PhotobucketPhotobucketPhotobucketPhotobucket

20 October 2015

REVISI KARANGAN RANGSANGAN SPM 2

LANGKAH-LANGKAH MEMUPUK SEMANGAT KEJIRANAN DALAM KALANGAN MASYARAKAT(PERCUBAAN KELANTAN 2015)

(T) Dari segi  konsepnya semangat kejiranan boleh ditakrifkan sebagai suatu perasaan yang harus dipupuk oleh setiap masyarakat di Malaysia tanpa mengira warna kulit bangsa dan agama dalam usaha untuk mengukuhkan perpaduan kaum demi negara yang tercinta. Biasanya semangat kejiranan merangkumi semua lapisan masyarakat tidak kira muda ataupun tua yang perlu kita amalkan. (I) Malangnya, dewasa ini, semangat kejiranan dalam kalangan masyarakat kita semakin hari semakin terpinggir. Masyarakat pada hari ini lebih mementingkan diri sendiri dan membudayakan hidup bagai enau dalam belukar melepaskan pucuk masing-masing. (A) Jadi, sebelumbisul menjadi nanah, masalah komuniti ini perlu dirawat dengan segera. Oleh itu, langkah yang signifikan harus diambil bagi menerapkan semangat kejiranan kepada semua lapisan masyarakat.
 (I) Langkah dominan ialah kita hendaklah mengadakan majlis-majlis rumah terbuka semasa sesuatu sambutan perayaan. (M) Melalui majlis rumah terbuka ini, semua ahli dalam masyarakat berpeluang untuk berkumpul dan berbincang sambil menikmati juadah yang disediakan oleh tuan rumah. (BA) Sebagai contoh, semasa perayaan Hari Raya Aidilfitri, Tahun Baharu Cina, Krismas, Deepavali, dan sebagainya majlis-majlis rumah terbuka hendaklah dijadikan acara tahunan. (K) Dengan adanya pengimplimentasian program seperti ‘Rumah Terbuka Kebangsaan’ bagi setiap sambutan perayaan, rakyat dapat diterapkan dengan nilai hormat-menghormati dan sayang-menyayangi antara satu sama lain (U) ibarat kata bidalan, ‘serumpun seperti serai, seikat seperti sirih’. (P) Pendek kata, majlis rumah terbuka mampu mengeratkan hubungan kejiranan dan memupuk semangat kejiranan dalam kalangan masyarakat.
 (I) Meninjau dari skop yang lain, langkah yang seterusnya adalah dengan mengadakan aktiviti gotong-royong. (M) Hal ini dikatakan demikian kerana jiran-jiran dapat berkumpul dan bekerjasama sambil berbincang tentang aktiviti yang akan dilakukan. (BA) Aktiviti yang boleh diadakan secara bergotong-royong adalah seperti membersihkan kawasan taman, menyediakan hidangan untuk kenduri-kendara dan sebagainya. (K) Apabila berkumpul dan berbincang, mereka akan dapat berkenal-kenalan antara satu dengan yang lain yang sekali gus membolehkan seseorang itu mengenal hati budi jiran mereka dengan lebih dekat. Hal ini dapat digambarkan melalui pepatah Melayu yang mengatakan bahawa tak kenal maka tak cinta. Selepas mengenali hati budi antara satu sama lain barulah benih-benih kasih sayang dan hubungan kejiranan akan menjadi erat  bagai isi dengan kuku. (P) Tegasnya, semangat kejiranan dapat diwujudkan melalui amalan bergotong-royong yang diamalkan secara berkala dalam komuniti hari ini.
 (I) Bukan itu sahaja, amalan ini dapat dipupuk dalam kalangan masyarakat melalui amalan ziarah-menziarahi. (M) Melalui aktiviti ini, kita akan mengetahui masalah dan kesusahan yang dialami oleh jiran kita dengan mempamerkan sifat prihatin kita terhadap jiran yang ditimpa musibah atau malapetaka. (BA) Tamsilnya, kita perlu berkunjung ke hospital jika kita mendapat berita bahawa jiran kita dimasukkan ke hospital kerana menghidapi sesuatu penyakit atau ditimpa kemalangan. (U) Walaupun pepatah Melayu ada mengatakan bahawaberat mata memandang berat lagi bahu memikul namun sebagai jiran, kita mestilah berpegang pada prinsip cubit paha kiri, paha kanan terasa juga. (K) Dengan ini, kita dapat meringankan penderitaan dan kesusahan yang dialami oleh jiran kita. (P) Ringkasnya, amalan ziarah-menziarahi mampu menyemarakkan semangat kejiranan dalam kalangan masyarakat kita.
         (K) Secara tuntasnya, dapatlah disimpulkan bahawa terdapat beberapa langkah yang dapat dipraktikkan untuk memupuk semangat kejiranan dalam kalangan masyarakat kita. Jiran sangat penting kerana merekalah yang akan menjadi sahabat kita dan orang yang akan membantu kita apabila kita menghadapi kesusahan nanti. (CDGN) Oleh itu, kita perlu memupuk semangat kejiranan bermula dari sekarang. Cogan kata ‘Jiran Sepakat Membawa Berkat’ perlu terus diamalkan dalam kehidupan kita sehari-hari. (HRPN) Allah SWT berfirman yang bermaksud,“Wahai manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kamu daripada seorang lelaki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu dapat kenal-mengenali”. Diharapkan Malaysia mampu mengekalkan perpaduan yang dimiliki hari ini buat selama-lamanya melalui semangat kejiranan yang utuh.







UNGKAPAN MENARIK

1. bagai enau dalam belukar melepaskan pucuk masing-masing
2. serumpun seperti serai, seikat seperti sirih
3. tak kenal maka tak cinta
4. bagai isi dengan kuku
5. berat mata memandang berat lagi bahu memikul
6. cubit paha kiri, paha kanan terasa juga
7. Jiran Sepakat Membawa Berkat
8. Allah SWT berfirman yang bermaksud, “Wahai manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kamu daripada seorang lelaki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu dapat kenal-mengenali”.

No comments :

Post a Comment

[ TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBACA ]
Photobucket