PhotobucketPhotobucketPhotobucketPhotobucket

25 July 2015

REVISI KOMSAS SPM 2015 - SIRI 21

GURINDAM TONGGAK DUA BELAS

Hendak pandai menghargai masa,
Jangan dinanti esok lusa.

Ketekunan akan membawa kejayaan,
Kegigihan bekerja dengan keupayaan.

Wajah ceria keseronokan bekerja,
Usah berduka bermuram durja.

Hidup dalam kemuliaan kesederhanaan,
Bertindak dengan penuh kebijaksanaan.

Ketinggian peribadi jadi amalan,
Ketelusan hati jadi bekalan.

Kekuatan sifat baik hati,
Bertimbang rasa dan bersimpati.

Pengaruh kepimpinan melalui teladan,
Baik buruk jadikan sempadan.

Menjadi kewajipan menjalan tugas,
Walaupun sederhana tetapi tegas.

Kebijaksanaan berhemat perlu diutama,
Tidak membazir teliti saksama.

Keutamaan kesabaran fikiran tenang,
Perkara susah menjadi senang.

Peningkatan bakat diberi sokongan,
Tunjukkan kebolehan jadikan dorongan.

Nikmat mencipta budaya kreatif,
Kembangkan bakat semoga aktif.



Soalan berdasarkan petikan

(i)    Sebagai pekerja dalam sesebuah organisasi, seseorang perlulah memiliki dan mengamalkan beberapa sifat baik. Berdasarkan gurindam nyatakan sifat-sifat tersebut. [3M]
Sifat baik seorang pekerja :
-          menghargai masa
-          tekun dan gigih bekerja
-          tidak membazir
-          teliti / adil dan saksama
-          sabar / tenang
-          tunjukkan kebolehan ikut kemampuan

24 July 2015

REVISI KOMSAS SPM 2015 - SIRI 20

SYAIR PEMBERONTAKAN PATANI

Laksamana dititahkan Betara,
Ke negeri Patani berjalan segera,
Mendapat cogan Raja Senggora,
Akan menerima hukum dan dera.

Barang yang hendak dihukumkan,
Sekalian tidak boleh disalahkan,
Kesalahan pinta dimaafkan,
Pegawai yang dipegang itu dipohonkan.

Setelah demikian titah Betara,
Laksamana tiada berani dura,
Kerana negeri hendak dipelihara,
Kelak menjadi huru-hara.

Bonda duli mahkota indera,
Pada Laksamana emak saudara,
Sakit terlantar hampir bermara,
Meninggalkan dia tiada terkira.

Daripada kerja terlalu berat,
Ke atas negeri hendak mudarat,
Jadilah dititahkan duli hadirat,
Bimbang dan masghul di suruh kerat.

Tiadalah lagi terkata-kata,
Sudah dengan titah sang nata,
Diputuslah hati yang bercinta,
Kepada Allah diserah semata.

Niat Laksamana yang pegari,
Daulat baginda barang berdiri,
Jika selamat sentosa negeri,
Biarlah susah di atas diri.

Berjalan ia berhati hampa,
Bonda yang sakit tiada dilupa,
Kerana sakit berat menimpah,
Yakin hatinya tiada berjumpa.

Daripada sudah dimikian peri,
Keberatan tertanggung di atas negeri,
Yang sakit itu seorang diri,
Bala yang datang meliput negeri.

Jadilah dititahkan Seri Betara,
Tiadalah lagi terkira-kira,
Berjalanlah pergi bersegera-segera,
Mendapat cogan Raja Senggora.


Soalan berdasarkan petikan

(i)   Mengapakah Laksamana bersedia untuk melaksanakan perkara yang dititahkan oleh raja?
Laksamana bersedia untuk melaksanakan perkara yang dititahkan oleh raja bagi membuktikan ketaatannya kepada raja. Selain itu, Laksamana juga ingin mengelakkan negara dilanda huru-hara.

(ii)   Nyatakan dua perintah Betara kepada Laksamana dalam syair tersebut.
-          Betara memerintahkan Laksamana pergi ke negeri Patani dengan segera
-          Betara memerintahkan Laksamana supaya menerima arahan daripada Raja
    Senggora.

(iii)  Bagaimanakah perasaan Laksamana apabila menerima perintah daripada Raja Senggora?
Laksamana dalam keadaan serba salah kerana terpaksa meninggalkan ibu saudaranya sakit tenat.

23 July 2015

REVISI KOMSAS SPM 2015 - SIRI 19

SYAIR MAKNA RIAK

Kemudian dinyatakan makna riak,
Amal ibadat kerana menusia,
Inilah kebencian Tuhan yang sedaya,
Sebab kerana syirikkan Dia.

Terkadang riak pula dilakukan,
Mengiringkan beberapa puasa tak makan,
Bertutur itu suara diperlahankan,
Tubuh dan badan tidak dihiraukan.

Supaya disangka ianya wali,
Akan dunia tidak peduli,
Hemahnya itu disangka ali,
Tetapi hatinya ke dunia bertali.

Terkadang riakkan ia berilmu,
Bersurah ketika orang berjamu,
Berkata-kata tidaklah jemu,
Nahu dan sarap habis diramu.

Terkadang bercakap ilmunya mantik,
Bicara alhayat konon diselidik,
Supaya disangka ianya cerdik,
Sukalah orang memberinya gundik.

Terkadang riak dengan pakaian,
Berserban lilit ekor berhambaian,
Sejadah di bahu bersampaian,
Tasbih di tangan berulitan.

Pejamkan mata duduk bersila,
Lidah berzikir Allah Taala,
Terkadang jazbah seperti gila,
Kasadnya hendak jadi kepala.

Riak demikian menjadi balak,
Amal itu tentu ditolak,
Terkadang dilemparkan ke mukanya pulak,
Allah Taala sualak.

21 July 2015

REVISI KOMSAS SPM 2015 - SIRI 18

SELOKA EMAK SI RANDANG

Baik budi Emak Si Randang,
Dagang lalu ditanakkan
Tiada kayu rumah diruntuhkan,       
Anak pulang kelaparan,
Anak di pangku diletakkan,
Kera di hutan disusui,
Dagang pergi awak terhutang,
Beras habis padi tak jadi.

Soalan berdasarkan maksud

Anak di pangku diletakkan,
Kera di hutan disusui

(i)         Apa yang dimaksudkan dengan baris-baris seloka di atas. [2M]
-          menguruskan hal orang lain sedangkan hal keluarga sendiri diabaikan

(ii)      Apakah maksud ‘Dagang lalu ditanakkan’ dalam seloka di atas? [2M]
-          memasakkan nasi untuk orang asing

(iii)    Apa yang dimaksudkan oleh penulis ‘Anak di pangku diletakkan’ dalam seloka di atas. [2M]
-  anak sendiri dibiarkan/diabaikan/ditinggalkan/tidak dipedulikan

20 July 2015

REVISI KOMSAS SPM 2015 - SIRI 17

HIKAYAT SIAK

PETIKAN 1

Dan sampailah di Kuala Johor. Maka orang Johor pun gegerlah, mengatakan, “Tuan kita sudah datang!” Dan mana suku Laksamana, semuanya datang, menghadap baginda. Maka kata orang Johor, “Jikalau betul asal tuan kami, minta tawarkan air yang masin.” Dan titah baginda, “Baiklah.” Dan lalu diambil rotan, dilingkar, dimasukkan ke dalam air. Maka baginda beryang-yang, “Jikalau betul asal dari raja Johor, hendaklah Allah Taala tawarkan air yang masin, menjadi tawarlah.” Lalu dimasukkan ke dalam lingkaran rotan itu. Maka segera diambilnya air itu. Dan, masing-masing minum air itu, sangat tawarnya, lagi sejuk rasanya. Maka segala orang Johor pun bersoraklah, “Ialah, tuanku patik, Tuanku Yang Maha Mulia ini!” Dan banyaklah yang mengikut baginda. Dan baginda pun bertitah kepada segala rakyat, “Hendaklah kamu mengatakan ‘daulat’.”

Maka baginda pun masuk ke Negeri Johor. Maka dibedil orang dari kubu Johor. Maka segala meriam pun keluar air kepada mulut meriam. Satu pun tiada berbunyi. Maka baginda pun mudik, didayungkan oleh segala rakyat, sambil bertimang, berakung, lalu ke Pangkalan Rama, di jambatan dalam. Maka baginda pun melompat naik ke atas jambatan. Baginda memegang pedang kerajaan yang bernama Sepurejab, telah terhunus dari sarungnya.

19 July 2015

REVISI KOMSAS SPM 2015 - SIRI 16

GURINDAM 12 FASAL YANG KEENAM

Cahari olehmu akan sahabat,
Yang boleh dijadikan ubat.

Cahari olehmu akan guru,
Yang boleh tahukan tiap seteru.

Cahari olehmu akan isteri,
Yang boleh menyerahkan diri.

Cahari olehmu akan kawan,
Pilih segala orang setiawan.

Soalan berdasarkan maksud

(i)   Berikan maksud ‘Cahari olehmu akan sahabat, Yang boleh dijadikan ubat’. [2M]
-          Carilah sahabat yang baik agar dapat membantu kita semasa kesusahan

Soalan berdasarkan petikan

(i)   Apakah saranan pengarang dalam rangkap pertama gurindam di atas? (2M)
Saranan pengarang dalam rangkap pertama gurindam di atas ialah mencari teman yang dapat membantu kita ketika susah dan senang.

17 July 2015

REVISI KOMSAS SPM 2015 - SIRI 15

SYAIR SITI SIANAH

Setengahnya perempuan terlalu janggalnya,
Roma di muka pula dicukurnya,
Seperti taji berandam di keningnya,
Kemudian memakai dengan selengkapnya.

Mengagak mengilai terlalu suka,
Melihat laki-laki ditampakkan muka,
Supaya laki-laki boleh menyangka,
Ianya elok tiada terhingga.

Sesetengah perempuan sangat pesolek,
Berhias berdandan berpakai molek,
Di dalam cermin muka ditelek,
kanan dan kiri dibelek-belek.

Meskipun tiada berapa eloknya,
Ada yang setengah kembang hidungnya,
Serta pula kepik batangnya,
Seperti buaya besar mulutnya.

REVISI KOMSAS SPM 2015 - SIRI 14

PANTUN EMPAT KERAT (JENAKA DAN SINDlRAN)

Apa guna berkain batik,
Kalau tidak memakai capal;
Apalah guna beristeri cantik,
Kalau tak pandai menumbuk sambal.

Darl Kelang lalu ke Jawa,
Naik sigai ke atas atap;
Ikan kering lagi ketawa,
Mendengar tupai membaca kitab.

Ambil segulung rotan saga,
Suruh diambil marl diurut;
Duduk termenung harimau tua,
Melihat kambing mencabut janggut.

Kupu-kupu terbang melintang,
Hinggap menghisap bunga layu;
Hati di dalam menaruh bimbang,
Melihat ikan memanjat kayu.

Lebat sungguh padi di paya,
Kayu tumbang tepi pangkalan;
Hairan sekali hati saya,
Burung terbang disambar ikan.

16 July 2015

REVISI KOMSAS SPM 2015 - SIRI 13

PANTUN EMPAT KERAT (BUDI)

Terang bulan terang dipaya,
Anak kambing memakan rumput;
Jika tak kenang kepada saya,
Nama yang baik tidak disebut.

Anak merak mati tersangkut,
Mati dipanah Seri Rama;
Resam di dunia juga disebut,
Orang yang mati meninggalkan nama.

Anak itik terenang-renang,
Air pasang tenang-tenangan;
Budi sedikit bila kan hilang,
Itu menjadi kenang-kenangan.

Anak ikan berlima-lima,
mati ditimpa punggur berdaun;
Kasih tuan saya terima,
Sebagai hutang seribu tahun.


REVISI KOMSAS SPM 2015 - SIRI 12B

PETIKAN 10

Maka kata Bayan, “Hai perempuan, sungguhkah engkau hendak balik kepada suamimu?” Setelah didengar oleh perempuan itu bunyi suara demikian itu, maka pada hatinya perempuan itu suara dari dalam kubur inilah. Maka kata perempuan itu, “Ya Tuhanku hambamu hendak kembali kepada suami hambamu kerana sangat hambamu dahaga, ya Tuhanku!” Maka kata bayan itu, “Bahawa pekerjaanmu berbuat khianat itu akan suamimu itu hendaklah segera engkau bertaubat, maka bertaubatlah engkau ke mari.” Maka kata perempuan itu, “Demi Allah bahawasanya sudahlah hambamu kerjakan seperti kata tuan hamba itu.” Maka kata Bayan itu, “Cukurlah rambutmu dahulu dan bulu keningmu sekali, maka aku mahu memulangkan engkau dengan suamimu,” Maka dikerjakan oeh perempuan itu seperti kata bayan itu.

Setelah sudah maka ia pun pulanglah kepada makam itu. Maka Bayan itu pun menunjukkan dirinya kepada perempuan itu seraya katanya, “Bedebah yang tiada berbudi engkau! Inilah orang yang kena murka kerana tiada malu. Sungguhpun ia Syeikh dan wali masakan ia berkata-kata dari kuburnya, melain akulah yang berkata kerana ingin membalas pekerjaanmu dahulu itu.”

i.    Apakah maksud ‘membalas pekerjaanmu’? [2M]
·         melunas / melangsaikan perbuatan tersebut

ii.  Nyatakan tiga syarat yang dikemukakan Bayan kepada perempuan itu untuk dia kembali semula kepada suaminya? [3M]
·         bertaubat atas perbuatan khianat terhadap suami
·         mencukur rambut
·         mencukur kening

iii. Sekiranya anda ialah perempuan itu, adakah anda akan menerima syarat yang dikemukakan oleh Bayan tersebut? Berikan tiga alasan anda. [3M]
Terima kerana:
·         rasa berdosa kepada suami
·         ingin kembali hidup bersama-sama dengan suami
·         hukuman yang diberikan tidak berat dan setimpal

REVISI KOMSAS SPM 2015 - SIRI 11A

PROSA PELAYARAN PENUH PERISTIWA

PETIKAN 1
Mendengar suara itu lanun-lanun itu mulai gementar. Mereka kenal itulah suara Awang Sulung, “Hai, baru ini kita kiamat, kita sudah derhaka kepada penghulu kita sendiri dan kepada diri kita sendiri!” bisik mereka sesama sendiri.
“Ampun Tuanku, patik tidak tahu bahawa Tuanku rupanya di dalam geliung panjang ini,” sembah mereka beramai-ramai dengan tubuh yang gementar.
“Beta tidak beritahukan pelayaran beta pada kalian kerana beta menemani Tuan Puteri Dayang Seri Jawa kembali ke negerinya. Lagipun beta telah berhutang kepadanya sebanyak dua puluh lapan rial batu dan emas sejangka tiga untuk melangsaikan hutang beta kepada Datuk Batin Alam”.
“Ampun Tuanku, janganlah Tuanku dukacita dengan hutang itu. Sekiranya Tuanku hendak kembali ke Bandar Mengkaleh, biarlah patik isikan geliung ini penuh sarat dengan rial batu dan emas”.
Mendengar percakapan itu Tuan Puteri Dayang Seri Jawa tidak bersabar lagi lalu menyampuk, “Wahai tuan-tuan sekalian, adakah patut orang yang serupa ini berhutang rial kepada patik? Sebenarnya dagang yang hina inilah yang telah menjadi tawanannya. Dia seorang pahlawan yang handal.
“Kalau begitu,” kata Awang Sulung pula, “Memanglah benar kata adinda itu, kerana kakanda telah menewaskan Tuan Puteri Dayang Nuramah yang hendak merampas kakanda daripada tangan adinda dan sekarang hutang pun sudah berbayar, piutang pun sudah diterima, maka memohonlah kakanda kembali ke Bandar Mengkaleh.”

REVISI KOMSAS SPM 2015 - SIRI 12A

HIKAYAT KHOJA MAIMUN

PETIKAN 1
Sekali peristiwa pada suatu hari Khoja Maimun berkata-kata kepada unggas kedua akan perihal ehwal manfaat perniagaan di laut itu. Maka Khoja Maimun pun terlalu sangat berahinya hendak pergi belayar. Maka ia pun pergilah mendapatkan isterinya seraya berkata," Hai kekasihku, ketahuilah olehmu bahawa segala manusia ini tiada dapat berpindah juga dan tiada dicarikan manfaatnya pun kuranglah, kerana dirham itu menanggung segala pekerjaan. Akan sekarang hamba dengar perniagaan laut itu terlalusangat besar labanya daripada perniagaan yang di darat ini. Akan sekarang berilah izin aku olehmu supaya aku pergi belayar." Maka sahut isterinya," Sebenarnya benar kata tuan hamba itu, tetapi sungguhpun perniagaan itu sangat besar labanya, dan balanya pun amat besarnya dan banyak dugaan dalam dunia ini.
Sehari berapa upahnya tuan pergi dari kerana harta dunia ini banyak yang mahal dan cemar di dalamnya dirham itu, sayang sekali kalau orang yang tidak tebal imannya dan ia seumpama air yang manis, makin diminum mungkin bertambah dahaga. Syahadan warnanya pun kuning seperti muka orang durjana. Jikalau tuan hamba hendak pergi belayar, akan sebaik-baiknya tuan hamba bawa juga hamba kerana hamba perempuan dan kita adalah seperti gusi dengan gigi adanya. Jikalau tiada gusi, gigi pun binasalah, demikianlah adanya."

i.                    Apakah maksud rangkai kata ‘sangat besar labanya’? [2m]
Maksud rangkai kata sangat besar labanya - Terlalu/amat/banyak untungnya

ii.                 Nyatakan sebab-sebab isteri Khoja Maimun ingin suaminya membawa dia 
            bersama-sama dalam pelayarannya. [3m] 

Sebab-sebab isteri Khoja Maimun ingin suaminya membawa dia bersama-sama dalam pelayarannya  kerana:
-          Kerana membawa dirinya bersama-sama ialah satu tindakan terbaik
-          Kerana dia seorang perempuan
-          dan dia mengumpamakan dirinya dengan suaminya saling memerlukan seperti
gusi dengan gigi
-          kerana dirinya dan suami tidak boleh berpisah, ibarat kalau tiada gusi, gigi pun
binasalah

15 July 2015

REVISI KOMSAS SPM 2015 - SIRI 11B

PETIKAN 7
Mendengar percakapan itu Tuan Puteri Dayang Seri Jawa tidak tersabar lagi lalu menyampuk, “Wahai tuan-tuan sekalian, adakah patut orang yang serupa ini berhutang rial kepada patik? Sebenarnya dagang yang hina inilah yang telah menjadi tawanannya. Dia seorang pahlawan yang handal.”
“Kalau begitu,” kata Awang Sulung pula, “memanglah benar kata adinda, kerana kakanda telah menewaskan Tuan Puteri Dayang Nuramah yang hendak merampas kakanda daripada tangan adinda dan sekarang hutang pun sudah berbayar, piutang pun sudah diterima, maka memohonlah kakanda kembali ke Bandar Mengkalih.”
Oleh sebab terlupa hampa mendengarkan titah Awang Sulung itu, Tuan Puteri Dayang Seri Jawa hendak terjun ke laut, tetapi segera dihalang oleh hulubalang yang ada di situ lalu dibawanya masuk ke magun. Di situ Tuan Puteri Dayang Seri Jawa telah tidak sedarkan diri.
“Ampun Tuanku, janganlah Tuanku sakat lagi puteri itu, kalau berlaku sesuatu hal kita juga yang susah,” sembah hulubalang itu.
Kemudian si Kembang Cina pun berpantun:
“Jangan ditebang gelanggang itu,
Pucuknya ada berjurai-jurai;
Jangan dikenang yang hilang itu,
Sudah jauh digonggong murai.”
Balas Awang Sulung:
“Bagaimana tidak dikenang,
Pucuknya pauh selasih Jambi;
Bagaimana tidak dikenang-kenang,
Dagang yang jauh kekasih kami.”
[ TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBACA ]
Photobucket