PhotobucketPhotobucketPhotobucketPhotobucket

02 January 2014

Masalah Remaja Kini

Masalah Remaja Kini

Pengenalan
Kebelakangan ini terlalu banyak diperkatakan isu yang berkaitan dengan masalah sosial yang melibatkan remaja. Pelbagai andaian, hujah, cadangan, program dan aktiviti bagi menangani masalah sosial ini diutarakan. Perlakuan sosial yang negatif dalam bentuk devian sosial tidak seharusnya merupakan satu petunjuk ke atas kelemahan masyarakat untuk membudayakan pembangunan secara positif yang berteraskan prinsip dan nilai-nilai
Pengertian masalah sosial remaja secara umumnya masalah sosial merangkumi berbagai perlakuan negatif anggota masyarakat yang tidak membawa sokongan dan keuntungan kepada kekuatan sistem dan struktur ekonomi yang diamalkan dalam sesuatu masyarakat ataupun negara. Tingkah laku remaja yang suka menghabiskan masa lapang di kompleks membeli belah, bermain permainan komputer di kafe siber, berbual kosong di kedai “fast food” seperti McDonalds dan Starbuck dan tempat tumpuan orang ramai dikenali sebagai aktiviti lepak. Masalah ini telah menjadi satu budaya kepada golongan remaja khasnya.
Budaya ini semakin memperlihatkan remaja masa kini yang tidak menyedari yang mereka adalah pewaris masa hadapan bagi menjayakan wawasan negara. Persoalannya sekarang, banyak media massa yang memberi kenyataan menyatakan pemimpin-pemimpin negara, masyarakat tempatan dan individu telah meletakkan lepak dikalangan remaja ini sebagai salah satu aktiviti sosial dan budaya yang setanding dengan isu penyalahgunaan dadah, penyakit AIDS dan pembuangan anak (Azizi Yahya, et.al, 2002).
Budaya Lepak
Kegiatan melepak merupakan suatu masalah sosial yang dipandang serius oleh masyarakat Malaysia. Gejala membuang masa dengan melepak pastinya merupakan suatu penyakit di dalam masyarakat. Kegiatan ini bukan sahajadilakukan oleh remaja lelaki tetapi juga remaja perempuan. Tingkah laku ini dilakukan oleh golongan remaja yang menjadi golongan terbesar penduduk negara. Rentetan daripada gejala melepak ini, wujud banyak permasalahan lain dalam kalangan remaja kita yang menarik perhatian banyak pihak.
Media sering melaporkan tentang penagihan dadah, bohsia, lumba motor, lari dari rumah, mengandung sebelum kahwin, ponteng sekolah, hubungan seks sebelum kahwin dan sebagainya ekoran daripada perbuatan melepak pada peringkat awalnya. Begitu juga media mempopularkan 'budaya' hippies, punks, rokers, heavy metals dan lain-lain. Penonjolan berita tersebut yang ada ciri-ciri kontroversi sudah tentu mencetuskan perbincangan di kalangan orang ramai.
Persoalannya sekarang, mengapakah budaya lepak ini diamalkan oleh sebilangan remaja Malaysia hari ini ? Banyak kajian telah dibuat oleh para penyelidik sama ada tempatan mahupun luar negeri berhubung dengan sikap kecenderungan budaya lepak ini berleluasa. Yang membimbangkan adalah kita adalah peningkatan kes-kes devian yang melibatkan golongan ini. Menurut kajian Samsudin et. al., (1994) tingkah laku lepak dalam kalangan remaja menunjukkan secara purata remaja menghabiskan masa sebanyak 16.3 jam seminggu membuang masa berkumpul dan berbual kosong dengan rakan sebaya di tempat-tempat awam. Tambah beliau, kadar ini lebih menonjol di kawasan luar bandar iaitu di kawasan pembangunan tanah FELDA (28.4 jam) dan kampung tradisional (22.4 jam). Dalam masa setahun dianggarkan remaja akan menghabiskan 847.6 jam melepak iaitu bersamaan dengan 35 hari.
Jika dikaji dari segi sudut positif dan negatif budaya melepak ini, adakah adakah aktiviti yang dilakukan oleh remaja sewaktu melepak menunjukkan kecenderungan melakukan aktiviti devian? Kebanyakan remaja menyatakan mereka melepak sekadar berjumpa kawan, bersiar-siar, berehat, mencari ketenangan, melepaskan rasa bosan melihat gelagat orang lain atau mendapatkan hiburan. Kenyataan tersebut menunjukkan secara terbuka remaja tidak melakukan apa-apa aktiviti yang dianggap devian atau sumbang (Samsudin, et.al., 1994). Keadaan ini memperlihatkan golongan remaja yang melepak ini dengan hasrat yang murni dan tujuan yang baik.
Walau bagaimanapun, kebanyakan kes yang berlaku disebabkan masalah seperti kelemahan dan keruntuhan institusi keluarga. Kekurangan kasih sayang, perhatian, asuhan dan didikan akhlak daripada ibu bapa kepada anak- anak. Ibu bapa yang dibuai kebendaan dan mementingkan karier serta wang selalu mengabaikan tanggungjawab mereka keatas anak-anak di rumah. Anak-anak dibiarkan hanyut dalam dunia khayalan yang menjerumuskan mereka ke lembah kehinaan. Mereka mudah meyimpang daripada lunas yang murni dan berakhlak, kini mereka hidup bebas tanpa segan silu dan tidak menghiraukan masyarakat apabila melakukan pelbagai gejala sosial. Kebebasan tanpa pedoman, batasan dan didikan agama akan berakhir dengan kehancuran.
Faktor kedua ialah faktor rakan sebaya, persekitaran masyarakat, media massa dan kelemahan undang-undang memburukkan lagi keadaan. Hal ini juga menjadi pemangkin kepada meluasnya gejala sosial dalam kalangan remaja. Bagi remaja yang tercicir dalam persekolahan, kewujudan peluang-peluang pekerjaan di kawasan bandar ekoran pertumbuhan aktiviti perindustrian mengakibatkan penghijrahan meluas ke kawasan bandar. Penghijrahan remaja dari kampung bagi mencari pekerjaan di bandar-bandar mendatangkan pelbagai kesan langsung dan tidak langsung seperti masalah sosial, keluarga serta perubahan nilai dan sikap.
Terdapat pelbagai unsur negatif yang disalurkan melalui media massa terutamanya media elektronik seperti filem ganas dan lucah yang tidak sesuai dengan agama, akhlak, budaya timur dan wawasan negara. Laporan televisyen dan akhbar menunjukkan gejala sosial remaja berlaku selepas menonton filem berunsur ganas. Mereka seolah-olah terpengaruh dengan apa yang mereka lihat. Desakan keluarga dan kuasa sivik membantu menghalang remaja daripada terlibat dengan aliran muzik rock yang negatif dan kesan umum daripada rakaman video. Permainan video dan pengaruh televisyen cukup sinonim dengan pelbagai masalah sosial yang berlaku dalam kalangan remaja.
Antara lain tidak dapat mengawal nafsu diri, tidak mendengar nasihat orang tua,ingin mencuba dan ingin meniru. Nafsu yang paling jahat menghantui jiwa remaja ialah terdorong kepada kegiatan jahat dan hidup berfoya-foya yang hanya dikejar ialah keseronokan dan kemewahan tanpa memikirkan masa depan. Mereka melakukan perkara-perkara yamg melampaui batas dan boleh menggelapkan naluri mereka, sehinggakan terjebak dalam lembah maksiat semata-mata nengejar keseronokan dan kemewahan. Pengabaian bimbingan, asuhan dan pendidikan remaja mengakibatkan kelahiran pelbagai gejala sosial seperti samseng sekolah, budaya lepak, tidak minat belajar, vandalisme, berjudi, lari dari rumah, penyalahgunaan dadah dan pil khayal, bohjan, pengguguran dan pembuangan anak, budaya punk, ’skinhead’’black metal’, lumba haram dan sebagainya.
Peranan Ibu Bapa dan Sekolah
Peranan ibubapa adalah amat penting dalam memberikan perhatian yang serius terhadap anak-anak mereka. Ibu bapa mestilah memperhatikan setiap gerak-geri atau pergerakan anak-anak mereka. Ibu bapa hendaklah sentiasa mengetahui dan mengenalpasti masalah yang dihadapi oleh anak mereka serta sanggup meluangkan masa untuk mengatasi masalah yang dihadapi oleh anak mereka serta sanggup meluangkan masa untuk mengatasi masalah tersebut. Ibu bapa juga seharusnya mengetahui rakan-rakan mereka berkawan dan bergaul dengan mereka yang mempunyai kedudukan moral yang baik.
Menurut Kaplan (1975) (dalam Azizi, 2002) budaya lepak adalah berkaitan dengan psikopatologi iaitu mengalami masalah personaliti, gangguan mental, gangguan emosi, selalu anxieti atau depresi. Didapati juga kebanyakan golongan remaja yang terlibat dalam budaya lepak mempunyai masalah keluarga, sukar membina hubungan rapat dengan ahli keluarga dan sebagainya. Oleh itu, ibu bapa hendaklah menghabiskan sebahagian daripada masa mereka bersama dengan anak-anak mereka dengan memberi keyakinan, keberanian, mewujudkan sikap positif terhadap masalah, emosi dan keputusan.
Selain itu, tingkatkan penghayatan anak-anak terhadap agama, nilai-nilai murni, motivasi, melatih anak cara bersopan, prinsip-prinsip akauntabiliti, tepati janji, berketerampilan, menunjukkan keperibadian yang mulia, sanggup menerima kelemahan diri serta meneroka potensi anak. Ibu bapa hendaklah menjadi role model kepada anak.
Sejajar dengan pentingnya fungsi ibu bapa yang ideal dengan cara mengetahui asas perhubungan sesama manusia. Ibu bapa boleh mmembesarkan anak-anak yang bertanggungjawab, berdisiplin dan bekerjasama tanpa bergantung kepada perasaan takut. Mereka boleh belajar mempengaruhi anak supaya berkelakuan lebih baik seperti yang dikehendaki oleh ibu bapa daripada takut hukuman yang akan dikenakan atau keistimewaan mereka ditarik balik (Ahmad Lisot,1998). Dengan itu, menunjukkan bahawa perhubungan mesra dengan ibu bapa dapat menghindar remaja dari terlibat dengan perkara-perkara yang kurang sihat (Nelson,1992).
Di peringkat sekolah, pendekatan akademik boleh dilakukan dengan menambahkan aktiviti-aktiviti berteraskan akademik dan separa akedemik seperti kegiatan ko-kurikulum di sekolah. Hal ini boleh membantu para remaja dari terjebak dengan pelbagai gejala sosial yang tidak elok. Begitu juga dengan perubahan-perubahan teknik-teknik pengajaran seperti pengunaan komputer, video, bantuan alat pandang dan teknik pengajaran luar kelas. Ianya juga haruslah dikawal setiap penggunaan teknologi pada masa kini dari mengelak remaja menyalah gunakan teknologi tersebut.
Peruntukan undang-undang di sekolah boleh menimbulkan rasa takut dalam kalangan pelajar sekolah, di samping mengurangkan beban dan tanggungjawab pihak sekolah dan pihak ibu bapa dalam pengawasan disiplin. Bidang kuasa polis yang sedia ada perlu digunakan oleh pihak pentadbir sekolah dalam mendisiplinkan pelajar-pelajar. Pihak pentadbir hendaklah mengambil kesempatan dengan merujuk masalah pelajar ini kepada pihak polis.
Persatuan ibu bapa dan guru (PIBG) perlulah memainkan peranan yang penting. Pertemuan yang lebih kerap antara ibu bapa, penjaga dan guru perlu diadakan khasnya bagi pelajar-pelajar yang bermasalah. Ibu bapa seharusnya menerima teguran guru dengan sikap terbuka dan positif.
Langkah-langkah pencegahan yang bersesuaian hendaklah diadakan seperti kaunseling di peringkat sekolah. Kaunseling di peringkat sekolah adalah penting dalam membantu remaja mengatasi masalah mereka. Program ini akan lebih bermakna sekiranya kaunselor-kaunselor yang berkelayakan dan berpengalaman dilantik dalam memantapkan pelaksanaan dan keberkesanan kaunseling tersebut.
Pelbagai langkah boleh diambil dan dilaksanakan, tetapi apa yang lebih penting ibu bapa mestilah memainkan peranan dan tanggungjawab dalam mengatasi masalah kerutuhan akhlak dalam kalangan remaja pada hari ini. Dengan kata lain, walau apapun langkah yang diambil oleh mana -mana pihak seperti kerajaan dan swasta (NGO), tanpa kerjasama daripada ibu bapa, nescaya gejala ini sukar dibendung dan diatasi. Jadi kita perlulah sama-sama mengatasi masalah yang kian berleluasa ini. Hal ini kerana, remaja adalah tonggak peneraju di masa hadapan kita suatu hari nanti.
Pengenalan
Di Malaysia, remaja merangkumi lebih daripada separuh keseluruhan penduduk. Oleh kerana bilangannya yang ramai, maka masalah yang berkaitan dengan kelompok ini juga banyak. Data dan statistik banyak menunjukkan keruntuhan akhlak dalam kalangan remaja di negara ini adalah semakin serius. Mengikut Pihak Berkuasa Jenayah Bukit Aman (Berita Harian, 22 September 1993) antara tahun 1990 dan 1992 sahaja, seramai 37602 individu ditahan bagi kesalahan jenayah harta benda serta kekerasan. Daripada jumlah ini, seramai 3450 atau 9.17% adalah remaja dan dalam kalangan remaja yang diberkas pula, kesalahan yang dilakukan boleh dibahagikan kepada jenayah kekerasan dan harta benda.
Kes Jenayah Melibatkan Golongan Remaja
Perangkaan polis menunjukkan, antara kes jenayah yang selalu dilakukan oleh remaja adalah pecah rumah, rusuhan, pergaduhan sesama mereka, salah guna dadah, mencuri basikal atau motosikal (Utusan Malaysia, 6 Januari 1992). Jenayah yang dilakukan oleh remaja bukan hanya berlaku di kawasan bandar raya atau bandar-bandar besar sahaja, malah di merata tempat di seluruh pelusok negara. Sebagai contoh, di Kedah sahaja, sebanyak 307 kes jenayah berlaku sepanjang tahun 1991. Daripada jumlah itu, 73 kes membabitkan pelajar sekolah. Mengikut pembahagian kaum, seramai 204 kes melibatkan kaum Melayu, 54 remaja Cina dan 47 adalah remaja kaum India.
Berdasarkan statistik, kes melibatkan remaja jelas meningkat antara tahun 1990 dan 1992. Pada tahun 1990, sebanyak 657 kes dicatatkan, diikuti 830 kes pada tahun 1991 dan 1487 kes pada tahun 1992. Satu lagi kesalahan yang melibatkan remaja adalah lari atau hilang dari rumah. Pada tahun 1990, terdapat 1578 kes, 1991 (1981 kes), 1992 (2221 kes) dan 1993 (1485 kes). Dari segi jenayah melibatkan bahan berbahaya seperti dadah psikoaktif, antara tahun 1990 dan 1992, daripada jumlah 22912 penagih dadah yang ditahan, 2856 orang (12.46%) adalah remaja.
Statistik seterusnya adalah bersabit kesalahan akhlak yang amat serius dari kaca mata masyarakat Malaysia, iaitu perbuatan maksiat dalam kalangan remaja. Menurut Menteri Perpaduan Negara dan Pembanguan Masyarakat, Datuk Napsiah Omar (Berita Harian, 3 Februari 1992), bilangan remaja yang rosak ahklak masih tinggi. Pada tahun 1988, sebanyak 3978 kes dicatatkan, 4111 kes pada tahun 1989, 3763 kes pada tahun 1990 dan sebanyak 2658 kes sehingga bulan Oktober 1991.
Satu lagi tabiat remaja yang menampakkan potensi untuk menjadi gejala yang sukar dibendung adalah kegemaran mereka membazir masa. Istilah yang popular digunakan kini adalah “budaya lepak”. Satu kajian di dua buah rumah pangsa di Kuala Lumpur mendapati sebanyak 90% remaja kaum Cina terus pulang ke rumah selepas sekolah, sebanyak 72% remaja kaum India berbuat demikian dan hanya 5.8% remaja kaum Melayu pulang ke rumah selepas sekolah (Utusan Malaysia, 11 Mac 1993).
Punca Berlaku Dari Sudut Psikologi
Psikologi sosial adalah merupakan cabang ilmu dari psikologi yang berkisar kepada fakta-fakta, gejala-gejala serta kejadian-kejadian dalam kehidupan sosial manusia. Fenomena sosial yang dialami oleh individu terutamanya golongan remaja merupakan rantai masalah yang berakar dari masalah konsep diri. Dari situlah muncul pelbagai maslalah seperti inferioritas, kurang percaya diri, dan hobi mengkritik diri sendiri. Seseorang dikatakan mempunyai konsep diri negatif jika ia meyakini dan memandang bahawa dirinya lemah, tidak berdaya, tidak dapat berbuat apa-apa, tidak kompeten, gagal, malang, tidak menarik, tidak disukai dan kehilangan daya tarik terhadap hidup.
Orang dengan konsep diri negatif akan cenderung bersikap pesimistik terhadap kehidupan dan kesempatan yang dihadapinya. Ia tidak melihat tantangan sebagai kesempatan, namun lebih sebagai halangan. Orang dengan konsep diri negatif, akan mudah menyerah sebelum berperang dan jika gagal, akan ada dua pihak yang disalahkan, entah itu menyalahkan diri sendiri (secara negatif) atau menyalahkan orang lain (Edwi Arief Sosiawan, http://edwi/.dosen.upnyk.ac.id).
Ahli psikologi menganggap alam remaja sebagai satu peringkat “emotional age” kerana di peringkat ini mereka tercari-cari identiti sendiri di mana berlakunya pertembungan di antara keinginan dan kebimbangan dalam menempuhi alam dewasa. Ramai daripada golongan remaja terjebak dengan gejala sosial serta meninggalkan batas keperibadiannya sekaligus melupakan nilai moral yang sepatutnya tersemai di dalam diri mereka. Remaja memperoleh kesedaran pada diri mereka sebagai individu, rakan sebaya, pekerja, dan ibu bapa yangberkebolehan serta sebagai individu yang baru.
Tarikan pada jantina berlawanan akan muncul, pencarian idea dan orang yang boleh dipercayai juga bermula. Pengharapan baru pada diri mula diadaptasikan. Imej-imej kendiri ini mulanya cenderung menjadi fleksibel dan sedikit demi sedikit akan berubah mengikut masa, tempat dan situasi. Akhirnya, para remaja akan menyediakan diri menanggung beban identiti yang serius serta berusaha menyelesaikan krisis identiti yang berlaku dalam perhubungannya dengan orang lain.
Anak-anak, khasnya remaja pada abad ke-21 ini lebih terdedah kepada pelbagai bentuk pengaruh. Dalam dunia yang disebut “borderless world” ini banyak menerima pengaruh positif mahu pun negatif. Anak-anak lebih mudah tertawan dengan program yang membunuh sahsiah berbanding program yang menghidupkan peribadinya (Hassan Mohd Ali, 1997). Pelajar yang sering melanggar disiplin atau salah laku ini dikenali pelajar devian. Dalam konteks jenayah remaja kini, sifat devian mereka dirujuk sebagai perlanggaran norma-norma masyarakat.
Punca Berlaku Dari Sudut Sosiologi
Sosiologi sebagai ilmu yang mempelajari hubungan-hubungan sosial yang ada dalam masyarakat, memfokuskan kajiannya pada peran dan kedudukan individu dalam masyarakat serta hubungan di antara keduanya. Sehubungan dengan hal ini beberapa pemikir sosiologi pun terbagi menjadi tiga kelompok, yaitu mereka yang menekankan kajiannya pada 1) dominasi individu; 2) dominasi masyarakat; dan 3) saling pengaruh antara individu dan masyarakat. Sesuai dengan skop tugasan ini yang menyatakan kes jenayah dalam kalangan remaja semakin meningkat akan dilihat dari sudut siosiologi iaitu cakupan pengaruh luaran dan hubungannya.
Budaya lepak yang berkembang dalam kalangan remaja mempunyai kecenderungan ke arah pembiakan pelbagai gejala keruntuhan moral yang amat serius serta meningkatkan kes jenayah dan masalah sosial yang kritikal. Pembiakan budaya jenayah, dalam hal ini, seringkali dikaitkan dengan budaya lepak. Daripada aspek lain, budaya lepak menyebabkan meningkatkan kes jenayah juvenil, kenakalan, dan jenayah ringan dan berat dalam masyarakat. Modenisasi membawa nilai baru yang dalam keadaan tertentu dapat menimbulkan krisis nilai dan dilema moral dalam kalangan belia. Penghijrahan golongan belia luar bandar ke bandar untuk mengejar perubahan menimbulkan kejutan budaya. Dalam keadaan tertentu, fenomena sosial budaya lepak ini amat mengancam keselamatan dan keamanan serta memberi gambaran buruk tentang masalah sosial dan jenayah yang membimbangkan.
Perhubungan golongan remaja dengan rakan sebaya mereka akan memberi sumber inspirasi dalam mengubah nilai dan sikap seseorang apabila pengaruh keluarga akan berkurangan. Kanak-kanak atau remaja yang berasal daripada keluarga bermasalah mudah dipengaruhi oleh rakan sebaya yang senasib dengannya dan membentuk kumpulan tersendiri. Kumpulan ini mudah terpengaruh dengan anasir-anasir jahat. Mereka akan membuat sesuatu yang di luar jangkaan untuk menarik perhatian orang lain.
Kemunculan golongan rendah moral dan tidak bertanggungjawab yang menaja budaya hedinisme dalam kalangan remaja seperti Black Metal sudah cukup memberi cabaran serta saingan kepada usaha guru membimbing dan mendidik remaja sekolah ke arah pengalaman budaya sihat. Pengaruh rakan sebaya akan mencorak sikap dan nilai tingkah laku pelajar terutamanya pelajar yang berasal daripada keluarga yang bermasalah dan keciciran dalam pelajaran.
Rumusan
Sebagai kesimpulan dapatlah dikatakan bahawa remaja yang merupakan aset negara amat penting dan merupakan pemimpin masa hadapan. Oleh itu, perubahan tingkah laku para ke arah positif amat penting dalam memberi hala tuju yang betul dan baik bagi kehidupan mereka. Selaras dengan perkembangan dunia moden hari ini banyak cabaran telah memberi implikasi dalam hidup mereka di mana turut mencakupi aspek psikologi dan sosiologi. Keadaan ini memberi impak secara menyeluruh dalam hidup remaja yang bermasalah dan cenderung melakukan kesalahan di mana bertentangan dengan undang-undang dan norma masyarakat kita.

No comments :

Post a Comment

[ TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBACA ]
Photobucket