Zaman remaja merupakan zaman yang sangat menyeronokkan bagi setiap individu. Pada zaman remaja, seseorang individu sudah semestinya ingin mencuba pelbagai benda dalam kehidupan mereka. Kehidupan zaman remaja seolah-olah memberikan kebebasan yang sepenuhnya untuk melakukan pelbagai perkara. Oleh sebab itu, tidak mustahil seseorang remaja boleh terjebak ke dalam gejala sosial. Jika kita teliti dengan mendalam terdapat banyak punca kenapa golongan remaja mudah terjebak dalam kancah gejala sosial.
# Kelemahan Didikan Agama dan Moral Diri Remaja
Faktor diri remaja sendiri merupakan sebab berlakunya gejala sosial. Kebanyakan remaja yang terlibat dalam gejala sosial tidak mempunyai didikan agama dan moral yang mendalam.Mereka tidak takut pada dosa atau pembalasan Tuhan di atas perbuatan mereka. Remaja terbabit juga biasanya tidak sembahyang dan mengingkari perintah agama yang lain. Mereka berpendapat bahawa, kehidupan masa remaja perlu diisi dengan hiburan dan keseronokan semata-mata.
# Sikap Tidak Mengambil Berat Oleh Ibu Bapa
Sikap ibu bapa juga boleh menyebabkan remaja terjerumus dengan gejala sosial. Terdapat ibu bapa yang tidak mengambil berat tentang kebajikan dan kasih sayang terhadap anak-anak. Anak-anak amat memerlukan kasih sayang daripada ibu bapa. Ada segelintir ibu bapa begitu sibuk dengan kerjaya bagi menambahkan pendapatan sehingga anak-anak terabai dan tidak mendapat kasihsayang yang secukupnya. Sikap ibu bapa ini menyebabkan anak-anak tidak mendapat perhatian yang sewajarnya lalu mereka melakukan perkara-perkara tidak berfaedah untuk mehilangkan kebosanan. Selain itu, tidak kurang juga ada yang melakukan gejala sosial ini semata-mata untuk mendapat perhatian daripada ibu bapa mereka.