Saban hari isu-isu gejala sosial yang membabitkan gadis remaja hangat diperkatakan , secara tidak langsung, isu ini turut menggambarkan bahawa bahawa gadis remaja kini semakin agresif, berani, liar . Siapa yang harus dipersalahkan dan mengapa perkara ini berlaku? Sehubungan dengan itu CAHAYA berpeluang menemu ramah Prof. Dr Fatimah Yusoff, Ketua Program Psikologi, Pusat Pengajian Psikologi dan Pembangunan Manusia UKM bagi mengupas permasalahan gejala sosial di kalangan remaja perempuan ini dengan lebih lanjut.
Perasaan Ingin Tahu dan Ingin Mencuba
“Remaja ialah mereka yang berumur 18 tahun ke bawah. Pada peringkat usia ini, mereka mempunyai perasaan ingin tahu yang tinggi. Justeru apa-apa sahaja perkara baru yang terjadi di sekeliling mereka, akan mengundang perasaan ingin tahu di kalangan remaja. Secara tidak langsung membuatkan mereka terdorong untuk mencuba dan melakukan perkara-perkara tersebut”.
“Perasaan begitu sebenarnya adalah baik untuk remaja, namun yang menimbulkan masalah apabila mereka tiada ‘guide line’ dari orang-orang yang sepatutnya, umpamanya para ibu bapa, keluarga, jiran dan sebagainya. Jadi perasaan ingin tahu remaja akan mendorong mereka melakukan apa ingin dilakukan tanpa memikirkan baik atau buruknya perkara perkara tersebut”.
Pengaruh Rakan Sebaya
“Kawan-kawan menjadi orang yang rapat dengan mereka. Kawan yang baik, boleh membimbing mereka kepada kebaikan, namun jika tersilap memilih kawan, akan mempengaruhi mereka kepada perkara-perkara yang buruk. Selain itu sikap remaja turut menyumbang kepada gejala sosial, kadangkala mereka ini terlalu mudah mempercayai orang lain. Umpamanya, jika mereka merasakan rakan-rakan mereka lebih rapat dan lebih memahami, dengan mudah mereka akan mengikut apa yang dilakukan oleh rakan-rakan. Mereka lupa bahawa “kawan juga kadangkala boleh makan kawan”. Dalam keadaan ini ramai para remaja terjerumus ke dalam gejala sosial.”