22 October 2015

REVISI KARANGAN RANGSANGAN SPM 3

LANGKAH MEMELIHARA ALAM SEKITAR TANGGUNGJAWAB BERSAMA (PERCUBAAN MRSM 2015)

(T) Alam sekitar adalah sesuatu yang penting dalam kehidupan manusia, tidak mengira bangsa, agama dan negara. Alam sekitar ini termasuklah kawasan-kawasan tumbuhan hijau, udara dan air seperti sungai dan laut. (I) Namun demikian, mutakhir ini, arus modenisasi menderaskan lagi pembangunan negara. Pelbagai projek sosioekonomi dijalankan dengan begitu rancak namun secara tidak sedar alam sekitar sudah terjejas. Kita sebenarnya tersepit antara keinginan menjadi sebuah negara maju dengan alam sekitar yang perlu dipelihara, bak kata peribahasa ditelan mati mak, diluah mati bapa. (A) Sebagai masyarakat yang bertanggungjawab, kita seharusnya mensyukuri nikmat pemberian Tuhan yang amat berharga ini. Oleh itu, langkah-langkah bersama yang pragmatik dan proaktif perlu diambil untuk memelihara anugerah ciptaan-Nya.
 (I) Salah satu langkah yang efektif dalam penjagaan alam sekitar adalah dengan menggalakkan tanaman hijau.(M)  Tanaman pokok seperti pokok-pokok bunga dan sayur-sayuran sangat berguna dalam kehidupan manusia. Kepentingan pokok terhadap alam sekitar umpama aur dengan tebing iaitu saling memerlukan. (BA) Sebagai contohnya, pihak ibu bapa atau pihak sekolah boleh menggalakkan aktiviti penanaman pokok seperti pokok-pokok bunga di kawasan persekitaran untuk menyahut seruan atau menyokong kempen penanaman pokok yang dijalankan pihak kerajaan bagi memulihara alam sekitar. (K) Kesannya, alam sekitar yang hijau dapat memberikan udara yang nyaman dan segar kepada penghuninya sekali gus dapat menghijaukan alam sekitar. (P) Tegasnya, galakan dalam aktiviti penanaman pokok dapat memelihara alam sekitar kita daripada tercemar.
 (I) Selain itu, penjagaan kebersihan sungai juga dapat memelihara alam sekitar. (M) Usaha ini penting kerana sungai sungai merupakan nadi kehidupan kita kerana sungai merupakan sumber bekalan air yang utama kepada manusia dan haiwan. (BA) Untuk memastikan sungai terpelihara daripada sebarang aktiviti pencemaran,semua anggota masyarakat perlulah melibatkan diri secara aktif dan kolektif dalam menjayakan Kempen Cintai Sungai Kita yang dianjurkan oleh pihak berautoriti. Aktiviti membersihkan sungai perlulah dijalankan secara berkala dan bukannya hangat-hangat tahi ayam. Masyarakat juga perlulah mengelakkan tabiat membuang sampah ke dalam sungai kerana perbuatan terkutuk itu akan mendatangkan kemudaratan kepada semua makhluk Tuhan. (K) Kesannya, sungai yang bersih dapat menjamin kesihatan yang baik di samping dapat menjaga alam sekitar daripada berlakunya bencana alam seperti banjir kilat. (P) Izharlah bahawa pemeliharaan alam sekitar dapat dicapai melalui kerjasama menjaga kebersihan sungai.
 (I) Seperkara lagi, langkah yang juga praktikal ialah semua rakyat perlu mengamalkan kitar semula barang terpakai. (M) Program kitar semula memainkan peranan yang penting bagi pengurusan alam sekitar dan sumber semula jadi yang mapan. (BA) Sebanyak 40 peratus sampah sarap seperti tin, besi buruk, botol, kertas dan barangan plastik boleh dikitar semula. Contohnya, jika kertas dapat dikitar semula secara maksimum kita dapat mengurangkan 4,360 tan sampah sehari yang bersamaan 78,000 batang pokok. (K) Impaknya, kita dapat menyelamatkan alam sekitar seperti pokok dan dapat pula mengurangkan kos sumber tenaga serta menambah pendapatan keluarga. Hal ini dikatakan sambil menyelam minum air. Pendek kata, amalan kitar semula yang dipraktikkan oleh semua rakyat Malaysia dapat memelihara alam sekitar di negara kita.
           (K) Sebagai intihanya, pemeliharaan alam sekitar dapat dilaksanakan dengan pelbagai langkah yang diambil oleh pelbagai pihak kerana memelihara alam sekitar merupakan tanggungjawab bersama. Sesungguhnya alam sekitar ini merupakan harta paling berharga yang perlu dijaga kepentingannya. (CDGN) Oleh itu, semua pihak perlu bersendel bahu dan bergabung tenaga ibarat ke bukit sama didaki, ke lurah sama dituruni untuk memikul amanah menjaga dan memelihara alam sekitar kita. Hal ini bersesuaian dengan pesanan Mantan Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Tan Sri Joseph Kurup yang menyeru semua pihak tanpa mengira umur, sektor swasta atau kerajaan perlu bekerjasama bagai aur dengan tebing  bagi memelihara dan memulihara alam sekitar yang semakin terancam pada hari ini sehingga menyebabkan banjir,tanah runtuh dan pelbagai bencana alam yang lain. (HRPN) Diharapkan komitmen jitu daripada pelbagai pihak dapat melestarikan keindahan alam sekitar yang menjadi platform kepada kesihatan rakyat di negara kita. Hal ini bersesuaian dengan cogan kata ‘Negara Bersih, Rakyat Sihat.







UNGKAPAN MENARIK:

 1. ditelan mati mak,diluah mati bapa.
 2. umpama aur dengan tebing
 3. hangat-hangat tahi ayam
 4. sambil menyelam minum air
 5. ibarat ke bukit sama didaki, ke lurah sama dituruni
 6. Negara Bersih, Rakyat Sihat

FAKTA:
1. Jika kertas dapat dikitar semula secara maksimum kita dapat mengurangkan 4,360 tan sampah sehari yang bersamaan 78,000 batang pokok. 
2. Mantan Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Tan Sri Joseph Kurup menyeru semua pihak tanpa mengira umur, sektor swasta atau kerajaan perlu bekerjasama bagai aur dengan tebing  bagi memelihara dan memulihara alam sekitar yang semakin terancam pada hari ini sehingga menyebabkan banjir,tanah runtuh dan pelbagai bencana alam yang lain

No comments :

Post a Comment

[ TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBACA ]