26 August 2016

KEPENTINGAN PERPADUAN KAUM DALAM PEMBENTUKAN BANGSA MALAYSIA

Sejak 31 Ogos 1957,penduduk Malaysia yang terdiri daripada masyarakat yang berbilang kaum iaitu,Melayu,India dan Cina hidup bekerjasama. Walaupun menyedari hakikat bahawa rambut sama hitam hati lain-lain,namun masyarakat yang berbilang kaum ini dapat hidup dalam keadaan yang sejahtera dan harmoni. Oleh itu,semua pihak perlu berpegang pada kekuatan jata negara iaitu 'Bersekutu Bertambah Mutu' untuk mengeratkan perpaduan di Malaysia.

             Tun Dr.Mahathir Mohamad,Mantan Perdana Menteri Malaysia telah menggariskan sembilan cabaran yang perlu direalisasikan menjelang tahun 2020. Salah satu cabaran yang terdapat dalam Wawasan 2020 ialah pembentukan masyarakat yang bersatu padu dan penyayang. Hal ini membuktikan bahawa warga kota yang tidak bersifat individualistik dan materialistik merupakan intipati dalam mewujudkan negara maju. Masyarakat yang mementingkan diri sendiri seperti enau dalam belukar melepaskan pucuk masing-masing tidak diperlukan. Selain itu,semangat perpaduan ialah asas pembangunan negara bangsa kerana sebarang keretakan dalam hubungan akan menjejaskan iktisad negara.

           Antara sumbangan yang terbesar masyarakat yang bersatu padu adalah dari segi ekonomi. Pascakemerdekaan,negara Malaysia menyaksikan pertumbuhan ekonomi yang rancak. Misalnya,kemajuan dalam bidang perindustrian. Kemajuan yang dicapai oleh Malaysia begitu dikagumi masyarakat antarabangsa kerana siapa sangka negara cili padi ini mampu berdiri sama tinggi duduk sama rendah dengan negara-negara maju yang lain. Pertumbuhan ekonomi ini merupakan sumbangan rakyat yang berpegang teguh pada prinsip bersatu teguh,bercerai roboh.

                Negara yang aman merupakan negara yang bebas daripada apa-apa jenis kekecohan. Seperti peristiwa yang berlaku beberapa tahun yang lepas,di Bangkok,Thailand,telah timbul kekecohan oleh penyokong bekas Perdana Menteri yang digulingkan,Thaksin Shinawatra. Mereka menuntut pilihan raya baru. Kekecohan ini menyebabkan perintah darurat telah diisytiharkan. Intihannya,pasti pelancong asing akan berfikir dua kali sebelum melancong ke Thailand,walaupun selepas sekian lama kekecohan tersebut berlaku. 

             Hal ini membuktikan bahawa negara yang aman dan damai akan mendorong pelancong untuk melancong ke negara kita. Keadaan ini secara tidak langsung akan dapat memajukan sektor pelancongan. Di samping itu,kita juga dapat mempamerkan warisan budaya yang tak lapuk dek hujan dan tak lekang dek panas. Sesungguhnya,negara kita sememangnya kaya dengan khazanah yang tidak ternilai.

            Segala sikap positif tersebut dapat membentuk hidup yang aman damai. Ini dapat menstabilkan politik negara. Kestabilan politik negara amat penting untuk menarik pelabur asing untuk melabur di negara kita. Pelabur asing akan menaruh kepercayaan dalam sektor perindustrian dan pertanian. Malah,mereka akan lebih yakin akan keselamatan mereka di negara ini.

            Jelaslah bahawa pentingnya perpaduan kaum dalam pembentukan bangsa Malaysia. Kecenderungan bersatu padu amat penting kepada masyarakat dan negara untuk menuju ke arah pembentukan negara supaya dapat mencapai kemajuan dan agar wawasan 2020 menjadi realiti dan bukan fantasi semata-mata. Oleh itu,kita perlulah memasang iltizam untuk memartabatkannya dengan bersatu padu  kerana di mana ada kemahuan di situ ada jalan.

No comments :

Post a Comment

[ TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBACA ]