PhotobucketPhotobucketPhotobucketPhotobucket
Showing posts with label Sajak. Show all posts
Showing posts with label Sajak. Show all posts

15 April 2015

Sajak Buat MH370 – Hilang Tanpa Jawapan

Sajak Buat MH370 – Hilang Tanpa Jawapan


~Hilang mu tanpa jawapan..dan aku masih menunggu MH370~
Aku melihat ke langit biru
tiada awan putih gebu
lautan langit begitu meluas
tenang dan masih membiru
dan dapat ku rasakan angin meniup lembut
saat ku terbang tinggi dengan sayap gah
menjuru terbang ke laluan destinasi
dan aku tetap masih terbang
senyap indah sesunyi kedamaian dihati

Aku tidak tahu
dirimu sudah pergi menghilang sepi
aku tidak tahu khabaran mu yang menyayat hati
aku tidak sanggup menerima berita mu yang ngeri
aku tidak mahu pengakhiran mu terkubur dilautan hindi
dan aku enggan mahu menitis air mata ini
aku enggan mahu percaya sebenarnya
untuk ku terima kebenaran tragis begini

16 October 2014

Sedarlah Wahai Sahabatku (Bersatulah Rakyat Malaysia)

Sedarlah wahai sahabatku

Suatu waktu dahulu…kita bebas bermain…
suatu waktu dahulu kita bebas berlari…
suatu waktu dahulu kita bebas di bumi ini…

Kini…bumi ini tidak lagi seperti dahulu…
jarak usia semakin merangkak ke angka yg jauh….
kini….kita juga telah berbeza…
larian kita juga berbeza kerna kita mengejar masa…
kini …kita berbeza…kerna …jiwa kita berbeza…..
kini…kita berbeza …kerna haluan kita sudah berbeza….
kini….tanah ini….berbeza…kerna tanah ini ….bukan lagi milik kita…

Kita perlu sedar apakah wasiat nenek moyang kita..
Kita perlu sedar apakah hala tuju kita…
Kita perlu sedar apakah nasib kita nanti….
Kita perlu sedar apakah tinggalan buat anak-anak kita di hari mendatang….

Jiwa kita perlu dibajai semula…
Hati kita perlu disirami semula…
Ukhwah kita perlu dieratkan semula…
Silaturahim kita perlu dirapatkan semula….
Demi agama, bangsa & negara di bumi Malaysia ….

Bersatulah kita wahai rakyat Malaysia…
Bersatulah kita wahai Melayu…
Bersatulah kita wahai insan terpelajar…
Bersatulah kita di bawah satu naungan…
Bersatulah kita di bawah langit yang cerah…

Biarlah ia menjadi milik kita yang abadi hingga akhirnya….
Bersatulah demi sebuah harapan pada sebuah impian….
agar senyuman dapat lagi terukir di bibir….
Tak kan Melayu hilang di dunia !!!
Perjuangan kita belum selesai !!!
Nukilan:
Arieza Eja (Rumaizah Khuzaimah )
21 Februari 2013.

24 September 2014

Sajak: Hanyut aku, kekasihku!

Hanyut aku, Kekasihku!
Hanyut aku!
Ulurkan tanganMu, tolong aku
Sunyinya sekelilingku!
Tiada suara kasihan,
Tiada angin mendingin hati,
Tiada air menolak ngelak,
Dahagakan kasihMu,
Hauskan bisikMu,
Mati aku disebabkan diamMu.
Langit menyerkap,
Air berlepas tangan, aku tenggelam.
Tenggelam dalam malam
Air di atas menindih keras
Bumi di bawah menolak ke atas
Mati aku, Kekasihku, mati aku!

27 August 2014

Sajak: Ibu Kiranya Kau Tahu

Ibu…
Akulah zigotmu…
Yang terhasil dari sperma dan tersenyawa
Akulah embriomu…
Yang menempel pada uterusmu yang suci
Akulah fotusmu…
Yang tak sabar menjengah bumi…
Dan akulah ibu…
Lambang jirim kasihmu yang abadi.

Tangisku ibu…
Kau reda dengan nasihat terpuji
Gelakku ibu…
Kau sambut denagn nilai- nilai murni
Nakalku ibu…
Kau sulam dengan akhlak muslimah sejati
Dengan hipotesis yang kau ciptakan ibu
Kau mengharapkan hidupku penuh variasi islami.

Tetapi ibu…
Dewasanya anakmu ini tanpa sezarah harga diri
Tanpa lagi atom- atom syahadah
Tanpan lagi molekul- molekul peribadi yang luhur
Tanpa lagi ion- ion keimanan.

Ibu…
Dengan alasan berdikari
Kujejakkan kaki ke bumi metropolitan
Hidupku tak ubah seperti gerakan Brown.
Bebas! Rawak! Tanpa hala tuju.
Yang ku impikan ibu…
Hanyalah sinaran pantulan- pantula neon yang bercahaya
Yang ku rindukan ibu…
Hanyalah kerlingan mata keranjang si buaya.
Aku bangga menjadi pilihan pria- pria kota
Hingga ku lupa hamparan sejadah
Hingga ku lupa pesanmu ibu.

Dahulu ibu… Mataku buta dengan lambaian masjid
Tetapi galak dengan lambaian disko
Telingaku pekak dari alunan dan laungan ayat- ayat suciNya
Tetapi peka dengan alunan muzik yang mengasyikkan
Hidungku hilang deria bau wangian Firdausi
Tetapi tajam dengan bauan alkohol yang memabukkan
Lidahku seakan kelu untuk melafazkan zikir dan munajat
Tetapi, petah mencaci dan memaki.

Tetapi kini ibu…
Kiranya kau tahu…
Kurasakan gentar menyelubungi siangku
Rantaian dosa- dosa silam menyelimuti malamku
Aku takut ibu…
Aku takut… dengan serulis Israfil
Aku takut… dengan sentakan Izrail
Aku takut dengan cemeti munkar dan Nankir
Aku takut!!!

Tetapi kini ibu…
Kiranya kau tahu…
Anakmu ini tidak lekang dari tempat sujudNya
Bibirku basah dengan kalimah suci
Mataku tersasar ke arah QiblatNya
Telingaku dirakum dari umpatan cela…
Meluruhkan dedaun dosa
Digantikan bebunga pahala.

Kiranya kau tahu ibu…
Betapa anakmu ini dipalit rasa sesal
Hingga ke akhirnya…
Sumber nukilan:
Majalah Sekolah SMK Seri Perak, Teluk Intan

Kiriman:

Dhia Erryna

07 August 2014

Sajak Perpisahan

Sajak Perpisahan

Perpisahan umpama derai kaca
tersentak dan membijihkan warna
mengingati kenangan silam
sorotilah hikmah yang terbina
Perpisahan itu kenangan
lupailah masa lalumu
pawana tersergam menaklukimu
terjeruk dalam ruang lena
cantasilah kelemahan dulu
redahilah kejayaan tungganganmu
bicara sampai habis
dapatkan manisan sebelum habis
azman @ denairimba

29 July 2014

Sajak : Liku-Liku Perjalanan

Liku – liku perjalanan
Ku tersasar dalam hidupku,
Tanpa arah dan tujuan,
Menitis air mataku di setiap perjalanan,
Mengesat peluh yang tidak kesampaian

Mana dusta yang kau cercakan?
Mana ilmu yang kau berikan?
Mana kata – kata nasihat yang engkau sampaikan?
Semuanya lebur dalam dakapan dan pelukan.

Tapi itu semuanya dahulu,
Ketikaku tidak memahami erti kehidupan,
Ketikaku tidak mengerti erti perjuangan,
Ketikaku tidak mengenal erti persahabatan.

Namun ada kalanya aku kecewa,
Memilih liku – liku hidup di persimpangan,
Mengenal kawan yang akhirnya menjadi lawan,
Mengetahui kebaikan dalam kejahatan.

Akhirnya aku mengerti,
Setiap perjalanan pasti ada ujian dan cabaran,
Setiap pertemuan pasti ada perpisahan,
Akan ku tempuhi hidup ini demi pengalaman,
Akan ku semat iman demiMu Tuhan,
Agar aku menjadi sebaik insan.

Nukilan:

crapsist
crapsist@yahoo.com

21 November 2013

Sajak: Kain Buruk Ayah

Kain buruk ayah kalau tiada segala buat menjadi payah jangan sekali-kali diserah nanti hati ayah jadi parah
Ke danau buat basahan
kalau di kepala jadi lilitan
berteleku di surau menyembah Tuhan
dingin malam menyelimuti badan

Jangan diserah kain buruk ayah itu
biar rabak, putus benang beribu
biar renyuk, kedut berdebu
tiada sehari hati ayah jadi sebu

Kain buruk ayahku
kusam dan masam berbau
hari-hari dibasuh ibu
kasih mereka menjadi jitu

Kain buruk ayah kini tiada
sejak ayah emak pergi berdua
kurang sejengkal masih tinggal di beranda
kekal di situ menjadi tanda

Nukilan:
Muzamir
Hulu Kelang, Selangor

15 November 2013

Sajak : Mengemis Kasih Di Kaki Lima

Izinkan aku beradu di sini
Berbumbungkan langit
Berselimutkan dingin sembilu
Beralaskan hamparan kotak-kotak
Aku masih mampu terlena
Lebih lena dari tidurmu
Bertemankan mimpi indah
Yang pernah aku alami dulu
Aku juga insan sepertimu
Ingin rasa bahagia
Sedangkan ku pilih untuk berlari
Jauh dari kehidupan realiti
Hingga aku terdampar disini
Dikau yang bergelar insan
Lemparkan sedikit simpati
Agar perutku terisi
Walau hanya sekelumit sisa dari mulutmu
Aku juga punya hati sepertimu
Tetapi disinilah hatiku
Yang ku bawa lari itu
Hati yang telah lama mati
Dikau yang bergelar insan
Hulurkan secubit kasih
Agar aku rasa dihormati
Sebagai penghuni terhormat
Di kaki lima ini……..

Nukilan:
Ayu Mardiana
[ TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBACA ]
Photobucket