19 July 2015

REVISI KOMSAS SPM 2015 - SIRI 16

GURINDAM 12 FASAL YANG KEENAM

Cahari olehmu akan sahabat,
Yang boleh dijadikan ubat.

Cahari olehmu akan guru,
Yang boleh tahukan tiap seteru.

Cahari olehmu akan isteri,
Yang boleh menyerahkan diri.

Cahari olehmu akan kawan,
Pilih segala orang setiawan.

Soalan berdasarkan maksud

(i)   Berikan maksud ‘Cahari olehmu akan sahabat, Yang boleh dijadikan ubat’. [2M]
-          Carilah sahabat yang baik agar dapat membantu kita semasa kesusahan

Soalan berdasarkan petikan

(i)   Apakah saranan pengarang dalam rangkap pertama gurindam di atas? (2M)
Saranan pengarang dalam rangkap pertama gurindam di atas ialah mencari teman yang dapat membantu kita ketika susah dan senang.



Soalan berdasarkan pendapat (KBAT)

(i) Dalam gurindam di atas, pengarang ada menyentuh persoalan pemilihan sahabat setiawan. Pada pendapat anda, mengapakah kita memerlukan sahabat dalam kehidupan? (3M)
Pada pendapat saya, kita memerlukan sahabat dalam kehidupan untuk menjadi pendengar dan tempat kita meluahkan masalah serta tempat kita meminta pertolongan ketika susah. Kita memerlukan sahabat juga kerana sahabat boleh menjadi tempat kita berkongsi pengalaman hidup.

(ii) Dalam gurindam tersebut, penyair ada menyuruh kita mencari kawan. Pada pendapat anda apakah ciri-ciri kawan yang baik?
Ciri-ciri kawan yang baik:
         sedia memberi bantuan ketika kita ditimpa musibah
         sentiasa bersama sewaktu susah dan senang
         sentiasa menjaga maruah kitaltidak mengaibkan kita
         sentiasa mendorong kita ke arah kebaikan

(iii)  Rangkap pertama gurindam memberi nasihat cara mencari sahabat. Jika anda ingin mencari sahabat, apakah ciri-ciri sahabat sejati yang menjadi pilihan anda? [3M]
-          Akhlak terpuji
-          Rajin menuntut ilmu
-          Membantu ketika dalam kesusahan
-          Menghormati orang tua
-          Mendorong mencapai kejayaan duni dan akhirat

(iv)  Pada pendapat anda, mengapakah kita disarankan supaya memilih kawan yang baik. Berikan tiga sebab. [3M]
Tiga sebab kita disarankan supaya memilih kawan yang baik:
         membantu ketika susah dan senang.
         menunjukkan teladan yang baik
         mengelakkan diri terlibat dengan kegiatan yang negatif/ tidak bermoral.
         kawan yang baik sentiasa mengajak ke arah kebaikan
         bersedia mendengar masalah
         membantu dalam pelajaran.

Soalan berdasarkan aspek KOMSAS

(i) Huraikan dua persoalan yang terdapat dalam gurindam di atas. (4M)
Dua persoalan yang terdapat dalam petikan gurindam ialah kepentingan memilih sahabat yang sejati. Sahabat yang sejati akan sentiasa membantu kita ketika menghadapi kesusahan. Persoalan kedua ialah kebijaksanaan memilih isteri sebagai teman hidup. Seseorang isteri yang baik ialah isteri yang taat akan suami dan sentiasa di sisi suami ketika senang dan susah.

(ii) Kemukakan dua pengajaran yang terdapat dalam gurindam tersebut. [4M]
Dua pengajaran :
*  Kita mestilah mencari sahabat yang baik agar dapat membantu kita semasa kita berada dalam kesusahan - Sahabat yang sejati akan sentiasa membantu kita ketika menghadapi kesusahan 
* Kita hendaklah mencari guru yang baik agar kita dapat membezakan antara yang baik 
dengan yang buruk – Guru yang baik ialah guru yang benar-benar berilmu dan dapat 
menyelesaikan setiap kemusykilan
* Seseorang lelaki hendaklah mencari isteri yang dapat berbakti dengan ikhlas demi 
kebahagiaan rumah tangga - Seseorang isteri yang baik ialah isteri yang taat akan suami dan 
sentiasa di sisi suami ketika senang dan susah.
* Kita hendaklah mencari kawan yang jujur dan setia supaya aib kita sentiasa terpelihara –  
Kawan yang baik ialah kawan yang mementingkan semangat setiakawan

(iii) Huraikan dua nilai yang terdapat dalam gurindam ini. [4M]
Dua nilai murni:
Nilai kebijaksanaan – kebijaksanaan seseorang memilih sahabat, guru dan isteri akan memberi  
   manfaat kepadanya.
Nilai ketaatan/kesetiaan – seorang isteri perlu taat dan setia kepada suaminya.
Nilai keikhlasan – seseorang sahabat perlu ikhlas dalam menjalinkan perhubungan. 
* Nilai setiakawan – seseorang itu perlu memilih kawan yang setia

No comments :

Post a Comment

[ TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBACA ]