24 July 2015

REVISI KOMSAS SPM 2015 - SIRI 20

SYAIR PEMBERONTAKAN PATANI

Laksamana dititahkan Betara,
Ke negeri Patani berjalan segera,
Mendapat cogan Raja Senggora,
Akan menerima hukum dan dera.

Barang yang hendak dihukumkan,
Sekalian tidak boleh disalahkan,
Kesalahan pinta dimaafkan,
Pegawai yang dipegang itu dipohonkan.

Setelah demikian titah Betara,
Laksamana tiada berani dura,
Kerana negeri hendak dipelihara,
Kelak menjadi huru-hara.

Bonda duli mahkota indera,
Pada Laksamana emak saudara,
Sakit terlantar hampir bermara,
Meninggalkan dia tiada terkira.

Daripada kerja terlalu berat,
Ke atas negeri hendak mudarat,
Jadilah dititahkan duli hadirat,
Bimbang dan masghul di suruh kerat.

Tiadalah lagi terkata-kata,
Sudah dengan titah sang nata,
Diputuslah hati yang bercinta,
Kepada Allah diserah semata.

Niat Laksamana yang pegari,
Daulat baginda barang berdiri,
Jika selamat sentosa negeri,
Biarlah susah di atas diri.

Berjalan ia berhati hampa,
Bonda yang sakit tiada dilupa,
Kerana sakit berat menimpah,
Yakin hatinya tiada berjumpa.

Daripada sudah dimikian peri,
Keberatan tertanggung di atas negeri,
Yang sakit itu seorang diri,
Bala yang datang meliput negeri.

Jadilah dititahkan Seri Betara,
Tiadalah lagi terkira-kira,
Berjalanlah pergi bersegera-segera,
Mendapat cogan Raja Senggora.


Soalan berdasarkan petikan

(i)   Mengapakah Laksamana bersedia untuk melaksanakan perkara yang dititahkan oleh raja?
Laksamana bersedia untuk melaksanakan perkara yang dititahkan oleh raja bagi membuktikan ketaatannya kepada raja. Selain itu, Laksamana juga ingin mengelakkan negara dilanda huru-hara.

(ii)   Nyatakan dua perintah Betara kepada Laksamana dalam syair tersebut.
-          Betara memerintahkan Laksamana pergi ke negeri Patani dengan segera
-          Betara memerintahkan Laksamana supaya menerima arahan daripada Raja
    Senggora.

(iii)  Bagaimanakah perasaan Laksamana apabila menerima perintah daripada Raja Senggora?
Laksamana dalam keadaan serba salah kerana terpaksa meninggalkan ibu saudaranya sakit tenat.


Soalan berdasarkan maksud

Terangkan maksud rangkai kata 'tiada berani dura'.
Maksud 'tiada berani dura' adalah tidak berani menunjukkan kebimbangan.


Soalan berdasarkan pendapat (KBAT)

(i)    Apakah yang akan terjadi kepada Laksamana jika enggan mematuhi arahan Betara?
       Jika Laksamana enggan mematuhi arahan Betara:
-          Laksamana akan dianggap sebagai penderhaka
-          Jawatannya sebagai laksamana akan dilucutkan
-          beliau akan dibuang negeri

(ii)      Pada pendapat anda, mengapakah golongan raja digambarkan sebagai golongan yang memiliki daulat yang tinggi?
Golongan raja digambarkan sebagai golongan yang memiliki daulat yang tinggi untuk:
-          mengangkat imej mereka
-          mewujudkan rasa taat setia dan patuh dalam kalangan rakyat
-          menimbulkan rasa takut kepada pihak luar atau musuh.

(iii)     Pada pendapat anda, mengapakah kita perlu mengutamakan kepentingan negara daripada hal peribadi?
Kita perlu mengutamakan kepentingan negara daripada hal peribadi untuk:
-          memastikan negara dalam keadaan aman
-          menunjukkan rasa cinta akan tanah air
-          kerana negara memerlukan rakyat untuk mencapai kemajuan.


Soalan berdasarkan aspek KOMSAS

Huraikan perwatakan Laksamana seperti yang terdapat dalam syair tersebut.
-     Seorang yang bertanggungjawab. Walaupun berhadapan dengan tugas berat, Laksamana tidak berani menunjukkan rasa gelisah, risau atau susah hati justeru beliau bertanggungjawab menjaga keamanan negara.
-      Seorang yang penyayang. Pada masa yang sama, bonda Duli Mahkota Indera iaitu emak saudara laksamana sudah lama gering dan laksamana tidak sanggup meninggalkan baginda.
-   Seorang yang bersemangat patriotik. Walaupun dengan berat hati, laksamana tetap menjunjung perintah betara dengan menolak ke tepi sebarang perasaan bimbang dan sedih apabila menggalas tanggungjawab negara.

-    Seorang yang berfikiran rasional. Sudah tersurat bahawa masalah yang dihadapi dalam 

     negeri lebih berat berbanding dengan masalah bondanya yang sakit seorang diri kerana 
     melibatkan rakyat jelata.

No comments :

Post a Comment

[ TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBACA ]