PhotobucketPhotobucketPhotobucketPhotobucket

16 October 2014

Sedarlah Wahai Sahabatku (Bersatulah Rakyat Malaysia)

Sedarlah wahai sahabatku

Suatu waktu dahulu…kita bebas bermain…
suatu waktu dahulu kita bebas berlari…
suatu waktu dahulu kita bebas di bumi ini…

Kini…bumi ini tidak lagi seperti dahulu…
jarak usia semakin merangkak ke angka yg jauh….
kini….kita juga telah berbeza…
larian kita juga berbeza kerna kita mengejar masa…
kini …kita berbeza…kerna …jiwa kita berbeza…..
kini…kita berbeza …kerna haluan kita sudah berbeza….
kini….tanah ini….berbeza…kerna tanah ini ….bukan lagi milik kita…

Kita perlu sedar apakah wasiat nenek moyang kita..
Kita perlu sedar apakah hala tuju kita…
Kita perlu sedar apakah nasib kita nanti….
Kita perlu sedar apakah tinggalan buat anak-anak kita di hari mendatang….

Jiwa kita perlu dibajai semula…
Hati kita perlu disirami semula…
Ukhwah kita perlu dieratkan semula…
Silaturahim kita perlu dirapatkan semula….
Demi agama, bangsa & negara di bumi Malaysia ….

Bersatulah kita wahai rakyat Malaysia…
Bersatulah kita wahai Melayu…
Bersatulah kita wahai insan terpelajar…
Bersatulah kita di bawah satu naungan…
Bersatulah kita di bawah langit yang cerah…

Biarlah ia menjadi milik kita yang abadi hingga akhirnya….
Bersatulah demi sebuah harapan pada sebuah impian….
agar senyuman dapat lagi terukir di bibir….
Tak kan Melayu hilang di dunia !!!
Perjuangan kita belum selesai !!!
Nukilan:
Arieza Eja (Rumaizah Khuzaimah )
21 Februari 2013.

10 October 2014

CONTOH KARANGAN PRAPERCUBAAN SPM 7



TAJUK 7 : LANGKAH-LANGKAH MENERAPKAN NILAI  MURNI DALAM KALANGAN REMAJA
PENDAHULUAN

(T) Nilai murni merupakan amalan baik yang perlu ada pada setiap orang agar segala tindakan mereka terpimpin dan tidak menyeleweng dari norma-norma sosial yang dikehendaki  dalam masyarakat. Amalan ini penting untuk melahirkan insan yang mulia, unggul dan utopia demi merealisikan misi nasional negara ke arah Wawasan 2020. Iman al-Ghazali mengatakan, “Apabila kamu hendak mengenali wajah lihatlah pada cermin, tetapi apabila kamu hendak mengenali diri lihatlah pada wajah”.  Kata-kata tersebut mengambarkan betapa keperibadian dan akhlak mulia menjadi tali pengukur kepada setiap individu. Sesungguhnya berakhlak mulia amat dituntut dari sudut budaya, peradaban dan agama kita. (I) Namun begitu, dalam mengharungi era ledakan sains dan teknologi, amalan nilai murni dalam kalangan masyarakat semakin lenyap dalam sanubari golongan dewasa dan remaja. Berita tentang remaja bertindak liar di luar batas-batas kehidupan dengan terlibat dalam aktiviti-aktiviti jenayah seperti gengsterisme, vandalisme dan pornografi sering terpampang di dada akhbar dan kaca televisyen. Hal ini jelas menunjukkan betapa kroniknya masalah kelunturan amalan nilai murni dalam kalangan masyarakat. (A) Sebelum keadaan menjadi lebih parah, amalan ini perlulah dijadikan sebagai budaya dalam kehidupan seharian kita kerana seribu satu kemaslahatan boleh diperoleh. 

08 October 2014

CONTOH KARANGAN PRAPERCUBAAN SPM 6



TAJUK 6: PERANAN IBU BAPA DALAM MENDIDIK ANAK-ANAK MEMANFAATKAN INTERNET
            Marcapada, internet merupakan satu ciptaan manusia yang wajar dikagumi dan dalam masa yang sama merupakan satu kepentingan dalam kehidupan setiap individu. Hal ini kerana hanya internet yang memberikan kepuasan bersosial, berniaga dan belajar secara meluas tanpa had kepada pengguna. Bayangkan dengan hanya satu klik, kita mampu mengakses seluruh alam maya tanpa perlu bermandi peluh. Namun begitu, isu penyalahgunaan internet bukanlah suatu isu baharu. Terdapat manusia sanggup melakukan penyalahgunaan internet untuk memuaskan nafsu diri demi kepentingan diri dengan melakukan pencerobohan maklumat dan menyebarkan berita palsu. Maka tidak hairanlah jenayah siber kian hari kian serius bagai duri dalam daging. Oleh itu, setiap individu perlu tahu akan kelebihan, keburukan dan cara mengakses internet, termasuklah ibu bapa. Sebahagian besar ibu bapa masa kini handal menggunakan internet manakala sebahagian kecilnya tidak. Namun begitu, sebagai mengambil langkah berjaga-jaga, ibu bapa wajar untuk mempelajari secara khusus berkenaan dengan internet. Sekiranya ibu bapa sudah ‘mengenali’ internet, maka dengan mudah ibu bapa mengawal kecenderungan anak-anak melayari internet dan secara tidak langsung, ibu bapa mampu mendidik anak-anak dalam memanfaatkan penggunaan internet. Persoalannya, apakah peranan ibu bapa dalam mendidik anak-anak memanfaatkan internet pada hari ini?

            Memetik kata-kata pakar motivasi terkenal Malaysia Dr. H.M Tuah Iskandar, “Seribu mancis tidak dapat menerangi engkau dalam kegegalapan namun, cahaya keimanan pasti dapat menyuluh engkau ke jalan kebahagiaan”. Oleh hal yang demikian, langkah awal wajar diambil oleh ibu bapa untuk meralisasikan hasrat murni itu iaitu dengan cara menerapkan dan memberikan didikan agama yang sempurna. Hal ini dikatakan demikian kerana agama merupakan benteng yang paling ampuh untuk menangkis anasir-anasir negatif yang dibawa masuk melalui tingkap globalisasi. Anak-anak yang diasuh dan dibesarkan dengan didikan agama yang mantap dapat membezakan dosa dan pahala ketika melayari laman sesawang. Sebagai contoh, anak-anak tidak akan melayari laman sesawang yang mengandungi unsur pornografi yang mampu mencemarkan minda dan sekali gus mampu mendorong meruntuhkan akhlak anak-anak yang masih separa matang. Bukan itu sahaja, mereka juga tidak akan menggunakan internet untuk menjejaskan keamanan dan keharmonian dalam masyarakat dengan menyebarkan fitnah malahan mereka akan menggunakan internet untuk menyampaikan ilmu yang berguna kepada masyarakat. Apabila anak-anak telah diterapkan dengan nilai-nilai murni, sudah pasti akan lahirlah insan yang berguna iaitu insan yang tahu nilai diri dan estetika. Jadi apabila benteng pertahanan diri mereka sudah cukup teguh, mereka dapat menggunakan internet dengan baik dan bijak.       

24 September 2014

Sajak: Hanyut aku, kekasihku!

Hanyut aku, Kekasihku!
Hanyut aku!
Ulurkan tanganMu, tolong aku
Sunyinya sekelilingku!
Tiada suara kasihan,
Tiada angin mendingin hati,
Tiada air menolak ngelak,
Dahagakan kasihMu,
Hauskan bisikMu,
Mati aku disebabkan diamMu.
Langit menyerkap,
Air berlepas tangan, aku tenggelam.
Tenggelam dalam malam
Air di atas menindih keras
Bumi di bawah menolak ke atas
Mati aku, Kekasihku, mati aku!

11 September 2014

(Contoh Karangan) LANGKAH-LANGKAH MENGATASI JEREBU

Mutakhir ini, arus globalisasi yang semakin menerjah di seantero dunia telah banyak membawa perubahan kepada kehidupan seharian manusia di tanah air kita. Dalam keghairahan mengejar arus modenisasi ini, kita sering dikejutkan dengan situasi negara kita yang sering mengalami masalah jerebu. Berita buruk ini yang semakin menjadi-jadi ini dipaparkan pada dada akhbar saban hari. Hal ini telah menjadi polemik orang ramai dari kedai kopi sehinggalah ke parlimen. Persoalan yang sering terlintas di fikiran kita ialah mengapakah Malaysia selalu dilanda dengan krisis jerebu? Banyak jawapan yang berlegar-legar di gawang minda kita kita. Namun begitu, masalah yang semakin serius ini perlu diatasi dengan segera kerana di mana ada kemahuan, di situ ada jalan.

Kerajaan merupakan penawar mujarab dalam mengatasi masalah jerebu. Pihak kerajaan memikul kewajipan untuk menguatkuasakan undang-undang yang termaktub dalam Akta Alam Sekitar. Individu-individu yang telah mengingkari undang-undang dengan membakar sampah sarap secara terbuka manakala pemaju kilang yang membiarkan pelepasan asap daripada kilang tanpa ditapis perlu dikenakan hukuman yang lebih berat. Biarlah mereka menerima pengajaran supaya lebih peka terhadap isu jerebu yang semakin kronik ini, kerana “sudah terhantuk baru tengadah”. Pemaju-pemaju kilang yang mengamalkan sikap sebegitu bukan sahaja harus dikenakan saman yang lebih tinggi, malah premis kilang mereka harus disita. Bagi memastikan masalah jerebu terkawal, kerajaan

(Contoh Karangan) KESAN JEREBU

Dalam mendepani realiti baru dunia yang pantas berubah, rakyat Malaysia telah digemparkan lagi dengan berita Indeks Pencemaran Udara (IPU) di kawasan Kuala Lumpur yang meningkat secara mendadak akibat berlakunya jerebu. Keadaan jerebu di Malaysia yang berlaku secara tahunan telah menjadi suatu kebiasaan bagi penduduk di bandar raya besar tersebut. Masalah jerebu yang seperti bangkai gajah yang tidak dapat ditutup dengan daun nyiru telah mendapat liputan meluas daripada pihak media massa dan dalam kalangan rakyat Malaysia. Keadaan jerebu bertambah serius akibat berlakunya fenomena El-Nino. Persoalannya, apakah faktor dominan berlakunya jerebu? Adakah pihak kerajaan sahaja yang memainkan peranan penting dalam mengatasi masalah jerebu ini? Tepuk dada tanyalah selera. Oleh sebab setiap yang berlaku pasti ada akibatnya, masalah jerebu telah mendatangkan pelbagai impak yang negatif kepada negara kita dan juga rakyat kita.

Antara kesan negatif yang disebabkan oleh jerebu ialah kualiti udara negara kita akan terjejas. Udara negara kita yang segar dan bersih akan dipenuhi oleh debu dan asap setiap kali jerebu melanda sehinggalah jarak penglihatan mendatar yang dahulunya sejauh 2 kilometer menjadi 50 meter. Sebagai contoh, pada bulan Ogos 2005, negara kita dilanda jerebu yang paling teruk dalam sejarah negara kita, di mana Indeks Pencemaran Udara (IPU) di Kuala Selangor dan Pelabuhan Klang mencecah lebih 500 buat kali pertama di Malaysia sehingga darurat diisytiharkan di kedua-dua kawasan tersebut, justeru segala aktiviti luar tidak dapat dijalankan dan kebanyakan sekolah, pelabuhan dan kilang ditutup buat sementara. Oleh itu, sudah terang lagi bersuluhbahawa jelaslah jerebu boleh mendatangkan keburukan terhadap negara kita.

10 September 2014

CONTOH KARANGAN PRAPERCUBAAN SPM 5



TAJUK 5 : CARA MEMUPUK SEMANGAT KEJIRANAN

            Dalam mendepani era modenisasi pada abad-21 kini, dunia menyaksikan iktisad (ekonomi)negara membangun seperti cendawan tumbuh selepas hujan. Negara yang semakin pesat membangun seperti tenggelam sama basah, timbul sama hanyut seiringan dengan negara maju lain. Namun begitu,  isu memupuk semangat kejiranan masih menjadi polemik dalam kalangan marhaen (golongan bawahan) di Malaysia.  Dewasa ini, semangat kejiranan dalam kalangan masyarakat kita semakin hari semakin terpinggir. Maasyarakat pada hari ini lebih mementingkan diri sendiri dan membudayakan hidup bagai enau dalam belukar melepaskan pucuk masing-masing. Dari segi  konsepnya semangat kejiranan boleh ditakrifkan sebagai suatu perasaan yang harus dipupuk oleh setiap masyarakat di Malaysia tanpa mengira warna kulit bangsa dan agama dalam usaha untuk mengukuhkan perpaduan kaum demi negara yang tercinta. Biasanya semangat kejiranan merangkumi semua lapisan masyarakat tidak kira muda ataupun tua yang perlu kita amalkan. Menurut Dato’ Dr. Fadzillah Kamsah jiran merupakan orang yang tinggal di sekeliling kita sama ada di depan, belakang, kiri , atau pun kanan dan merupakan orang pertama yang membantu kita ketika kita berada dalam kesusahan. Hal ini boleh dianalogikan seperti awan yang melindungi bumi daripada cahaya matahari. Oleh itu, langkah yang signifikan harus diambil bagi menerapkan semangat kejiranan kepada semua lapisan masyarakat.

            Cara yang afdal untuk memupuk semangat kejiranan ialah ibu bapa perlu menjadi suri teladan kepada anak-anak. Hal ini kerana ibu bapa merupakan guru pertama dan guru terbaik kepada anak-anak. Jika ibu bapa menunjukkan teladan  yang baik kepada anak-anak maka mereka akan mencontohi teladan yang ditunjukkan kerana bagaimana acuan begitulah kuihnya. Sekiranya ibu bapa menunjukkan suri teladan yang buruk kepada anak-anak maka mereka akan menjadi anak-anak yang jahat malah lebih teruk lagi.  Hal ini boleh dianologikan seperti anak burung yang baru belajar terbang daripada ibunya. Sebagai contoh, ibu bapa haruslah mengunjungi atau menziarahi jiran tetangga walaupun mereka berada dalam keadaan yang baik atau tidak. Selain itu, ibu bapa haruslah tidak sombong dengan jiran dan sering bertegur-sapa agar dapat memupuk semangat kejiranan. Kesannya, semangat kejiranan dapat dipupuk antara jiran dalam kalangan anak-anak dan ibu bapa sekali gus dapat mewujudkan masyrakat yang harmoni. Sekiranya cara memupuk semangat kejiranan dapat dipupuk oleh ibu bapa maka negara dapat melahirkan generasi yang bijaksana dan bekerjasama dalam mentadbir membangunkan negara ke  arah kemajuan  negara pada masa akan datang. Tegasnya, contoh teladan yang terbaik daripada ibu bapa mampu memupuk semangat kejiranan dalam kalangan anak-anak.

02 September 2014

CONTOH KARANGAN PRAPERCUBAAN SPM 4



TAJUK 4: LANGKAH MENJADI PELAJAR CEMERLANG



        Tidak dapat dinafikan bahawa setiap pelajar pasti mempunyai keinginan untuk mencapai kecemerlangan dalam peperiksaan. Kecemerlangan ini hanya akan dapat dicapai sekiranya pelajar-pelajar berusaha bersungguh-sungguh untuk mencapainya. Kecemerlangan dalam peperiksaan bukanlah sesuatu yang sangat sukar untuk dicapai sekiranya pelajar itu sendiri mempunyai iltizam dan keazaman yang tinggi  untuk mencapainya. Namun begitu, dalam menelusuri arus globalisasi yang pantas bergerak bagai belut diketil ekor ini masih terdapat segelintir pelajar yang masih tidak menitikberatkan kecemerlangan akademik lantaran masih dibuai lena oleh budaya hedonisme. Mereka ini lebih mementingkan keseronokan dan hiburan daripada pendidikan. Pelajar-pelajar  tidak sepatutnya menganggap perkara ini sesuatu yang remeh atau mudah kerana keputusan peperiksaan mampu menjamin masa hadapan seseorang pelajar yang lebih cerah. Oleh itu, pelajar-pelajar janganlah menyesal pada masa hadapan disebabkan tidak dapat memperoleh keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan jika asyik mengabaikan pelajaran, bak kata orang tua-tua, sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tiada berguna. Persoalannya, apakah langkah-langkah yang patut dilakukan untuk mencapai kecemerlangan seseorang pelajar?


            Langkah perdana yang perlu dilakukan oleh seseorang pelajar yang sentiasa mendambakan kecemerlangan ialah dia haruslah mempunyai sahsiah dan peribadi yang unggul. Seorang pelajar yang mempunyai peribadi yang unggul akan sentiasa menjaga hubungan baik sesama manusia tidak kiralah ketika bersama keluarga, guru mahupun rakan-rakan. Mereka haruslah bercakap dengan menggunakan bahasa yang  sopan santun bagaikan butir-butir mutiara yang berharga. Sebagai contoh, seseorang pelajar itu perlu sentiasa menghormati dan menyayangi guru mereka. Mereka juga perlu sentiasa berlapang dada untuk membantu rakan-rakan dalam pelajaran. Hal ini kerana bantuan yang diberikan dapat mengukuhkan pemahaman mereka atas penerangan yang diberikan. Sifat sombong dan angkuh tidak pernah wujud dalam kamus hidup seorang pelajar yang ingin cemerlang. Mereka sentiasa mengamalkan sikap bermurah hati dan tidak pilih kasih dalam pergaulan dengan membeza-bezakan bangsa, agama dan prestasi akademik kerana menyedari bahawa setiap manusia adalah sama di sisi Tuhan. Sahsiah dan peribadi pelajar yang cemerlang yang unggul disenangi oleh orang di sekelilingnya kerana mereka tetap bergaul mesra kerana tidak bersikap seperti kera sumbang. Oleh itu, jelaslah bahawa kecemerlangan dapat dicapai melalui sahsiah dan peribadi yang unggul.

27 August 2014

Sajak: Ibu Kiranya Kau Tahu

Ibu…
Akulah zigotmu…
Yang terhasil dari sperma dan tersenyawa
Akulah embriomu…
Yang menempel pada uterusmu yang suci
Akulah fotusmu…
Yang tak sabar menjengah bumi…
Dan akulah ibu…
Lambang jirim kasihmu yang abadi.

Tangisku ibu…
Kau reda dengan nasihat terpuji
Gelakku ibu…
Kau sambut denagn nilai- nilai murni
Nakalku ibu…
Kau sulam dengan akhlak muslimah sejati
Dengan hipotesis yang kau ciptakan ibu
Kau mengharapkan hidupku penuh variasi islami.

Tetapi ibu…
Dewasanya anakmu ini tanpa sezarah harga diri
Tanpa lagi atom- atom syahadah
Tanpan lagi molekul- molekul peribadi yang luhur
Tanpa lagi ion- ion keimanan.

Ibu…
Dengan alasan berdikari
Kujejakkan kaki ke bumi metropolitan
Hidupku tak ubah seperti gerakan Brown.
Bebas! Rawak! Tanpa hala tuju.
Yang ku impikan ibu…
Hanyalah sinaran pantulan- pantula neon yang bercahaya
Yang ku rindukan ibu…
Hanyalah kerlingan mata keranjang si buaya.
Aku bangga menjadi pilihan pria- pria kota
Hingga ku lupa hamparan sejadah
Hingga ku lupa pesanmu ibu.

Dahulu ibu… Mataku buta dengan lambaian masjid
Tetapi galak dengan lambaian disko
Telingaku pekak dari alunan dan laungan ayat- ayat suciNya
Tetapi peka dengan alunan muzik yang mengasyikkan
Hidungku hilang deria bau wangian Firdausi
Tetapi tajam dengan bauan alkohol yang memabukkan
Lidahku seakan kelu untuk melafazkan zikir dan munajat
Tetapi, petah mencaci dan memaki.

Tetapi kini ibu…
Kiranya kau tahu…
Kurasakan gentar menyelubungi siangku
Rantaian dosa- dosa silam menyelimuti malamku
Aku takut ibu…
Aku takut… dengan serulis Israfil
Aku takut… dengan sentakan Izrail
Aku takut dengan cemeti munkar dan Nankir
Aku takut!!!

Tetapi kini ibu…
Kiranya kau tahu…
Anakmu ini tidak lekang dari tempat sujudNya
Bibirku basah dengan kalimah suci
Mataku tersasar ke arah QiblatNya
Telingaku dirakum dari umpatan cela…
Meluruhkan dedaun dosa
Digantikan bebunga pahala.

Kiranya kau tahu ibu…
Betapa anakmu ini dipalit rasa sesal
Hingga ke akhirnya…
Sumber nukilan:
Majalah Sekolah SMK Seri Perak, Teluk Intan

Kiriman:

Dhia Erryna

21 August 2014

CONTOH KARANGAN PRAPERCUBAAN SPM 3



TAJUK 3 : LANGKAH MEMAJUKAN PELANCONGAN NEGARA

           Sektor pelancongan di negara kita berkembang maju dan menjadi sumber pendapatan negara yang penting. "Pendapatan indsutri pelancongan mencatatkan peningkatan 7.2 peratus dengan nilai RM103.3 bilion pada tahun 2013 dalam menjana ekonomi Malaysia,” kata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin. Hal ini menunjukkan peningkatan ekonomi yang memberangsangkan yang dibawa masuk melalui industri pelancongan. Kerajaan telah menggerakkan semua agensinya untuk memastikan sektor pelancongan berkembang pesat sejajar dengan pembanguna negara yang pantas. Namun begitu, insiden yang menimpa negara baru-baru ini dengan kejadian misteri iaitu kehilangan pesawat Malaysian Airlines Systems (MAS) MH371 dari China dan MH17 yang ditembak lalu terhempas di Ukraine sedikit sebanyak boleh menjejaskan industri pelancongan negara. Kebanyakan pelancong berasa terancam untuk datang ke Malaysia apatah lagi tahun 2014 diisytiharkan sebagai Tahun Melawat Malaysia. Oleh itu, semua pihak haruslah megatur langkah yang lebih proaktif dan pragmatik untuk memastikan industri pelancongan negara kita terus rancak dengan kunjungan para pelancong sama ada dari dalam negara atau dari luar negara untuk memastikan semua pihak mendapat faedah daripada perkembangan sektor ini. Persoalan yang bermain-main di gawang minda kita ialah apakah langkah-langkah yang pragmatik yang dapat dipraktikkan untuk memajukan sektor pelancongan di negara kita?

            Uslub yang perdana yang dapat diambil ialah pihak kerajaan memperkenalkan produk pelancongan baharu yang dapat menarik minat pengunjung mancanegara. Produk pelancongan negara perlu diperbanyak supaya para pengunjung dapat menikmati sesuatu yang baharu dan unik di negara kita. Banyak produk pelancongan yang wajar diterokai oleh pihak-pihak yang terbabit. Misalnya, kerajaan menggalakkan masyarakat melibatkan diri dalam program inap desa dengan lebih banyak. Selain itu konsep pelancongan kesihatan, agropelancongan, ekopelancongan, dan seumpamanya hendaklah dikembangkan. Kita juga wajar memperkenalkan pelancongan musim buah-buahan seperti musim durian, manggis, langsat, dan sebagainya. Produk pelancongan yanng diperkenalkan mestilah dapat menarik hati pelancong-pelancong mancanegara. Biasanya pelancongan luar mahu melihat sesuatu yang tidak ada di negara mereka. Oleh itu, kita harus mengambil peluang untuk memperkenalkan keunikan negara ini dengan mengetengahkan budaya hidup dan kesenian masyarakat tempat. Sebagai contoh, pelancong wajar dibawa untuk tinggal bersama-sama masyarakat luar bandar dan mendalami cara hidup mereka. Dengan ini, para pengunjung dapat menimba pelbagai ilmu yang baharu dan mereka tidak akan pulang dengan tangan yang kosong tanpa ilmu di dada. Benarlah kata orang tua-tua, “jauh perjalanan, luas pengalaman”. Jadi, usaha kerajaan memperkenalkan produk pelancongan baharu dapat meningkatkan sektor berkenaan.
[ TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBACA ]
Photobucket