16 July 2015

REVISI KOMSAS SPM 2015 - SIRI 12B

PETIKAN 10

Maka kata Bayan, “Hai perempuan, sungguhkah engkau hendak balik kepada suamimu?” Setelah didengar oleh perempuan itu bunyi suara demikian itu, maka pada hatinya perempuan itu suara dari dalam kubur inilah. Maka kata perempuan itu, “Ya Tuhanku hambamu hendak kembali kepada suami hambamu kerana sangat hambamu dahaga, ya Tuhanku!” Maka kata bayan itu, “Bahawa pekerjaanmu berbuat khianat itu akan suamimu itu hendaklah segera engkau bertaubat, maka bertaubatlah engkau ke mari.” Maka kata perempuan itu, “Demi Allah bahawasanya sudahlah hambamu kerjakan seperti kata tuan hamba itu.” Maka kata Bayan itu, “Cukurlah rambutmu dahulu dan bulu keningmu sekali, maka aku mahu memulangkan engkau dengan suamimu,” Maka dikerjakan oeh perempuan itu seperti kata bayan itu.

Setelah sudah maka ia pun pulanglah kepada makam itu. Maka Bayan itu pun menunjukkan dirinya kepada perempuan itu seraya katanya, “Bedebah yang tiada berbudi engkau! Inilah orang yang kena murka kerana tiada malu. Sungguhpun ia Syeikh dan wali masakan ia berkata-kata dari kuburnya, melain akulah yang berkata kerana ingin membalas pekerjaanmu dahulu itu.”

i.    Apakah maksud ‘membalas pekerjaanmu’? [2M]
·         melunas / melangsaikan perbuatan tersebut

ii.  Nyatakan tiga syarat yang dikemukakan Bayan kepada perempuan itu untuk dia kembali semula kepada suaminya? [3M]
·         bertaubat atas perbuatan khianat terhadap suami
·         mencukur rambut
·         mencukur kening

iii. Sekiranya anda ialah perempuan itu, adakah anda akan menerima syarat yang dikemukakan oleh Bayan tersebut? Berikan tiga alasan anda. [3M]
Terima kerana:
·         rasa berdosa kepada suami
·         ingin kembali hidup bersama-sama dengan suami
·         hukuman yang diberikan tidak berat dan setimpal

---------------------------------------------------------------------------------------------------------------------
PETIKAN 11

Setelah Bayan itu mendengar kata Khoja Maimun, maka katanya , “Hai Khoja Maimun, sungguhlah hamba ini sekepal, tetapi hati hamba di mana tuan tahu? Akan sekalian alam ini di bawah tilik hamba dan hamba ini bukannya seperti unggas yang lain; tetapi bukan hamba ini daripada unggas syurga dan daripada bangsa malaikat, dan bukan hamba daripada jin, tetapi hamba Allah Taala, senantiasa memuji-muji Allah Azzawajalla; dan akan hati hamba ini, yang akan datang sepuluh hari sudah hamba ketahui sebarang halnya. Adapun akan sekarang ini tiga hari lagi datanglah kafilah dari negeri Babil hendak membeli dagangan yang bernama sanbal. Jikalau tuan hamba hendak membeli hamba, bertangguhlah dahulu kepada orang yang menjual hamba ini, dan tuan hamba kampungkanlah sanbal dalam negeri ini; apabila datang kafilah itu, tuan hamba juallah; insyaAllah daripada laba sanbal itulah tuan hamba beli hamba.”

Setelah Khoja Maimun mendengar kata Bayan itu, terlalulah sangat sukacitanya seraya katanya kepada orang itu, “Tuan hamba berikanlah hamba burung ini, darihal harganya hamba minta bertangguh dahulu.”

i.    Apakah maksud ‘darihal harganya hamba minta bertangguh dahulu’? [2M]
·         mengenai nilai barang, saya mahu beritahu kemudian

ii. Bayan menceritakan keistimewaan Bayan kepada Khoja Maimun agar Khoja Maimun membelinya. Nyatakan tiga keistimewaan Bayan seperti yang dijelaskan Bayan kepada Khoja Maimun. [3M]
·         seluruh alam di bawah pandangannya
·         seekor burung yang taat kepada Allah dengan sentiasa memuji akan kebesaran Allah
·         Bayan dapat mengetahui kejadian sepuluh hari mendatang

iii. Bayan sengaja menceritakan kehebatannya kepada Khoja Maimun. Pada pandangan anda, mengapakah seseorang sanggup menceritakan kebolehannya kepada orang lain? Berikan tiga sebab hal tersebut boleh terjadi. [3M]
·     Sesetengah orang sanggup menceritakan kebolehan diri sendiri untuk meyakinkan orang lain akan kehebatannya, dengan harapan diberi tanggungjawab, jawatan atau pangkat yang sesuai
·    Selain itu, untuk menutup kelemahan yang dimiliki agar tidak disisihkan daripada kumpulan
·         untuk menarik perhatian kumpulan agar sikap dan kata-katanya sentiasa dipercayai.

---------------------------------------------------------------------------------------------------------------------
PETIKAN 12

Setelah sudah maka anak raja itu pun menyimpang ke rumah seorang perempuan. Setelah sampai anak raja itu pun berkata kepada perempuan itu, “Hai ibuku, pergilah sampaikan kepada perempuan itu, katakan aku suruh kepada orang itu, katakan aku berkehendakkan dia dengan barang-barang tipu daya ibu akan meluluskan maksud aku ini!” Setelah didengar oleh orang tua itu segeralah ia pergi kepada isterinya Khoja Maimun itu. Setelah ia sampai, maka segala pesan anak raja itu pun habis sekaliannya dikatakannya oleh perempuan tua itu, serta dengan manis mulutnya berkata-kata, berapa peluk cumbu-cumbuan akan yang memberi berahi dikatakannya.

Setelah isteri Khoja Maimun mendengar kata orang tua itu, maka hatinya pun terikatlah akan anak raja itu dan api yang berahi itu pun nyalalah di dalam dadanya itu. Maka Bibi Zainab pun berkehendaklah akan anak raja itu seraya katanya, “Hai ibuku, baiklah katakan kepada anak raja itu hamba punya sembah maka ampun banyak-banyak pada anak raja itu! Sekarang malam hamba mendapatkan anak raja itu, tetapi jangan ibuku katakan seorang jua pun rahsia ini. Bukan sebarang ini, mati sahaya, anak raja tiada akan mati, sahaya juga yang mati!” Setelah orang tua itu mendengar kata isteri Khoja Maimun demikian itu , maka ia pun segeralah kembali serta menyampaikan segala pesan Bibi Zainab kepada anak raja itu.

Sebermula maka tersebutlah perkataan isteri Khoja Maimun. Setelah hari malam, maka ia pun memakai pakaian yang amat indah-indah dan memakai bau-bauan yang amat harum baunya, hendak pergi mendapatkan anak raja itu. Setelah sudah maka ia pun keluar hendak berjalan.

i.   Apakah maksud ‘hatinya pun terikatlah akan anak raja itu’? [2M]
·         Bibi Zainab terpikat kepada putera tersebut

ii.  Nyatakan pesanan Bibi Zainab kepada anak raja. [3M]
·     Bibi Zainab memohon ampun kepada anak raja. Dia berpesan bahawa dia akan menemui anak raja itu pada waktu malamnya.

iii. Pada pendapat anda, wajarkah Bibi Zainab menemui anak raja itu?
Berikan tiga alasan anda. [3M]
·         Tidak wajar kerana:
*  tindakan itu akan mendorongnya melakukan perbuatan sumbang dan terkutuk apatah lagi dia telah lama ditinggalkan oleh suaminya
*  Pada masa itu anak raja pula memang mempunyai niat tidak baik terhadap Bibi Zainab yang mempunyai kecantikan yang tiada tolok bandingnya di negeri itu.
*  Selain itu, sebagai isteri, Bibi Zainab harus sedar bahawa tindakannya menemui anak raja itu ketika suaminya tiada di rumah akan menjatuhkan maruah dirinya dan nama baik suaminya.

---------------------------------------------------------------------------------------------------------------------
PETIKAN 13

Setelah didengar oleh saudagar titah raja itu, maka sembah saudagar itu, “Ya tuanku, di manakah tuanku tahukan isteri hambamu?” Maka dikhabarkan oleh raja segala perihal ehwalnya itu, habis dikatakan kepada saudagar itu. Setelah sudah berkata-kata, maka saudagar pun bermohonlah kepada raja itu hendak kembali ke negerinya kerana musim pun sudah sampai. Maka ia pun memberi anugerah saudagar itu, dipersalinnya dengan pakaian yang mulia-mulia. Setelah sudah, saudagar itu menjunjung duli yang mulia-mulia. Setelah sudah, saudagar itu menjunjung duli lalu berjalan ke negerinya. Setelah sampai kepada isterinya kasih saudagar pun makin sangat bertambah-tambah kepada isterinya.

Maka kata Bayan, “Demikianlah hikayat orang yang bijaksana, hartanya pun banyak diperolehnya dan nama yang jahat pun dilepaslah. Bermula nama yang baik juga diperolehnya, disebut orang dari dunia datang ke akhirat. Akan sekarang baiklah tuan hamba pergi kerana anak raja itu menanti tuan.” Maka isteri Khoja Maimun pun turunlah berjalan baru tiga langkah, maka hari pun siang, lalu balik ke rumahnya duduk dengan percintaannya serta berahinya akan anak raja itu.

i.    Apakah maksud rangkai kata ‘segala perihal ehwalnya’? [2M]
·         semua yang berkaitan dengan kejadian yang berlaku
ii.  Apakah kisah orang yang bijaksana yang terdapat dalam petikan? [3M]
·         kisah orang yang bijaksana adalah tentang harta banyak yang diperolehnya
·         dapat menghilangkan nama yang buruk
·         nama yang baik juga diperoleh yang akan disebut orang dari dunia hingga ke akhirat

iii. Isteri Khoja Maimun masih gagal menemui putera raja. Pada pendapat anda,     mengapakah seorang isteri perlu menjaga maruah diri? [3M]
·         untuk menimbulkan kepercayaan dan penghormatan orang ramai terhadapnya
·         untuk menjaga nama, maruah suami dan keluarganya
·         untuk menjamin keharmonian pasangan suami isteri

---------------------------------------------------------------------------------------------------------------------
PETIKAN 14

Setelah isterinya mendengar kata suaminya itu, maka perempuan itu pun tersenyum seraya katanya, “Patutlah maka tuan hamba tiada mahu belayar mencari makan. Tidakkah tuan mendengar suatu hikayat?” Maka kata suaminya, “Betapakah hikayat itu, ceterakan olehmu supaya aku dengar.” Maka kata isterinya, “Ada seorang laki-laki berbagai-bagai ia diperbuat oleh isterinya tiada juga ia marah, dan perempuan itu pun hairanlah melihatkan hal suaminya itu.”

Syahadan adalah pada suatu hari maka fikirlah perempuan itu, “Bahawa banyak benci juga rupanya suami aku ini akan aku, maka demikian ini lakunya, tetapi baik juga aku cuba juga dahului.” Setelah sudah ia berfikir itu maka dipanggilnya seorang perempuan, daripada kejahatannya, maka diberinya memakai cara laki-laki, lalu dibawanya naik ke rumahnya, lalu di hadapan suaminya, itu pun tiada juga ia berkata-kata akan isterinya. Maka perempuan itu pun berkata kepada suaminya, “Apa juga mulanya maka tuan hamba tiada menaruh cemburuan akan hamba? Berbagai-bagai laku hamba tiada juga tuan hamba gusarkan hamba.” Maka kata suaminya, “Sebab pun aku tiada menaruh cemburuan itu, oleh sebab aku sudah melihat orang cemburuan diperduakan oleh isterinya dan berapa laki-laki diperdayakannya berbagai-bagai pulak oleh isterinya itu.” Maka sahut isterinya, “Apakah penglihatan tuan hamba itu?” Maka kata suaminya, “Adalah seorang laki-laki dapat ia menjadikan dirinya gajah, tetapi akan laki-laki itu amat cemburuannya. Apabila ia hendak berjalan maka dijadikan dirinya gajah hikmat, diadakannya suatu baluhan di atas belakangnya, dibawanya berjalan ke sana sini akan isterinya itu, daripada ia tiada percaya dan sangat cemburuan, takut akan isterinya bermukah.

i.   Apakah maksud rangkai kata ‘tiada juga tuan hamba gusarkan hamba’? [2M]
·         mengapakah tuan tidak memarahi saya

ii.  Berdasarkan petikan di atas, mengapakah si isteri bercerita? [3M]
·         mengurangkan sikap cemburu buta suaminya
·         menggalakkan suaminya belayar untuk mencari rezeki yang halal
·   meyakinkan suaminya bahawa dia tidak akan curang sewaktu suaminya tiada di rumahnya

iii.   Nyatakan kepentingan-kepentingan memelihara institusi keluarga dalam sesebuah  masyarakat. [3M]
·         dapat mengekalkan budaya hidup berkeluarga
·         dapat membentuk akhlak dan sahsiah anak-anak
·         dapat melahirkan anak-anak yang berjaya dalam pelajaran

---------------------------------------------------------------------------------------------------------------------
PETIKAN 14

“Hai Raja, kepada hati raja hamba ini seperti perempuan yang lain itukah? Maka raja tiada tahu malu dan sopan kepada segala manusia dan tidak takut akan azab Allah Taala. Jikalau hamba mengerjakan pekerjaan yang demikian itu dan lagi tiada diperkenankan oleh Allah sebagai lagi tiada pada segala makhluk, muka yang mana hamba hendak pandangkan kepada orang, dan apalah jawab tatkala di Padang Masyar di hadapan penghulu hamba Yang Maha Mulia itu. Bahawa sesungguhnya pekerjaan itu akan masyhur juga akhirnya dan lagi apabila didengar oleh suami hamba, nescaya matilah hamba dibunuhnya. Syahadan lagi jikalau perempuan yang tiada berbudi lagi hina zahil akalnya itu redalah ia dapat malu dianya, tiada takut azab Allah Taala di dalam neraka jahanam lima ratus ribu tahun lamanya itu, tiada ia takut asalkan ia dapat. Demikianlah hamba dengar perihal orang yang menduakan suaminya itu. Adapun raja jikalau hamba hendak berbuat khianat atas hamba raja dapat hamba perikan dia itu.”

Setelah didengar oleh raja kata isteri saudagar itu, maka raja pun tersenyum lalu bertitah “Hai ibuku, bahawa sesungguhnya telah taubatlah hamba daripada pekerjaan yang jahat ini!” Maka emas yang dibawanya itu pun habislah diberi raja kepada isteri saudagar itu.

i.   Berikan maksud ‘pekerjaan itu akan masyhur’. [2M]
·         perbuatan itu tersebar

ii. Mengapakah isteri saudagar tidak mahu melakukan perbuatan menduakan suami? Nyatakan tiga sebab berdasarkan petikan di atas. [3M]
·         dia tidak mahu menanggung malu
·         dia takut dibunuh oleh suaminya
·         dia takut akan soal jawab di padang mahsyar
·         dia takut dimasukkan ke dalam neraka selama lima ratus ribu tahun

iii.  Pada pandangan anda, apakah langkah-langkah yang dapat dilakukan untuk mengelakkan dugaan seperti yang dihadapi oleh isteri saudagar? Kemukakan tiga langkah yang sesuai. [3M]
·         banyakkan berdoa kepada Tuhan
·         tinggal sementara dengan keluarga
·         membataskan pergaulan dengan orang lain
·         banyakkan beribadat bagi meningkatkan keimanan diri

---------------------------------------------------------------------------------------------------------------------
PETIKAN 15

Setelah dilihat oleh Bayan kelakuan Bibi Zainab membunuh Tiung itu tiada dengan semena-mena, maka ia pun mendiamkan dirinya berbuat tidur. Maka isteri Khoja Maimun pun pergilah mendapatkan Bayan itu serta dibangunkannya. Maka Bayan pun berpura-pura terkejut seraya berkata, “Apakah pekerjaan tuan hamba membangunkan hamba ini dan hendak ke mana tuan maka datang malam-malam buta ini?” Maka datang ujar Bibi Zainab, “Hai Bayan, berilah aku izin supaya aku pergi mendapatkan anak raja itu, kerana aku sangat berahi akan dia! Betapakah bicaramu?”

Setelah Bayan mendengar kata Bibi Zainab itu lalu ia pun fikir seketika di dalam hatinya. “Jikalau tiada kuturutkan kehendaknya kalau-kalau aku diperbuatnya seperti Tiung itu! Jikalau demikian, baiklah kusuruhkan ia pergi tetapi insya-Allah Taala perempuan ini aku perlalaikan juga akan dikau!” Setelah sudah ia berfikir itu maka ujarnya, “Hai Siti yang mulia yang amat elok paras, jikalau demikian baiklah tuan segera mendapatkan anak raja itu, kerana tuan sudah berjanji dengan dia, supaya jangan kedapatan kata kepada anak raja itu kelaknya! Tuan pun sangat bebal oleh bertanya kepada Tiung itu daripada sebab dia pun ingin juga, bagaimanapun adalah dengkinya juga akan tuannya, baiknya belum terlanjur fikirnya pekerjaan tuan. Jikalau sudah, ialah esok yang memberitahu kepada tuan yang laki-laki! Adapun akan bahagian hamba ini haraplah tuan yang kejahatan sekalipun pekerjaan tuan, insya-Allah Taala di atas hamba membaikkan dia.

i.  Berikan maksud ‘aku perlalaikan juga akan dikau’. [2M]
·         aku lekakan engkau

ii. Nyatakan tiga perbuatan yang menunjukkan kebijaksanaan Bayan. [3M]
·      berpura-pura tidur bagi mengelakkan tuannya tahu yang dia melihat kejadian Tiung dibunuh
·         berpura-pura memberikan keizinan
·         berfikir sebelum mengambil tindakan

iii. Apakah yang anda akan lakukan bagi mengelakkan rakan anda daripada         melakukan perbuatan yang salah? Kemukakan tiga pendapat anda. [3M]
·         menasihatinya dengan cara yang lemah lembut
·         mengajaknya mengingati dan mematuhi ajaran agama
·         memberitahu kesan buruk yang akan ditanggung sebagai akibat perbuatan salah itu.

---------------------------------------------------------------------------------------------------------------------
PETIKAN 16

Sebermula setelah isteri Khoja Maimun mendengar kata Tiung itu maka ia pun terlalu marahnya, serta disentapkannya dari sangkarnya lalu dihempaskannya seraya  katanya, “Tak kusangka engkau tiada menaruh kasihan rupanya sama perempuan!” Maka tiung itu pun matilah. Setelah dilihat oleh Bayan kelakuan Bibi Zainab membunuh Tiung itu tiada dengan semena-mena, maka ia pun mendiamkan diri berbuat tidur. Maka isteri Khoja Maimun pun pergilah mendapatkan Bayan itu serta dibangunkannya. Maka Bayan pun pura-pura terkejut seraya berkata, “Apakah pekerjaan tuan hamba membangunkan hamba ini dan hendak ke mana tuan maka datang malam-malam buta ini?” Maka datang ujar Bibi Zainab,”Hai Bayan, berilah aku izin supaya aku pergi mendapatkan anak raja itu, kerana aku sangat berahi akan dia! Betapakah bicaramu?

Setelah dilihat oleh Bayan kelakuan Bibi Zainab membunuh Tiung itu tiada dengan semena-mena, maka ia pun mendiamkan dirinya berbuat tidur. Maka isteri Khoja Maimun pun pergilah mendapatkan Bayan itu serta dibangunkannya. Maka Bayan pun berpura-pura terkejut seraya berkata, “Apakah pekerjaan tuan hamba membangunkan hamba ini dan hendak ke mana tuan maka datang malam-malam buta ini?” Maka datang ujar Bibi Zainab,”Hai Bayan, berilah aku izin supaya aku pergi mendapatkan anak raja itu, kerana aku sangat berahi akan dia! Betapakah bicaramu?”

Setelah Bayah mendengar kata Khoja Maimun itu lalu ia pun fikir seketika di dalam hatinya. “Jikalau tiada kuturutkan kehendaknya kalau-kalau aku diperbuatnya seperti Tiung itu! Jikalau demikian, baiklah kusuruhkan ia pergi tetapi insya-Allah Taala perempuan ini aku perlalaikan juga akan dikau!” Setelah sudah ia berfikir itu maka ujarnya, “Hai Siti yang mulia yang amat elok paras, jikalau demikian baiklah tuan segera mendapatkan anak raja itu, kerana tuan sudah berjanji dengan dia, supaya jangan kedapatan kata kepada anak raja itu kelaknya! Tuan pun sangat bebal oleh bertanya kepada Tiung itu daripada sebab dia pun ingin juga, bagaimanapun adalah dengkinya juga akan tuannya, baiknya belum terlanjur fikirnya pekerjaan tuan. Jikalau sudah, ialah esok yang memberitahu kepada tuan yang laki-laki! Adapun akan bahagian hamba ini haraplah tuan yang kejahatan sekalipun pekerjaan tuan, insya-Allah Taala di atas hamba membaikkan dia. Jikalau datang pun tuan yang laki-laki tiada mengapa. Baiklah tuan segera pergi! Kalau-kalau sudah tiba anak raja itu menanti tuan daripada hamba pun sangat hendak berbual, murkalah ia dengan tuan kelaknya. Apakah yang dicari oleh manusia di dalam dunia ini melainkan martabat, kekayaan, harta dan kejayaan? Tiada adalah yang lebih baik kepada martabat raja atau anak raja itu tetapi dengan ikhtiar juga. Akan hamba ini adalah seperti hikayat cetera seekor Bayan yang dicabut bulunya oleh isteri saudagar. Demikianlah adanya!

i. Berikan maksud ‘serta disentapkannya dari sangkarnya lalu dihempaskannya’ sebagaimana terdapat dalam petikan. [1M]
·         ditarik dengan kuat dari kurungannya lalu dilempar dengan kuatnya

ii.  Mengapakah Bayan berpura-pura tidur setelah melihat peristiwa Bibi Zainab dan Tiung? [3M]
·       kerana tidak mahu menerima nasib yang sama seperti Tiung yang telah dibunuh oleh Bibi Zainab
·     bayan tidak mahu Bibi Zainab mengetahui bahawa Bayan melihat peristiwa Tiung dibunuh oleh Bibi Zainab

 iii. Pada pendapat anda, wajarkah Bibi Zainab menemui anak raja itu? [4M]
         Tidak wajar kerana:
·         Bibi Zainab telah bersuami dan tidak wajar seorang isteri menemui lelaki lain
·         tidak wajar menduakan suami kerana perbuatan itu dilarang oleh agama.

---------------------------------------------------------------------------------------------------------------------
PETIKAN 17

Maka Taif pun berkata, “Hai perempuan, siapa engkau ini dan apa katamu?” Maka sahut perempuan itu, “Akulah yang mengawal istana raja itu. Telah aku keluarlah, siapa dapat kembalikan aku ke istana ini?” Maka kata Taif, “Apa erti katamu itu?” Maka kata perempuan itu, “Bahawa Raja Tabristan ini berpalinglah daulatnya dan umurnya pun singkatlah.” Maka sahut Taif, “Hai perempuan, betapakah perinya engkau kembali ke istana raja ini dan daulatnya raja pun akan bertambah-tambah dan umurnya pun dilanjut akan Allah?” Maka kata perempuan itu, “Sungguh-sungguhkah engkau hendak berbuat kebaktian akan raja itu? Jika engkau hendak akan bertambah-tambah daulatnya raja kamu itu dan umurnya pun dilanjutkan Allah, hendaklah engkau bunuh akan anakmu yang engkau kasihkan dengan tulus hatimu, supaya segera aku kembali ke istana raja kamu itu!” Telah Taif mendengar kata perempuan itu maka Taif pun segeralah ditangkap tangan anaknya. Maka segera dipegangkannya oleh perempuan itu seraya katanya, “Jangan engkau bunuh anakmu itu! Bahawa sesungguhnyalah telah kembalilah aku ke istana raja kamu, daripada tulus hati kamu dengan ikhlasnya hati kamu mengerjakan pekerjaan tuanmu itu. Adalah Allah Taala memberi balasan atas kejujuranmu dan keikhlasanmu kerana yang sempurna adalah Allah Taala jua. Maka raja kamu berbahagialah ia, dan daulatnya pun bertambah-tambah dan umurnya pun dilanjutkan Allah Taala!” Maka Taif pun dilepaskannya tangan anaknya itu lalu dibawanya kembali ke rumahnya.

i.  Bagaimanakah perempuan itu masuk ke dalam istana tanpa membunuh anak Taif? [2M]
·         kerana Taif telah bersetuju membunuh anaknya dengan hati yang ikhlas

ii. Berdasarkan petikan di atas, siapakah perempuan yang berkata-kata itu dan apakah keistimewaannya? [3M]
·         pengawal istana.
·      Keistimewaan perempuan itu jika dia dapat masuk ke dalam istana ialah daulat Raja Tabristan akan bertambah dan umur Raja Tabristan bertambah lanjut


iii. Pada pendapat anda, apakah amalan yang perlu dipraktikkan dalam kehidupan seharian? [3M]
·         membaca untuk menambah pengetahuan
·         memakan makanan yang berkhasiat dan seimbang
·         bersenam secara berterusan dan mengamalkan gaya hidup sihat

---------------------------------------------------------------------------------------------------------------------
PETIKAN 18

Hatta berapa lamanya Khoja Maimun belayar itu, maka datanglah cubaan Allah Taala atas hambanya, dengan demikian dicetera akan orang yang empunya cetera ini. Selama peninggalan Khoja Maimun belayar itu, sebermula ada pada suatu hari maka Bibi Zainab pun bercintalah akan suaminya. Maka ia pun pergilah duduk di tingkap mahligainya berangan-angan serta memandang pada jalan seraya itu maka pada ketika itu terpandanglah kepada anak raja di dalam negeri itu lalu berkuda hampir dengan mahligai isteri Khoja Maimun. Pada tatkala Bibi Zainab pun memandang ke bawah, maka terpandanglah kepada muka anak raja itu, pemandangan Bibi Zainab terlalu elok rupanya anak raja itu. Sebermula anak raja pun memandang kepada isteri Khoja Maimun, terlalu baik parasnya sama berjumpa matanya lalu dibawanya tersenyum oleh anak raja itu. Dengan takdir Allah Taala maka anak raja itu pun berahilah akan Bibi Zainab itu. Adapun akan Bibi Zainab itu pun tersangkutlah hatinya akan anak raja itu.

Setelah sudah maka anak raja itu pun menyimpang ke rumah seorang perempuan. Setelah sampai anak raja itu pun berkata kepada perempuan itu, “Hai ibuku, pergi sampaikan kepada perempuan itu, katakan aku suruh kepada orang itu, katakan aku berkehendakkan dia dengan barang-barang tipu daya ibu akan meluluskan maksud aku ini!”

i.  Apakah yang dimaksudkan dengan frasa ‘berkehendakkan dia dengan barang-barang tipu daya’? [2M]
·         memerlukan Bibi Zainab dengan apa-apa juga muslihat asalkan diperoleh

ii.   Nyatakan kelebihan anak raja itu sehingga Bibi Zainab terpikat kepadanya. [3M]
·         paras rupanya yang dipandang cantik oleh Bibi Zainab
·   anak raja itu mempunyai senyuman yang menawan yang dilemparkan semasa terpandang Bibi Zainab di tingkap mahligai
·       anak raja itu seorang yang dianggap berani dan sungguh-sungguh menyukai Bibi Zainab kerana mengirimkan perempuan utusan untuk menyatakan hasrat hatinya

 ii. Pada pendapat anda, wajarkah Bibi Zainab jatuh cinta kepada anak raja dan    kemudian berhasrat hendak menemuinya pula? [3M]
·         Tidak wajar kerana:
*  Bibi Zainab merupakan isteri saudagar Khoja Maimun
*  sebagai seorang isteri, dia perlu taat dan setia kepada suaminya
            * Bersikap curang merupakan dosa besar bagi seorang isteri

No comments :

Post a Comment

[ TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBACA ]