PERENGGAN ISI:
Sebagai rakyat Malaysia, kita haruslah ingat bahawa orang lain, iaitu bangsa lain tidak akan menyebarkan bahasa Melayu ke seantero dunia, kecuali kita. Sebagai rakyat Malaysia, kita hendaklah mempunyai iltizam untuk menjadikan bahasa Melayu sebagai salah satu bahasa terpenting pada suatu hari nanti. Oleh itu, langkah yang pertama ialah kita perlulah memastikan bahawa bahasa Melayu mestilah diterima di tanah air sendiri. Jika bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan juga bahasa rasmi di negara kita ditolak oleh sebilangan besar rakyat di negara kita, bagaimanakah penduduk dunia mahu menerima bahasa Melayu sebagai bahasa kedua mereka? Oleh hal yang demikian, kita mestilah menyokong segala usaha yang bertujuan meningkatkan atau memartabatkan bahasa Melayu di negara sendiri.
Selain itu, kita juga hendaklah mengantarabangsakan bahasa Melayu melalui peranan kita sebagaiduta kecil ketika berada di luar negara. Sama ada kita sebagai pelajar, pelancong, atau pekerja, kita mestilah sentiasa berusaha untuk menyebarluaskan bahasa Melayu dengan pelbagai cara. Ketika berada di luar negara, apalah salahnya jika kita mengajar rakan kita dari negara lain untuk mempelajari bahasa Melayu. Untuk menarik perhatian mereka, kita juga mestilah bersedia untuk mempelajari bahasa mereka. Jika kita bersedia untuk mempelajari bahasa mereka, mereka juga pasti bersedia untuk mempelajari bahasa kita.