1. PEMBENTUKAN KELUARGA YANG BAHAGIA BUKAN SAHAJA BERGANTUNG PADA PERANAN IBU BAPA TETAPI JUGA PADA FAKTOR-FAKTOR LAIN. BERIKAN PENDAPAT ANDA TENTANG PERNYATAAN INI.
Marcapada, masyarakat hari ini lebih ghairah mengejar kemewahan dan habuan duniawi di atas tanah datar ini. Masyarakat pada era golbalisasi ini dikatakan lebih individualistik bagai enau dalam belukar melepaskan pucuk masing-masing dan lebih bersikap materialistik atau bermata duitan. Tanpa disedari, kepentingan keluarga terabai oleh masyarakat. Senario ini lebih membimbangkan apabila Mahkamah Syariah Kuala Lumpur melaporkan setiap 15 minit satu kes perceraian dilaporkan berlaku. Statistik ini menunjukkan betapa rapuhnya institusi kekeluargaan di negara kita pada hari ini sedangkan sebahagian daripada kesempurnaan kebahagiaan di dunia adalah dengan memiliki keluarga yang bahagia. Menurut mantan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dato` Seri Shahrizat Abdul Jalil, keluarga bahagia merupakan asas kepada pembentukan masyarakat penyayang. Beliau juga mengatakan bahawa dengan pembentukan keluarga bahagia, masyarakat dapat hidup dalam keadaan yang aman dan harmonis tanpa pertelingkahan serta perselisihan faham. Melalui pembentukan keluarga bahagia, individu yang kamil dan dihormati dapat dilahirkan yang sudah tentu akan dapat memberikan sumbangan terhadap pembangunan negara. Tanggungjawab membentuk keluarga bahagia tidak hanya bergantung pada satu pihak sahaja sebaliknya memerlukan kerjasama dan komitmen daripada pelbagai pihak bak kata peribahasa Melayu, “bagai aur dengan tebing”. Tidak dapat disangkal bahawa ibu bapa menggalas kewajipan yang dominan bagi membentuk keluarga bahagia, namun terdapat juga pihak lain yang memainkan peranan yang penting dalam membentuk keluarga bahagia.
Ibu bapa menggalas tanggungjawab yang penting bagi membentuk keluarga bahagia. Ibu bapa merupakan ketua keluarga yang akan membawa ahli keluarganya ke arah kehidupan yang bahagia dan semmpurna. Nabi Muhammad s.a.w pernah besabda bahawa anak-anak merupakan kain putih ibu, bapa yang memainkan peranan untuk mencorakkan kehidupan anak-anak sama ada menjadi Yahudi, Nasrani atau Majusi. Didikan dan asuhan ibu bapa penting supaya anak-anak menjadi golongan berkualiti serta dihormati dan tidak menjadi golongan barbar yang menjadi agen perosak terhadap pembangunan negara. Dalam hal ini, ibu bapa yang merupakan tulang belakang keluarga dapat mewujudkan keharmonian dalam rumah tangga dengan memperingati hari jadi ahli keluarga, mengadakan hari keluarga, melancong dan sebagainya. Apabila wujudnya suasana yang harmoni di rumah, anak-anak akan berasa lebih selamat dan selesa untuk berada di rumah daripada membazirkan masa dengan berpeleseran di luar rumah. Ibu bapa harus mentarbiah anak-anak mereka dengan menyemai nilai-nilai murni dan budaya ketimuran dalam sanubari anak-anak sejak berumur setahun jagung lagi bak kata pepatah bagai ‘melentur buluh biarlah dari rebungnya’. Ibu bapa harus meluaskan harizon pemikiran mereka dengan bersikap lebih terbuka. Mereka harus menerima pandangan anak-anak serta sentiasa berbincang dengan mereka supaya anak-anak akan berasa lebih selesa meluahkan perasaan kepada ibu bapa. Ibu bapa juga perlu memastikan anak-anak mereka menelusuri jalan kehidupan yang betul dengan memberikan perhatian dan kasih sayang yang secukupnya bagai ‘menatang minyak yang penuh’. Ibu bapa juga seyogiannya memberi hadiah dan galakan atas kejayaan ank-anak. Hal ini secara tidak langsung dapat menyumbang kepada pembentukan masyarakat penyayang yang merupakan cabaran yang ketujuh dalam usaha mencapai visi dan kudsi Wawasan 2020. Tegasnya, ibu bapa memainkan peranan penting dalam usaha membentuk keluarga bahagia demi kemajuan masyarakat dan negara.