murni untuk menghindarkan daripada berlaku curang.
Persoalan 
1. Persoalan kebijaksanaan melaksanakan sesuatu tindakan.
Apabila melihat Bibi Zainab menghempas burung tiung sehingga mati, bayan berpura-pura tidur.

2. Persoalan kecurangan seorang isteri
Semasa ketiadaan suami, Bibi Zainab jatuh hati dengan anak raja.
3. Persoalan kewajipan menjalankan tanggungjawab terhadap keluarga.
Khoja Maimun keluar berniaga untuk mencari rezeki.
4. Persoalan kejujuran dalam sebuah perhubungan
Isteri saudagar jujur terhadap suaminya walaupun banyak lelaki cuba mendekatinya.
Plot 
Secara keseluruhannya plot prosa tradisional digarap mengikut kronologi. Terdapat empat peringkat garapan plot iaitu:
  
i. Permulaan
Khoja Maimun digambarkan sebagai seorang saudagar yang kaya dan memiliki isteri yang cantik bernama Bibi Zainab. Mereka membeli burung bayan jantan dan tiung betina. Khoja Maimun mengusahakankan perniagaannya di tempat lain tanpa membawa isterinya.
ii. Perkembangan
Bibi Zainab rindu akan suaminya yang pergi belajar. Bibi Zainab jatuh hati kepada anak raja. Dalam Cetera Pertama, Bayan bercerita kisah seekor burung Bayan yang dicabut bulunya oleh isteri saudagar. Manakala dalam cetera kedua, Bayan bercerita kisah Taif dengan Raja Tabristan. Seterusnya dalam Cetera Ketiga, Bayan bercerita kisah suami yang amat cemburu kepada isterinya.
iii. Konflik
Bibi Zainab ingin bertemu dengan anak raja semasa ketiadaan suaminya.
iv. Klimaks
Bibi Zainab berpakaian cantik untuk bertemu kekasihnya. Bayan menasihati Bibi Zainab supaya tidak berpakaian yang keterlaluan kerana boleh mendatangkan fitnah.
Plot
v. Peleraian
Bibi Zainab melupakan hasrat untuk bertemu kekasihnya kerana lebih berminat dengan cerita Hikayat Serimala dengan Pandai Emas. Akhirnya Bibi Zainab insaf kerana berniat curang terhadap suaminya.
Watak dan Perwatakan
Watak Utama
Burung Bayan
 Bersaiz kecil
 Taat pada tuannya – Burung Bayan cuba mengelakkan Bibi Zainab daripada berlaku curang kepada tuannya Khoja Maimun.
 Pandai membuat ramalan – Ramalan Burung Bayan bahawa akan datang kafilah untuk membeli sanbal benar-benar terjadi.
 Bijak bercerita – Cerita yang disampaikan Bayan menarik hati Bibi Zainab sehingga dapat mengelakkannya daripada berlaku curang.
Watak Sampingan
Bibi Zainab
 Cantik
 Penyayang terhadap suami – Dia ingin bersama-sama suaminya pergi berlayar.
 Curang – Dia jatuh hati kepada putera raja dan ingin berjumpa pada waktu malam.
 Kejam - Dia membunuh Tiung yang cuba menasihatinya.
Khoja Maimun
 Bertanggungjawab – Dia pergi belayar demi mencari rezeki.
 Penyayang – Dia terlalu kasih akan isterinya Bibi Zainab.
 Bijak – Khoja Maimun bijak menjalankan perniagaan.
Taif
 Setia – Taif tetap berbakti kepada raja walaupun dimurkai oleh raja.
 Rela berkorban - Dia sanggup kematian anaknya demi Raja Tabristan.
 Taat perintah – Taif menurut perintah Raja Tabristan yang mahu dia menyiasat tentang bunyi suara yang didengar.
Latar 
Latar Masa
Waktu malam
 Bibi Zainab berhias dengan cantik untuk menemui kekasih hatinya.
Waktu pagi
 Bayan selesai bercerita pada waktu pagi .
Latar Tempat
i. Negeri Ajam
 Khoja Maimun menetap di situ
ii. Pekan
 Khoja Maimun dan Bibi Zainab membeli burung bayan dan tiung di pekan.
Latar
iii. Jendela
 tempat Bibi Zainab melihat anak raja
iv. Kubur Tuan Syeikh
 Isteri saudagar berdoa di kubur dan bertemu semula dengan Bayan.
Latar Masyarakat
1. Masyarakat yang mementingkan ajaran agama -Isteri saudagar menasihati raja agar bertaubat
2. Masyarakat yang menurut hawa nafsu - Bibi Zainab tidak dapat menahan perasaan berahinya terhadap anak raja
3. Masyarakat yang pemurah - Raja Tabristan menganugerahi Taif pelbagai hadiah.
4. Masyarakat yang jujur memikul amanah yang diberikan - Taif begitu setia dan jujur kepada Raja Tabristan.
Teknik Plot / Teknik Penceritaan 
Pemerian
Pengarang menceritakan suasana ketika Khoja maimun hendak pergi belayar –
Setelah sudah maka Khoja Maimun pun bermohonlah kepada isterinya lalu dipeluk diciumnya akan isterinya yang cantik molek itu, muda molek dengan kelakuannya yang baik dengan tiada yang tidak baiknya itulah adanya, antara keduanya itu bertangisan dengan air matanya serta menaruh akan dua ekor burung itu. Maka Khoja maimun pun pergilah belayar.
Dialog
Dialog antara Khoja Maimun dengan penjual burung bayan di pekan –
“Hendakkah tuan hamba membeli Bayan?”
Maka sahut Khoja Maimun, “Berapa harganya?” Maka kata orang itu, “Seribu dinar Bayan hamba ini harganya.”
Monolog dalaman
Taif pun fikir di dalam hatinya, “Jikalau aku katakan yang sebenarnya pada raja bahawa sekali-kali raja tiada percaya seperti kataku. Jikalau demikian baik aku katakan yang lainlah.”
Gaya Bahasa 
  
a) Simile
….dan ia seumpama air yang masin…kuning seperti muka orang durjana
b) Penggunaan bahasa Arab
Allah azzawajalla
c) Perlambangan
….emas itu berkuasa….
d) Inversi
“ seribu dinar bayan hamba ini harganya”
Nilai 
1. Nilai kasih sayang terhadap pasangan
Contoh: Khoja Maimun menyayangi isterinya Bibi Zainab sepenuh hati.

2. Nilai ketaatan terhadap ketua
Contoh: Taif begitu taat akan perintah Raja Tabristan sehingga rela membunuh anaknya.
3. Nilai prihatin terhadap keluarga
Contoh: Khoja Maimun dan saudagar prihatin dengan tanggungjawab untuk mencari nafkah buat keluarga
4. Nilai keinsafan atas kesalahan yang dilakukan -
Contoh: Bibi Zainab insaf atas kesalahan yang dilakukan kerana cuba menduakan suaminya.
Pengajaran 
1. Kita mestilah patuh kepada perintah Allah agar dapat menghindarkan diri daripada kemungkaran
2. Kita haruslah berusaha untuk mencari rezeki buat keluarga agar kehidupan lebih sejahtera.
3. Kita perlulah menyayangi ahli keluarga dengan sepenuh hati agar memperoleh kebahagian yang berkekalan.
4. Kita mestilah bijak menyelesaikan sesuatu masalah yang dihadapi agar tidak mendatangkan kemudaratan.

Prosa Tradisional - Merah Silu ting.4

Sinopsis
 
Kisah bermula apabila Merah Gajah yang berkahwin dengan Puteri Betong telah dikurniakan dua orang anak lelaki iaitu Merah Silu dan Merah Hasum. Pada awalnya Merah Gajah tidak mengetahui isterinya mempunyai sehelai rambut berwarna keemasan di tengah kepala sehingga beliau terpandang isterinya menyikat rambut. Merah Gajah mahu mencabut rambut tersebut tetapi dihalang oleh isterinya. Sewaktu Puteri Betong tidur, Merah Gajah telah mencabut rambut tersebut menyebabkan keluar darah dari liang-liang rambut sehingga menyebabkan kematiannya.
 
Berita kematian Puteri Betong telah menimbulkan kemarahan ayahandanya Raja Muhammad dan mengambil tindakan membunuh Merah Gajah. Ayahanda Merah Gajah iaitu Raja Ahmad telah bertindak balas menyerang Raja Muhammad sehingga berlaku peperangan sengit menyebabkan kedua-duanya terbunuh termasuk sebilangan besar rakyat. Hanya yang tinggal Merah Silu dan Merah Hasum serta beberapa rakyat yang masih hidup dan mengaku taat setia kepada kedua-duanya untuk terus tinggal di negeri Semerlanga itu.
 
Merah Silu dan adiknya Merah Hasum berhasrat meninggalkan negeri itu kerana tidak ada sesiapa lagi kaum kerabatnya yang tinggal. Mereka berdua keluar meninggalkan negeri Semerlanga menuju ke sebuah negeri bernama Beruana. Mereka membuka perkampungan di tepi sungai. Suatu hari ketika di sungai, Merah Silu terlihat banyak ikan dan dia pergi ke hulu sungai menahan bubu. Beberapa kali bubu yang ditahannya dipenuhi dengan cacing gelang-gelang. Akhirnya dia mengambil keputusan membawa balik cacing gelang-gelang itu dan merebusnya di dalam kawah. Cacing itu telah bertukar menjadi emas dan buihnya menjadi perak menyebabkan Merah Silu menjadi kaya.
 
Merah Hasum hanya diam apabila mendengar berita Merah Silu menjadi kaya. Pada suatu hari , Merah Silu menangkap kerbau liar tetapi tindakannya itu tidak disenangi oleh Merah Hasum kerana pada pendapatnya kerja itu tidak berfaedah dan hanya memalukan dirinya sebagai saudara kepada Merah Silu. Merah Hasum telah meminta Merah Silu menghentikan perbuatan tersebut dan menyuruh Merah Silu keluar dari negeri itu jika tidak mahu mendengar katanya. Akhirnya Merah Silu mencari petempatan baru dengan membawa segala harta dan kerbaunya. Merah Silu tiba di hulu Karang dan menetap di situ tetapi kehadirannya tidak disenangai oleh penduduk kampung kerana kerbau-kerbau itu memakan tanaman mereka.
 
Merah Silu berpindah lagi ke sebuah negeri bernama Buluh Telang. Di sini beliau bertemu dengan Megat Iskandar dan menyatakan hasratnya untuk tinggal di negeri tersebut dan menganggap Megat Iskandar sebagai bapanya. Megat Iskandar bersetuju membenarkan Merah Silu tinggal di situ dan boleh memelihara kerbau kerana ada ladang yang luas. Merah Silu suka menyabung ayam dan selalu memberi kerbau sebagai hadiah kepada sesiapa yang menyabung ayam dan yang menontonnya. Megat Iskandar dengan persetujuan pembesar dan rakyat telah melantik Merah Silu menjadi raja di Rimba Jerun. Sultan Maliku’l- Nasar tidak bersetuju dan menyerang Merah Silu. Beberapa siri peperangan berlaku antara Merah Silu dengan Sultan Maliku”l- Nasar dan akhirnya sultan tewas dan Merah Silu menjadi raja di Rimba Jerun.
 
Tema
 
Ketabahan seorang anak raja dalam menghadapi cabaran hidup.
Merah Silu menjadi yatim piatu setelah kematian kedua-dua ibu bapa dan terpaksa merantau dengan adiknya Merah Hasum meninggalkan Semerlanga dan membuka petempatan baru di Beruana. Merah Silu terpaksa berpindah lagi kerana sikapnya tidak disenangi oleh adiknya. Dia berpindah ke Hulu Karang tetapi tidak disukai oleh penduduk di situ kerana kerbau-kerbaunya telah merosakkan tanaman mereka. Merah Silu menetap pula di Buluh Telang apabila dipelawa oleh Megat Iskandar. Merah Silu menghadapi beberapa peperangan dengan Sultan Maliku’l-Nasar sehingga dia dirajakan di Rimba Jerun.
 
Persoalan
 
1. Persoalan perselisihan antara adik-beradik
Perselisihan faham antara Merah Silu dengan Merah Hasum kerana tindakan Merah Silu yang menangkap kerbau liar tidak disukai oleh Merah Hasum dan dianggap memalukannya.
 
2. Persoalan perkara di luar logik akal
Keistimewaan seseorang keturunan raja digambarkan dengan peristiwa aneh misalnyanya cacing gelang-gelang yang direbus oleh Merah Silu bertukar menjadi emas dan buihnya menjadi perak.
 
3. Persoalan keberanian anak raja
Merah Silu menghadapi beberapa peperangan dengan Sultan Maliku’l-Nasar sehingga dia dirajakan di Rimba Jerun.
 
4. Persoalan sikap pemurah dalam kalangan masyarakat
Merah Silu yang suka menyabung ayam memberi hadiah seekor kerbau kepada orang yang terlibat menyabung ayam dan juga kepada yang hanya datang melihat sahaja malah dia juga memberi semula wang pertaruhan kepada mereka yang kalah.
 
5. Persoalan kegemaran berjudi dalam kalangan masyarakat
Merah Silu suka menyabung ayam dan mengunakan wang pertaruhan .
 
Watak dan Perwatakan
 
Watak Utama
 
Merah Silu
 Anak sulung Merah Gajah dengan Puteri Betong
 Mempunyai saudara bernama Merah Hasum
 Menjadi yatim piatu sejak kecil setelah kematian ibu dan ayahnya
 Kaya - Cacing gelang-gelang yang direbusnya bertukar menjadi emas dan buihnya menjadi perak.
 Suka menyabung ayam – Ramai juara sabung ayam datang bermain menyabung dengan Merah Silu.
 Seorang yang tidak berputus-asa- Merah Silu berulang kali menahan bubu walaupun hasilnya hanya cacing gelang-gelang.
 Seorang yang berani- Merah Silu terlibat dalam beberapa siri peperangan.
 Seorang yang pemurah- Merah Silu suka memberi hadiah kerbau kepada sesiapa yang terlibat dalam sabung ayam.
 
Watak Sampingan
 
1. Merah Hasum
 Adik kepada Merah Silu
 Menghormati saudara- Dia bersetuju dengan pandangan Merah Silu untuk berpindah dari negeri Semerlanga.
 Tidak suka perkara sia-sia- Dia marahkan Merah Silu kerana menangkap kerbau liar.
 Bersikap tegas – Dia menyuruh Merah Silu meninggalkan Beruana jika tidak mahu menghentikan perbuatan menangkap kerbau liar.
 
2. Megat Iskandar
 Saudara kepada Megat Kedah dan Sultan Maliku”l-Nasar.
 Tinggal di Buluh Telang.
 Mempunyai ladang yang luas.
 Bapa angkat kepada Merah Silu.
 Tetap pendirian - Dia berperang di Kumat dengan saudaranya Sultan Maliku’l-Nasar yang tidak bersetuju Merah Silu menjadi raja di Rimba Jerun
 Seorang yang menghormati tetamu - Dia menjamu Merah Silu semasa kedatangan Merah Silu ke Buluh Telang.
 
3. Sultan Maliku”l- Nasar
 Adik kepada Megat Iskandar dan Megat Kedah
 Tegas- Dia tidak bersetuju dengan tindakan Megat Iskandar untuk melantik Merah Silu di Rimba Jerun.
 Mempertahankan haknya sebagai raja di Rimba Jerun
 Berani – Dia berperang dengan Megat Iskandar di Kumat.
 
Latar
 
Latar Tempat
 
1. Negeri Semerlanga
 Peperangan antara Raja Ahmad dengan Raja Muhammad menyebabkan kedua-duanya terbunuh.
 Tempat asal Merah Silu dan Merah Hasum sebelum keluar merantau.
 
2. Beruana
 Perkampungan baru yang dibuka oleh Merah Silu dan Merah Hasum.
 Cacing gelang-gelang yang memenuhi bubu Merah Silu yang ditahannya di hulu sungai telah direbus dan bertukar menjadi emas dan buihnya menjadi perak menyebabkan Merah Silu menjadi kaya.
 
3. Kerbau Kampung
 Tempat Merah Silu menangkap kerbau liar.
 
4. Hulu Karang
 Merah Silu tidak disukai oleh penduduk di situ kerana kerbau-kerbau Merah Silu merosakkan tanaman padi dan pisang mereka.
 
5. Negeri Buluh Telang
 Menetap di situ setelah dipelawa oleh Megat Iskandar.
 Tempat Merah Silu mengamalkan hobinya menyabung ayam.
 
6. Rimba Jerun
 Peperangan antara Sultan Maliku”l-Nasar dengan Merah Silu.
 Merah Silu menjadi raja di sini setelah Sultan Maliku’l-Nasar ditewaskan oleh Megat Iskandar di Kumat.
 
Latar Masa
 
1. Bermula dari kelahiran Merah Silu hingga dilantik menjadi raja di Rimba Jerun.
2. Waktu malam – semasa Puteri Betong tidur dan Merah Gajah mencabut sehelai rambut Puteri betong yang berwarna keemasan menyebabkan kematiannya.
3. Waktu siang - Merah Silu pergi ke tepi sungai dan ternampak banyak ikan.
 
Latar Masyarakat
 
1. Golongan bangsawan – Merah Silu, Merah Hasum, Puteri Betong, Merah Gajah, Raja Ahmad, Raja Muhammad, Megat Iskandar,Megat Kedah, Sultan Maliku’l-Nasar
2. Masyarakat yang suka menyabung ayam - Ramai juara sabung ayam datang bermain menyabung dengan Merah Silu.
3. Golongan bawahan – orang yang diupah untuk mengorek lubang besar (anderak) bagi menangkap kerbau liar
 Golongan askar – golongan yang terlibat dalam beberapa siri peperangan.
 Masyarakat yang suka membantu - Megat Iskandar mempelawa Merah Silu menetap di situ.
 
Gaya Bahasa
 
1. Bahasa Klasik – anderak, dibantunnya), senawat
2. Bahasa istana - baginda, adinda, kakanda , anakanda
3. Bahasa Arab – berkat , Allah Taala
4. Personifikasi – matahari mati
5. Metafora – kerbau jalang
6. Hiperbola
- Bukit yang dilalui Merah Silu menjadi lekuk bekas kerbau itu berjalan .
- Besarnya anderak itu sekadar muat kerbau dua tiga ratus.
 
Nilai
 
1. Nilai Taat Setia – rakyat mematuhi perintah raja untuk berperang sehingga melibatkan banyak kehilangan nyawa.
2. Nilai Murah Hati - Merah Silu menghadiahkan seekor kerbau kepada setiap orang yang hadir ke gelanggang sabung ayam.
3. Nilai Keberanian - - Merah Silu berani berperang menentang Sultan Maliku’l-Nasar untuk menjadi raja di Rimba Jerun.
4. Nilai Berdikari – Merah Silu keluar mencari petempatan baru sendirian setelah dihalau oleh Merah Hasum.
 
Pengajaran
 
 Kita hendaklah menyelesaikan masalah yang timbul melalui rundingan bukannya peperangan.
 Kita hendaklah berani mempertahankan maruah supaya hak kita tidak diganggu- gugat.
 Kita hendaklah menghormati tetamu.
 Kita janganlah menganiayai binatang.
 Kita hendaklah menyelidik dahulu sesuatu perkhabaran sebelum mengambil sebarang tindakan.

Prosa Tradisional - Pelayaran Yang Penuh Peristiwa ting.4

Sinopsis
Kisah bermula apabila Awang Sulung mengikuti pelayaran Tuan Puteri Dayang Seri Jawa dengan menaiki geliung (kapal) menuju dari Negeri Bandar Mengkalih menuju ke Negeri Semarang di Tanah Jawa. Geliung itu bergerak terlalu laju menyebabkan semua anak kapal mabuk-mabuk dan muntah-muntah lalu tidak sedarkan diri kecuali tiga orang iaitu Tuan Puteri Dayang Seri Jawa yang menggantikan jurumudi kapal, Si Kembang Cina, dan Awang Sulung Merah Muda yang menyamar sebagai budak comot dan hitam. Tuan Puteri Dayang Seri Jawa meminta Si Kembang Cina memanggil Awang Sulung menggantikannya sebagai jurumudi dengan memberi alasan bahawa dia sudah keletihan. Pada mulanya Awang Sulung tidak bersetuju tetapi setelah dipujuk dengan lembut akhirnya Awang Sulung mengambil alih tugas sebagai jurumudi. Anehnya, Awang Sulung tidak memegang kemudi sebaliknya menyeru geliung itu supaya belayar mengikut tiupan angin.
Setelah tiga hari belayar, geliung itu hendak berlabuh di Pulau Tapai untuk mengambil kayu api dan air tetapi gagal kerana laut bergelora. Sekali lagi Awang Sulung menggunakan kesaktiannya dengan mencampakkan tulang pelanduk putih menyebabkan air menjadi tenang. Setelah beberapa lama berlabuh barulah penghuni geliung tersedar daripada pengsan. Sebaik sedar, jurumudi menikam seekor ayam dengan kerisnya lalu pergi berjumpa Tuanku Nakhoda Tua dan menyatakan bahawa dialah yang telah menyelamatkan geliung itu daripada serangan Tuan Puteri Dayang Nuramah. Tuanku Nakhoda Tua percaya kata-kata jurumudi kerana sewaktu kejadian baginda juga pengsan. Geliung itu berlabuh selama tiga hari tiga malam di Pulau Tapai. Tuanku Nakhoda Tua telah berjanji akan mengahwinkan sesiapa sahaja yang berjaya membawa geliung itu selamat sampai ke Tanah Jawa dengan puteri baginda iaituTuan Puteri Dayang Seri Jawa.
Jurumudi menunjukkan rasa tidak senangnya terhadap Awang Sulung kepada Tuan Puteri Dayang Seri Jawa sebaliknya dia dimarahi oleh tuan puteri. Tuan Puteri Dayang Seri Jawa cuba menguji kehebatan Awang Sulung dengan menyuruhnya mengambil air dan mencari kayu. Perkara pelik dilakukan oleh Awang Sulung kerana dia mengambil air di tengah laut di tempat arus yang deras. Awang Sulung tidak mengambil kayu bakau dan temu laut seperti yang diminta oleh tuan puteri, sebaliknya mengambil batang nipah. Tuan Puteri Dayang
Seri Jawa memarahi Si Kembang Cina yang mengikut arahan jurumudi kerana memberikan sisa-sisa nasi di dalam tempurung berbulu kepada Awang Sulung sebaliknya Tuan Puteri memerintahkan Si Kembang Cina menyiapkan hidangan istimewa kepada Awang Sulung. Berlaku satu lagi keanehan apabila air masin yang diambil oleh Awang Sulung yang dimasukkan ke dalam buyung suasa bertukar menjadi air manis.
Semasa hendak meneruskan pelayaran, Tuanku Nakhoda Tua memanggil semua anak kapal memaklumkan bahawa mereka akan melalui kawasan Laut Sekona Lingga yang banyak lanun. Tuanku Nakhoda berjanji sesiapa yang dapat menyelamatkan baginda dan puterinya daripada serangan lanun, dia akan dikahwinkan dengan Tuan Puteri Dayang Seri Jawa. Semua anak kapal berasa takut, namun jurumudi telah mengambil kesempatan dengan menonjolkan diri bahawa dia yang akan melawan lanun-lanun itu. Semasa melintasi perairan Pulau Salah Nama, lanun menyerang. Anak-anak kapal termasuk jurumudi lari menyelamatkan diri. Tuan Puteri Dayang Seri Jawa meminta Awang Sulung menentang lanun tetapi Awang Sulung membuat helah mengatakan beliau tidak layak kerana kaki dan tangannya sakit. Apabila mendengar alasan itu, Tuan Puteri Dayang Seri Jawa menyuruh Si Kembang Cina memberikan limau selimpat pagar dan sabun wangi untuk Awang Sulung mandi. Selepas mandi dan memakai persalinan pakaian pusaka tua warisan bonda dan menyisip keris serta menyarung pedang sakti, terserlahlah ketampanan Awang Sulung.
Semasa lanun-lanun cuba menaiki geliung, Awang Sulung melaungkan nama-nama ketua lanun dan menyindir mereka supaya menawan Tuan Puteri Dayang Seri Jawa. Mendengar suara Awang Sulung, lanun-lanun itu ketakutan kerana mereka mengenali Awang Sulung dan berjanji untuk menyelesaikan hutang Awang Sulung kepada Datuk Batin Alam dan Tuan Puteri Dayang Seri Jawa. Geliung itu telah dipenuhi dengan wang batu dan wang emas. Setelah menyelesaikan semua hutang, Awang Sulung berhasrat untuk pulang ke Bandar Mengkalih menyebabkan Tuan Puteri Dayang Seri Jawa sedih dan mengambil tindakan untuk terjun ke laut tetapi sempat dihalang oleh hulubalang yang ada di situ. Tuan puteri pengsan tetapi sedar apabila mendengar Awang Sulung berpantun dengan Si Kembang Cina lalu tuan puteri berbalas pantun pula dengan Awang Sulung. Setelah dijamu makan dan minum serta memenuhkan geliung dengan wang, lanun-lanun itu kembali ke bahtera masing-masing. Selepas lanun-lanun itu pergi, jurumudi membuat helah sekali lagi dengan mengaku dirinyalah yang menyelamatkan geliung itu daripada serangan lanun kepada Tuanku Nakhoda. Dia menunjukkan kerisnya yang berdarah selepas dia menikam seekor ayam. Tuanku Nakhoda Tua percaya penipuan jurumudi dan memerintahkan Mualim Cik Mas menikahkan puterinya dengan jurumudi itu. Tuan Puteri Dayang Seri Jawa begitu geram dengan tindakan ayahandanya yang tidak usul periksa. Apabila mengetahui perkara sebenar Tuanku Nakhoda Tua memohon maaf kepada Awang Sulung yang juga berketurunan raja dan mengahwinkannya dengan tuan puteri.
Beberapa hari selepas mereka berkahwin, geliung meneruskan pelayaran merentasi beberapa pulau sehinggalah sampai ke Negeri Pati Talak Terangganu. Awang Sulung dijemput naik ke darat oleh raja negeri tersebut. Semasa naik ke darat Awang Sulung ditemani oleh jurubatu dan Bujang Selamat. Mereka membawa bersama ayam Awang Sulung yang bernama Kinantan Suci. Kedatangan Awang Sulung ke Negeri Pati Talak menimbulkan kehairanan rakyat negeri tersebut apabila segala alat kebesaran dan seluruh isi alam berbunyi . Awang Sulung meminta kebenaran daripada raja untuk menyabung ayam. Pada peringkat awal pertarungan, Kinantan Suci hampir tewas tetapi setelah diseru oleh Awang Sulung ayam itu berjaya menaji ayam lawan sehingga terputus kepala. Selesai menyabung ayam barulah Awang Sulung naik ke balairung seri, disambut oleh pembesar dan rakyat negeri itu.
Tema
Kelebihan dan kehebatan anak raja
Awang Sulung Merah Muda digambarkan memiliki kelebihan dan kehebatan seperti boleh menggerakkan geliung tanpa memegang kemudi, menenangkan air laut dengan mecmpakkan tulang pelanduk putih, menukarkan air laut yang masin menjadi manis, semasa ketibaan Awang Sulung ke Negeri Pati Talak Terengganu, alat-alat kebesaran dan seluruh isi alam berbunyi seolah-olah menyambutnya . Satu lagi kelebihannya, ketika ia menyeru ayamnya Kinantan Suci yang hampir tewas semasa menyabung sehingga akhirnya dapat mengalahkan lawannya, Si Jalak .
Persoalan
1. Persoalan cinta tidak mengenal rupa paras.
Tuan Puteri Dayang Seri Jawa jatuh hati kepada Awang Sulung kerana melihat kelebihan yang dimiliki oleh Awang Sulung walaupun ketika itu Awang Sulung comot dan hitam.
2. Persoalan perasaan dengki dan iri hati
Jurumudi sangat dengki kepada Awang Sulung yang mendapat layanan yang baik daripada Tuan Puteri Dayang Seri Jawa sehingga sanggup menyuruh Si Kembang Cina memberi sisa-sisa nasi di dalam tempurung berbulu kepada Awang Sulung.
3. Persoalan kewibawaan dan pengaruh yang kuat
Lanun-lanun tidak berani menyerang geliung yang dinaiki Tuan Puteri Dayang Seri Jawa apabila mendengar suara Awang Sulung Merah Muda.
4. Persoalan menipu untuk mencapai sesuatu tujuan
Jurumudi menipu Tuanku Nakhoda Tua dengan mengatakan dialah yang menyelamatkan geliung daripada serangan Tuan Puteri Dayang Nuramah dan daripada serangan lanun dengan menunjukkan keris yang berdarah ayam. Tujuannya supaya dia dapat berkahwin dengan Tuan Puteri Dayang Seri Jawa.
5. Persoalan menghormati tetamu
Awang Sulung disambut oleh pembesar istana dan rakyat Negeri Pati Talak Terengganu semasa naik ke balairung seri.
Watak dan Perwatakan
Watak Utama
Awang Sulung Merah Muda
 Berasal dari Negeri Bandar Mengkalih
 Anak kepada Tuanku Si Helang Laut
 Cucu kepada Tuanku Si Helang Mawai
 Menyamar sebagai budak hitam yang comot dan hodoh di geliung Tuan Puteri Dayang Seri Jawa
 Berwajah tampan – setelah mandi dengan menggunakan limau selimpat pagar dan sabun wangi terserlahlah ketampanannya .
 Memiliki keris dan pedang sakti Memiliki gigi yang cantik bercahaya
 Berhutang dengan Nakhoda Tua dan Datuk Batin Alam
 Berkahwin dengan Tuan Puteri Dayang Seri Jawa
 Ditakuti lanun
 Memiliki pelbagai kesaktian – Dia dapat menenangkan air laut yang bergelora, menukarkan air masin menjadi manis dan tidak perlu memegang kemudi untuk menggerakkan geliung.
 Patuh kepada peraturan - Dia meminta Bujang Selamat bertanyakan adat bergelanggang sebelum menyabung ayam.
 Merendah diri – apabila disuruh mengemudi geliung menggantikan Tuan Puteri Dayang Seri Jawa dia mengatakan sekiranya berada di daratan bolehlah dia menjadi penghalau ayam, penunggu itik atau tukang sapu rumah .
Watak Sampingan
Tuan Puteri Dayang Seri Jawa
 Anak Tuanku Nakhoda Tua
 Mengemudi geliung setelah jurumudi pengsan
 Mudah jatuh cinta - Jatuh hati kepada Awang Sulung Merah Muda setelah melihat kelebihan dan kehebatan Awang Sulung
 Suka menguji - dia menguji kelebihan Awang sulung dengan menyuruhnya mengambil air
 Prihatin - Marah apabila Si Kembang Cina memberi sisa-sisa nasi dalam tempurung berbulu dan ketika jurumudi dengki kepada Awang Sulung
 Sensitif – dia cuba membunuh diri hendak terjun ke laut apabila mendengar Awang Sulung hendak kembali ke Bandar Mengkalih.
Jurumudi
 Jjurumudi geliung yang dinaiki Tuan Puteri Dayang Seri Jawa
 Penipu - Menipu Tuanku Nakhoda Tua bahawa dialah yang telah menyelamatkan geliung dengan menunjukkan keris berdarah
 Pendengki – Dia berasa dengki kepada Awang Sulung
 Pengecut - Lari menyelamatkan diri semasa serangan lanun
Tuanku Nakhoda Tua
 Ayahanda kepada Tuan Puteri Dayang Seri Jawa
 Mudah terpedaya – terpedaya dengan penipuan jurumudi.
 Insaf - berasa kesal dengan kesilapannya yang memandang rendah kepada Awang Sulung
 Menepati janji - Dia mengahwinkan puterinya dengan Awang Surung Merah Muda yang berjaya menyelamat baginda dan puterinya daripada serangan lanun.
Si Kembang Cina
 Orang suruhan Tuan Puteri Dayang Seri Jawa
 Taat perintah – Taat akan suruhan Tuan Puteri Dayang Seri Jawa
 Pandai memujuk – Dia memujuk Awang Sulung sehingga bersetuju untuk mengemudi geliung
Latar
Latar Tempat
Geliung panjang
 Tuan Puteri Dayang Seri Jawa belayar menaiki geliung panjang dari Bandar Mengkalih menuju ke negeri Semarang di Tanah Jawa.
Pulau Tapai
 Tempat Geliung berlabuh di Pulau Tapai untuk mendapatkan kayu dan air. Pada mulanya geliung tidak boleh berlabuh kerana laut bergelora. Awang Sulung menggunakan kelebihannya dengan mencampakkan tulang pelanduk putih yang diikat dengan benang banyak warna. Akhirnya air laut menjadi tenang dan geliung dapat berlabuh.
Pulau Salah Nama
 Sekumpulan lanun menyerang geliung di Pulau Salah Nama. Anak-anak kapal lari menyelamatkan diri termasuk jurumudi. Tuan Puteri Dayang Seri Jawa meminta bantuan Awang Sulung menentang lanun.
Negeri Pati Talak Terangganu
 Awang Sulung menyabung ayamnya Kinantan Suci .
Latar Masa
 Tiga hari tiga malam semasa geliung berlabuh di Pulau Tapai.
 Waktu siang - ketika anak-anak kapal mencari kayu api dan air di pulau.
Latar Masyarakat
 Golongan bangsawan – Awang Sulung, Tuan Puteri Dayang Seri Jawa, Tuanku Nakhoda Tua, Tuan Puteri Pinang Masak, Raja Negeri Pati Talak Terengganu.
 Golongan bawahan – anak-anak kapal
 Masyarakat lanun yang melakukan rompakan di laut
 Golongan taat kepada perintah – Si Kembang Cina dan Bujang Selamat taat akan perintah Tuan Puteri Dayang Seri Jawa dan Awang Sulung Merah Muda.
 Masyarakat penipu – jurumudi menipu Tuanku Nakhoda Tua bahawa dialah yang telah menyelamatkan geliung dengan menunjukkan keris berdarah
 Masyarakat yang suka menyabung ayam - Awang Sulung Merah Muda menyabung ayam dan rakyat Negeri Pati Talak Terengganu
Gaya Bahasa
 Bahasa klasik – geliung
 Bahasa istana - beta, santap, kakanda, ayahanda
 Peribahasa – enau mencari sigai, dan lesung mendapatkan antan, berkecil hati
 Simile – bagai pucuk dilancarkan, bagai air di kuali, bagai purnama empat belas har ibulan, bagai kilat sembur-menyembur
 Puisi : Pantun :
Bintang tujuh tinggal enam,
Jatuh satu ke Gunung Daik;
Bercahayalah sepuh hilang senam
Itulah tanda emas yang baik.
Seloka:
Nobat merpati di gunung,
Memberi salam murai di pintu,
Berbega burung di bumbungan,
Berkokok si tambang denak,
Membalas kinantan suci,
Bertutu ketitir jantan,
Berkokok balam tembaga tiga gaya,
Berbunyi sekalian bunyi-bunyian.
Nilai
 Nilai merendah diri – contohnya Awang Sulung yang berketurunan raja sanggup menyamar sebagai budak hitam yang comot
 Nilai keyakinan – contoh Tuan Puteri Dayang Seri Jawa sanggup mengambil alih mengemudi kapal sewaktu jurumudi pengsan
 Nilai berani – contoh Awang Sulung berani menentang lanun yang cuba menyerang geliung kenaikan Tuan puteri Dayang Seri Jawa.
 Nilai kasih Sayang – contoh Awang Sulung dengan Tuan Puteri Dayang Seri Jawa saling menyayangi selepas berkahwin.
 Nilai bertimbang rasa- contohnya Awang Sulung membantu Tuan Puteri Dayang Seri Jawa mengemudi geliung.
 Nilai keinsafan – contoh Tuanku Nakhoda Tua insaf dan memohon maaf atas kesalahan kepada Awang Sulung.
 Nilai rasional – contoh Tuanku Nakhoda Tua sanggup menerima pandangan puterinya agar tidak terpengaruh dengan kata-kata jurumudi.
 Nilai hormat kepada raja – contoh lanun tidak menyerang geliung setelah mendapati Awang Sulung berada di atas geliung tersebut.
Pengajaran
 Kita hendaklah sentiasa merendah diri di mana-mana sahaja kita berada supaya kita akan dihormati.
 Kita hendaklah berani menghadapi pelbagai rintangan demi mencapai matlamat.
 Kita hendaklah bijak agar dapat menyelesaikan sesuatu masalah yang timbul.
 Kita hendaklah bersedia memberi bantuan terhadap orang yang memerlukan pertolongan.
 Kita hendaklah berani mengaku kesalahan yang dilakukan agar tidak menimbulkan kekesalan pada masa hadapan.
[ TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBACA ]
Photobucket