Berita Harian,12 Julai 2001 lalu telah melaporkan bahawa dalam tempoh 10 tahun antara tahun 1989 hingga tahun 1998,kadar jenayah membabitkan remaja meningkat sebanyak 35 peratus bagi lelaki dan 25 peratus bagi perempuan.Statistik ini menunjukkan bahawa masalah sosial dalam kalangan remaja semakin membimbangkan.Hal ini tidak seharusnya dipandang remeh kerana remaja merupakan satu-satunya tonggak negara dalam menerajui kepimpinan negara sesuai dengan ungkapan “pemuda harapan bangsa,pemudi tiang negara”.Persoalannya,jika remaja kita musnah sebagai akibat keseronokan yang sementara ini,siapakah yang akan terus memperjuangkan nasib negara kita? Justeru,senario ini mencetuskan kebimbangan kepada semua pihak termasuklah golongan ibu bapa,guru,masyarakat,dan negara. Tidak dinafikan,pelbagai usaha telah digembleng bagi mengatasi kemelut ini.Namun begitu,apakah punca kepada kegagalan tersebut?
Kemelut ini sebenarnya bermula daripada diri remaja itu sendiri.Perkataan remaja atau adolescene berasal dari perkataan Latin iaitu “adolescere” yang bermaksud “membesar” atau “membesar menjadi matang”.Menurut Kamus Dewan,Edisi Ketiga,remaja merupakan seorang yang mulai dewasa,sudah akil baligh,dan sudah cukup umur untuk berkahwin.Dari segi perspektif Islam pula,remaja dianggap sebagai mereka yang sudah cukup umur atau diistilahkan sebagai baligh.Pada peringkat ini,golongan remaja mengalami peralihan antara zaman kanak-kanak dengan zaman dewasa.Apabila mengaitkan diri remaja dengan gejala sosial yang semakin berleluasa pada hari ini,kita dapat melihat sikap ingin mencari sesuatu yang baharu atau sikap ingin tahu yang ada dalam diri remaja sebagai satu faktor yang utama.Sikap ingin tahu memang wujud dalam diri remaja.Lazimnya mereka gemar mencuba sesuatu yang baharu.Setiap perkara yang terlarang,itulah yang ingin diterokai oleh mereka.Contohnya,fenomena lumba haram yang terjadi akibat keinginan remaja untuk menunjukkan belang mencerap keseronokan bersama rakan sebaya.Selain itu,masalah sosial seperti penyalahgunaan dadah juga adalah daripada sikap ingin tahu yang tidak kena pada tempatnya.Menurut Tun Abdullah Bin Haji Ahmad Badawi,masalah dadah yang merupakan masalah utama,masih merupakan ancaman besar negara.Hal ini membuktikan,betapa seriusnya masalah dadah.Lebih-lebih lagi,gejala ini melibatkan golongan remaja.