PhotobucketPhotobucketPhotobucketPhotobucket

30 December 2016

PERANAN REMAJA DALAM MENANGANI MASALAH PENYALAHGUNAAN DADAH

Di dalam kitab suci Al-Quran, istilah ‘khamar’ digunakan bagi semua bahan yang  memabukkan  atau  boleh menghilangkan kewarasan akal fikiran.Oleh yang demikian,dadah boleh dikategorikan sebagai salah satu daripada jenis ‘khamar’.Secara umumnya,dadah bermaksud sebarang bahan kimia yang psikoaktif,samada berbentuk asli atau tiruan,apabila dimasukkan ke dalam tubuh badan secara disuntik,dihidu,dihisap atau dimakan boleh mengubah fungsi tubuh badan seseorang atau organisma dari segi fizikal atau mental.Terdapat pelbagai jenis-jenis dadah.Antaranya ialah syabu,ketamin,heroin,ganja,morfin dan kokain.Apabila dibangkitkan isu mengenai dadah sudah tentu remajalah yang selalu dikaitkan dengan gejala ini.Berdasarkan statistik dari Agensi Anti Dadah Kebangsaan(AADK)didapati sejumlah 126,153 orang penagih dadah ditemui sepanjang tahun 2004-2010.Bilangan penagih dadah paling tinggi yang dikesan adalah dalam lingkungan umur 25-34 dan 18-24 tahun.Hal ini jelas membuktikan bahawa betapa seriusnya masalah dadah dalam kalangan remaja.Jika remaja yang merupakan bakal peneraju tampok kepimpinan negara pada masa hadapan ini sendiri tidak mencerminkan akhlak dan contoh yang baik.Siapakah yang akan membela nasib Negara kita pada masa hadapan?

          Pelbagai usaha yang boleh dilakukan oleh remaja bagi menangani masalah dadah yang  kian berleluasa ini . Antaranya ialah,mendapatkan didikan agama yang secukupnya.Zaman remaja merupakan zaman yang paling manis dalam hidup seseorang manusia.Namun begitu,pelbagai cabaran dan dugaan tetap akan dihadapi oleh setiap remaja dalam menghadapi tahap transisi antara zaman kanak-kanak dengan zaman remaja.Dalam hal ini,didikan agama amatlah penting untuk membimbing mereka menyelesaikan masalah secara positif.Hadis Rasulullah S.A.W ada mengatakan bahawa ‘ilmu tanpa agama adalah buta manakala agama tanpa ilmu adalah lumpuh”.Hadis ini menerangkan kepada kita betapa pentingnya aspek agama dalam kehidupan seseorang dan menekankan bahawa bekal ilmu dari sekolah perlulah diimbangi dengan ajaran agama.Jika remaja mempunyai pegangan agama yang utuh dan teguh ,sudah pasti mereka tidak akan terjebak ke dalam kancah negatif  seperti pengambilan pil khayal atau dadah yang akan mengheret mereka ke lembah jenayah.Pegangan agama sudah pasti dapat menjadi benteng yang kukuh untuk menangkis segala anasir-anasir negatif seperti ini dalam kehidupan mereka.Oleh itu,remaja haruslah berpegang teguh dengan ajaran agama untuk menangani masalah dadah. 

             Selain itu,remaja perlulah mengisi masa lapang mereka dengan perkara yang berfaedah. Hal ini kerana,jika seseorang remaja mempunyai masa terluang dan tidak mempunyai sebarang aktiviti yang berfaedah untuk dilakukan,remaja itu akan mudah terjebak ke dalam penyakit sosial ini yang semakin menular dari hari ke hari.Remaja perlulah bijak menguruskan masa dengan sistematik.Hal ini kerana,pengurusan masa yang sistematik juga akan mendorong kepada disiplin diri yang tinggi.Jika remaja sudah dilengkapi dengan senjata disiplin yang tinggi dan mantap sudah pasti ia akan dapat menghalang mereka daripada terus terjebak ke dalam aktiviti-aktiviti yang tidak berfaedah seperti pengambilan dadah .Masa itu juga diibaratkan seperti emas.Hal ini kerana,masa itu sangat berharga.Namun remaja pada zaman kini lebih gemar menghabiskan masa dengan aktiviti –aktiviti yang tidak berfaedah seperti melepak dan merempit yang akhirnya akan menyebabkan mereka terlibat dalam gejala yang kurang sihat ini.Oleh itu,remaja perlulah menghargai setiap saat dalam kehidupan mereka dan menguruskan masa dengan bijak iaitu dengan melakukan aktiviti-aktiviti yang berfaedah untuk membanteras gejala pengambilan dadah. 
     
          Di samping itu,remaja haruslah memilih rakan sebaya yang positif.Hal ini kerana,berkawan dengan penjual minyak wangi harumnya akan melekat pada kita,manakala berkawan dengan tukang besi bahang kepanasannya akan turut kita rasai.Begitulah juga dengan dadah,jika seseorang remaja mempunyai rakan sebaya yang positif dari segi pemikiran dan juga sikap,sudah pasti remaja itu juga akan memiliki akhlak yang  positif.Remaja pada masa kini juga boleh dikatakan lebih rapat dan banyak menghabiskan masa dengan rakan berbanding ibu bapa.Maka,boleh dikatakan rakan sebaya banyak mempengaruhi pemikiran remaja.Kebanyakan kes pengambilan dadah yang berlaku dalam kalangan remaja juga adalah disebabkan oleh pengaruh rakan sebaya.Remaja pada masa kini sangat cenderung  untuk mencuba sesuatu yang baharu walaupun perkara itu ditegah oleh agama. Sikap ingin tahu tentang sesuatu sememangnya wujud dalam diri remaja.Apabila dipelawa oleh rakan sebaya untuk mencuba sesuatu perkara yang baharu seperti dadah remaja yang lemah pegangan agama akan terpengaruh dan terjebak dalam pengambilan dadah.Oleh itu,remaja haruslah memilih rakan sebaya yang dapat membimbing mereka ke jalan yang lurus dan bukannya jalan yang menyesatkan.

         Selain daripada itu,remaja haruslah  menyertai kelab atau  persatuan Skim Lencana Anti Dadah(SLAD) yang  ditubuhkan di sekolah.Persatuan seperti ini dapat mendidik remaja agar menjauhi dadah dengan pelbagai aktiviti-aktiviti yang dijalankan.Misalnya seperti didikan tentang jenis-jenis dadah dan kesan penggunaan dadah .Jika remaja mengetahui kesan pengambilan dadah sudah tentu mereka  akan takut dan tidak berani untuk mencuba.Di samping itu,remaja boleh juga mengaktifkan diri dengan menyertai pelbagai kempen anti dadah yang diadakan  di seluruh Negara .Oleh itu,remaja haruslah aktif dalam persatuan –persatuan  seperti  ini yang  dapat  menyedarkan  mereka  tentang keburukan dadah.  
 
           Selain itu, remaja haruslah rajin menghadiri majlis-majlis ilmu.Kepentingan ilmu dalam hidup seorang remaja sememangnya  tidak dapat dinafikan .Malah,ilmu diibaratkan seperti cahaya yang akan menerangi kehidupan kita dengan membawa kejayaan.Hadis Rasulullah S.A.W juga ada mengatakan bahawa”tuntutlah ilmu hingga ke negeri china”.Menurut Islam,menuntut ilmu itu difardhukan kepada setiap muslim.Tanpa ilmu pasti remaja akan terdorang dalam pengambilan dadah.Hal ini kerana,dengan menghadiri majlis-majlis ilmu sudah tentu remaja akan diberi pendedahan tentang keburukan dadah yang boleh membawa maut dan pelbagai penyakit kronik  seperti ulser jika terlalu ketagih.Oleh itu,sebagai seorang remaja mereka haruslah melibatkan diri dengan majlis-majlis ilmu yang dapat memberi seribu satu manfaat dalam kehidupan mereka.

          Berdasarkan cambahan minda di atas , konklusi yang dapat di buat ialah sukar untuk dinafikan bahawa remaja memainkan peranan yang penting dalam menangani masalah dadah. Persis kata peribahasa melayu,’sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak  berguna”, menjelaskan  kepada  kita  betapa pentingnya kesedaran dalam  diri  setiap remaja     terhadap dadah.“Pemuda harapan bangsa,pemudi tiang negara" merupakan slogan yang menerangkan kepadakita bahawa generasi muda yakni remaja merupakan pewaris negara yang bakal menerajui tampok kepimpinan negara pada masa hadapan.Oleh itu,sebagai anak bangsa yang menjadi aset penting dan kebanggaan Negara  setiap remaja haruslah memainkan peranan mereka dengan baik dalam usaha menjamin kemajuan dan kegemilangan negara.

No comments :

Post a Comment

[ TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBACA ]
Photobucket