Institusi keluarga terdiri daripada bapa,ibu,anak-anak dan saudara mara. Setiap unit mempunyai peranan yang jelas dan tersendiri. Walaupun keluarga merupakan agen sosial yang terkecil dalam masyarakat,namun keluarga memainkan peranan yang amat besar dalam melahirkan insan yang cemerlang. Ibu bapa terutamanya,mempunyai tanggungjawab yang besar kerana anak-anak diibaratkan seperti sehelai kain putih dan ibu bapalah yang perlu mencorakkannya. Malah, hadis Rasulullah S.A.W. ada mengatakan bahawa setiap anak yang dilahirkan adalah dalam keadaan yang bersih melainkan dua orang tuanya yang berperanan mencorakkannya menjadi Yahudi, Nasrani,atau Majusi. Jelaslah di sini bahawa keluarga memainkan peranan yang begitu penting dalam membentuk diri anak-anak dari segala aspek. Persoalannya,pernahkah ibu bapa renungkan sejauh mana peranan yang mereka mainkan berpengaruh dalam perjalanan hidup anak mereka?
Slogan ‘Rumahku Syurgaku’ membawa erti keluarga yang bahagia. Dalam hal ini,ibu bapa amat berperanan dalam melahirkan keluarga yang aman dan damai. Menurut Dr. Hassan Ali,Pengarah Akademi Keluarga Bahagia Malaysia,kesejahteraan bermula dari rumah,maka ibu bapa hendaklah menjadikan rumah seperti syurga yang penuh dengan kedamaian dan keindahan kepada anak-anak. Kesejahteraan di rumah akan dapat mewujudkan keluarga penyayang. Oleh itu,ibu bapa harus peka dan faham serta mempunyai iltizam untuk melahirkan insan yang utuh dari segi emosi,akhlak,dan moraliti dalam mengharungi ranjau serta liku yang sentiasa menghambat kesejahteraan keluarga. Anak-anak yang membesar dalam lingkungan kebahagiaan lebih mudah menerima perkara-perkara positif dalam membina jati diri mereka. Oleh itu,anak-anak terutamanya remaja yang baru sahaja berumur setahun jagung,darah setampuk pinang ini,tidak akan bercermin di air keruh. Selain itu,mereka juga lebih tenang dan lebih mudah menerima pelajaran bagi memastikan kecemerlangan mereka dalam bidang akademik. Mereka tidak akan teraba-raba dalam mencari hala tuju kerana mereka sudah mempunyai keluarga bahagia yang menjadi tulang belakang mereka. Justeru,dapatlah disimpulkan bahawa keluarga yang bahagia menjadi sumber kekuatan mereka dalam menempuh usia remaja yang penuh cabaran.