PhotobucketPhotobucketPhotobucketPhotobucket

29 March 2016

Koleksi Soalan Peperiksaan Sebenar SPM

Koleksi Soalan Peperiksaan Sebenar SPM (November). Anda seorang pelajar yang bakal menduduki peperiksaan SPM 2016 hujung tahun ini? Sebagai panduan bagi pelajar yang ingin mencari soalan peperiksaan SPM sebenar tahun 2015 dan tahun-tahun sebelumnya (Past Years Papers From Lembaga Peperiksaan Malaysia), anda boleh merujuk koleksi soalan SPM sebenar di bawah ini. Peperiksan bertulis Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM) 2016 akan diadakan pada 7 November hingga 6 Disember 2016 seperti dimaklumkan oleh Lembaga Peperiksaan Malaysia (LPM).   Jadual peperiksaan lain termasuk SPM, SPMU, UPSR, PT3 dan STAM tahun 2016 boleh di rujuk di Jadual Peperiksaan Awam Malaysia 2016. 

Koleksi Soalan Peperiksaan Sebenar SPM 2015 Dan Tahun Sebelumnya 

Berikut disertakan koleksi kertas soalan peperiksaan sebenar SPM tahun 2015 dan tahun sebelumnya yang dikongsikan dari pelbagai sumber seperti dinyatakan untuk rujukan pelajar dalam mengulangkaji pelajaran.
 * Kertas soalan peperiksaan akan dikemaskini dari masa kesemasa  

24 March 2016

FAKTOR GEJALA SOSIAL DALAM KALANGAN REMAJA

Berita Harian,12 Julai 2001 lalu telah melaporkan bahawa dalam tempoh 10 tahun antara tahun 1989 hingga  tahun 1998,kadar jenayah membabitkan remaja meningkat sebanyak 35 peratus bagi lelaki dan 25 peratus bagi perempuan.Statistik ini menunjukkan bahawa masalah sosial dalam kalangan remaja semakin membimbangkan.Hal ini tidak seharusnya dipandang remeh kerana remaja merupakan satu-satunya tonggak negara dalam menerajui kepimpinan negara sesuai dengan ungkapan “pemuda harapan bangsa,pemudi tiang negara”.Persoalannya,jika remaja kita musnah sebagai akibat keseronokan yang sementara ini,siapakah yang akan terus memperjuangkan nasib negara kita? Justeru,senario ini mencetuskan kebimbangan kepada semua pihak termasuklah golongan ibu bapa,guru,masyarakat,dan negara. Tidak dinafikan,pelbagai usaha telah digembleng bagi mengatasi kemelut ini.Namun begitu,apakah punca kepada kegagalan tersebut?

        Kemelut ini sebenarnya bermula daripada diri remaja itu sendiri.Perkataan remaja atau adolescene berasal dari perkataan Latin iaitu “adolescere” yang bermaksud “membesar” atau “membesar menjadi matang”.Menurut Kamus Dewan,Edisi Ketiga,remaja merupakan seorang yang mulai dewasa,sudah akil baligh,dan sudah cukup umur untuk berkahwin.Dari segi perspektif Islam pula,remaja dianggap sebagai mereka yang sudah cukup umur atau diistilahkan sebagai baligh.Pada peringkat ini,golongan remaja mengalami peralihan antara zaman kanak-kanak dengan zaman dewasa.Apabila mengaitkan diri remaja dengan gejala sosial yang semakin berleluasa pada hari ini,kita dapat melihat sikap ingin mencari sesuatu yang baharu atau sikap ingin tahu yang ada dalam diri remaja sebagai satu faktor yang utama.Sikap ingin tahu memang wujud dalam diri remaja.Lazimnya mereka gemar mencuba sesuatu yang baharu.Setiap perkara yang terlarang,itulah yang ingin diterokai oleh mereka.Contohnya,fenomena lumba haram yang terjadi akibat keinginan remaja untuk menunjukkan belang mencerap keseronokan bersama rakan sebaya.Selain itu,masalah sosial seperti penyalahgunaan dadah juga adalah daripada sikap ingin tahu yang tidak kena pada tempatnya.Menurut Tun Abdullah Bin Haji Ahmad Badawi,masalah dadah yang merupakan masalah utama,masih merupakan ancaman besar negara.Hal ini membuktikan,betapa seriusnya masalah dadah.Lebih-lebih lagi,gejala ini melibatkan golongan remaja.

23 March 2016

Pagar dan Pegar Yang Makan Padi

SAYA  telah berkali-kali menemukan bicara tentang pembaikan peribahasa. Apabila saya sebutkan peribahasa, ertinya termasuklah pepatah, simpulan bahasa, perumpamaan dan beberapa lagi. Saya tertarik pada kemungkinan tersalah pilih kata yang kini kian giat dipersoalkan.

Pertama, “Guru kencing berdiri, murid kencing berlari.” Ketika saya melawat sekolah, seorang  guru muda bertanya: “Jika murid itu berlari, bolehkah dia buang air?” Saya berfikir tentang tujuan dia bertanya. Saya dapati dia agak serius, lalu saya mengatakan, itu ialah unsur hiperbola dalam peribahasa. Hiperbola bererti pernyataan berlebih-lebihan untuk maksud seni.

Dalam satu majlis ceramah penulisan kreatif untuk pengkarya guru, seorang guru bahasa dan Komsas bertanya, “Adakah munasabah peribahasa “Telaga mencari timba?” Katanya lagi, dia tidak dapat membayangkan telaga berjalan ke sana sini mencari timba. Saya menjawab, bahawa itu ialah unsur absurditi dalam peribahasa Melayu. Bicara tentang itu kemudiannya beranjak ke maksud pantun, misalnya “Lautan api lagi kurenang” dan “Di mulut naga lagi kurebut”.  Pernahkah kita lihat lautan api dan mulut naga?

26 February 2016

Kanak-kanak seawal 12 tahun terjebak dadah di Kelantan


Terjebak dengan ketagihan dadah seawal usia 12 tahun, itu kata Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan) Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Azizan Ariffin berkenaan statistik terkini gejala dadah di Kelantan.

Bukan itu sahaja, AADK turut mendapati bilangan wanita yang terjebak dengan gejala dadah di Kelantan juga semakin meningkat.

Tambahnya, seramai 55 penagih wanita direkod tahun lepas berbanding 44 orang pada 2014.

"Ini merupakan satu ancaman dan masalah sosial yang serius yang tidak boleh kita biarkan merebak kepada golongan berkenaan," katanya pada majlis perasmian program Jelajah AADK Sempena Hari Anti Dadah Kebangsaan Peringkat Negeri Kelantan oleh Pengerusi Skuad 1Malaysia Negeri Kelantan, Datuk Abdul Aziz Derashid yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri Kuala Balah, di sini pada Ahad.

Beliau berkata penagih wanita berkenaan kini ditempatkan di Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (PUSPEN), Bachok.

Menurut Azizan, jumlah keseluruhan penagih dadah di Kelantan turut meningkat kepada 3,289 orang tahun lepas berbanding 2,426 orang pada 2014.

"Peningkatan penagih dadah di negeri ini disebabkan faktor kemiskinan tegar dan kebiasaannya mereka menghadapi masalah dalam pembelajaran," katanya.

sumber : astroawani.com

18 February 2016

Koleksi Pantun Nasihat

Pantun Nasihat



Angin teluk menyisir pantai
Hanyut rumpai di bawah titi
Biarlah buruk kain dipakai
Asal pandai mengambil hati


Pergi mendaki Gunung Daik
Hendak menjerat kancil dan rusa
Bergotong-royong amalan yang baik
Elok diamalkan setiap masa


Air melurut ke tepian mandi
Kembang berseri bunga senduduk
Elok diturut resmi padi
Semakin berisi semakin tunduk


Daun sirih ulam Cik Da
Makan sekapur lalu mati
Walaupun banyak ilmu di dada
Biar merunduk resmi padi

26 January 2016

PERANAN INSTITUSI KELUARGA DALAM MELAHIRKAN INSAN CEMERLANG

Institusi keluarga terdiri daripada bapa,ibu,anak-anak dan saudara mara. Setiap unit mempunyai peranan yang jelas dan tersendiri. Walaupun keluarga merupakan agen sosial yang terkecil dalam masyarakat,namun keluarga memainkan peranan yang amat besar dalam melahirkan insan yang cemerlang. Ibu bapa terutamanya,mempunyai tanggungjawab yang besar kerana anak-anak diibaratkan seperti sehelai kain putih dan ibu bapalah yang perlu mencorakkannya. Malah, hadis Rasulullah S.A.W. ada mengatakan bahawa setiap anak yang dilahirkan adalah dalam keadaan yang bersih melainkan dua orang tuanya yang berperanan mencorakkannya menjadi Yahudi, Nasrani,atau Majusi. Jelaslah di sini bahawa keluarga memainkan peranan yang begitu penting dalam membentuk diri anak-anak dari segala aspek. Persoalannya,pernahkah ibu bapa renungkan sejauh mana peranan yang mereka mainkan berpengaruh dalam perjalanan hidup anak mereka? 

            Slogan ‘Rumahku Syurgaku’ membawa erti keluarga yang bahagia. Dalam hal ini,ibu bapa amat berperanan dalam melahirkan keluarga yang aman dan damai. Menurut Dr. Hassan Ali,Pengarah Akademi Keluarga Bahagia Malaysia,kesejahteraan bermula dari rumah,maka ibu bapa hendaklah menjadikan rumah seperti syurga yang penuh dengan kedamaian dan keindahan kepada anak-anak. Kesejahteraan di rumah akan dapat mewujudkan keluarga penyayang. Oleh itu,ibu bapa harus peka dan faham serta mempunyai iltizam untuk melahirkan insan yang utuh dari segi emosi,akhlak,dan moraliti dalam mengharungi ranjau serta liku yang sentiasa menghambat kesejahteraan keluarga. Anak-anak yang membesar dalam lingkungan kebahagiaan lebih mudah menerima perkara-perkara positif dalam membina jati diri mereka. Oleh itu,anak-anak terutamanya remaja yang baru sahaja berumur setahun jagung,darah setampuk pinang ini,tidak akan bercermin di air keruh. Selain itu,mereka juga lebih tenang dan lebih mudah menerima pelajaran bagi memastikan kecemerlangan mereka dalam bidang akademik. Mereka tidak akan teraba-raba dalam mencari hala tuju kerana mereka sudah mempunyai keluarga bahagia yang menjadi tulang belakang mereka. Justeru,dapatlah disimpulkan bahawa keluarga yang bahagia menjadi sumber kekuatan mereka dalam menempuh usia remaja yang penuh cabaran. 

19 January 2016

Koleksi Peribahasa Melayu, Simpulan Bahasa Dan Maksud



1.      Dayung sudah di tangan, perahu sudah di air
Maksud: Segala-gala yang dikehendaki sudah diperoleh.

2.      Yang lama dikelek, yang baharu didukung
Maksud : Adat yang lama tetap diamalkan di samping budaya hidup yang baru.

3.      Seperti lembu dicucuk hidung
Maksud : Orang yang selalu menurut kemahuan orang

4.      Tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas
Maksud : Adat yang tidak berubah; sesuatu yang tetap utuh.

5.      Bagai kaca terhempas ke batu
Maksud : Sangat sedih atau kecewa.

6.      Bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat
Maksud : Kata sepakat yang dicapai dalam mesyuarat.

7.      Bagai Aur Dengan Tebing
Maksud : Hubungan yang rapat antara sama sama yang lain dan saling membantu.

8.      Berat sama dipikul, ringan sama dijinjing
Maksud : mengalami susah senang bersama-sama.

9.      Bara yang digenggam biar sampai jadi arang
Maksud : Mengerjakan sesuatu yang sukar hendaklah sabar, sehingga mencapai kejayaan.

10.  Hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri, lebih baik di negeri sendiri
Maksud : Walau bagaimanapun kelebihan di negara orang, tetap negeri sendiri lebih baik lagi.

16 January 2016

Contoh Peribahasa Maksud Sama

Berikut adalah antara peribahasa yang mempunyai maksud yang sama atau hampir sama. 

carik-carik bulu ayam akhirnya bercantum jua
air dicencang tak akan putus
(perbalahan antara adik beradik tidak kekal lama, lama kelamaan akan berbaik-baik jua)

belut pulang ke lumpur
haruan pulang ke lubuk
(perantau yang pulang semula ke tempat asal)

api dalam sekam
gunting dalam lipatan
musuh dalam selimut
(musuh yang ada dalam kalangan sesuatu kumpulan tanpa disedari)

membuka pekung di dada
menepuk air di dulang terpercik ke muka sendiri
(mendedahkan keburukan ahli keluarga akan mengaibkan diri sendiri)

seekor kerbau membawa lumpur habis semua terpalit
kerana nila setitik, rosak susu sebelanga
(disebabkan perbuatan seorang, semua yang lain turut terkena akibatnya)

13 January 2016

Contoh Pantun Peribahasa

Pantun Peribahasa &  Kias  Ibarat

Ombak badai menggulung-gulung
    Kelasi terdampar di tepi pantai
Hajat di hati nak peluk gunung
   Apakan daya tangan tak sampai 
Maksud: Bercita-cita besar, namun tak tercapai.


Budak-budak bermain rakit      
    Rakit buluh tolong buatkan
Harap-harapkan guruh di langit
    Air di tempayan dicurahkan
Maksudnya: Bodoh mendengar cakap orang sehingga diri sendiri kerugian


Burung jelatik burung jeladan    
    Terbang mari ke hujung benua
Sama cantik sama padan        
 Bagai pinang di belah dua
Maksud: Pasangan pengantin yang nampak serasi dan sepadan


Sayur kucai sayur tumis         
    Gatal sungguh getah jelatang
Dua-dua sama manis                 
    Bagaikan bulan dipagar bintang
Maksud: Seorang lelaki kacak yang dikelilingi gadis-gadis cantik belaka
[ TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBACA ]
Photobucket