17 July 2015

REVISI KOMSAS SPM 2015 - SIRI 15

SYAIR SITI SIANAH

Setengahnya perempuan terlalu janggalnya,
Roma di muka pula dicukurnya,
Seperti taji berandam di keningnya,
Kemudian memakai dengan selengkapnya.

Mengagak mengilai terlalu suka,
Melihat laki-laki ditampakkan muka,
Supaya laki-laki boleh menyangka,
Ianya elok tiada terhingga.

Sesetengah perempuan sangat pesolek,
Berhias berdandan berpakai molek,
Di dalam cermin muka ditelek,
kanan dan kiri dibelek-belek.

Meskipun tiada berapa eloknya,
Ada yang setengah kembang hidungnya,
Serta pula kepik batangnya,
Seperti buaya besar mulutnya.

Setengah perempuan perangainya cela,
Habis dipenuh rambut kepala,
Rambut yang sikit disiputnya pula,
Memakai cemara berjela-jela.

Terkandang muka dibubuh pupuri,
Kaki dan tangan, lengan dan jari,
Jadilah rupanya putih berseri,
Pekerjaan tipu sangat digemari.

Sesetengah perempuan yang makan angkat,
Memakai gelang bertingkat-tingkat,
Memandang laki-laki matanya lekat,
Dengan jantan suka berdekat.

Kaki dan tangan dinaikkan pula,
Pura-pura dikatakan ubat segala,
Hakikatnya diketahui Allah Taala,
Supaya laki-laki berhati gila.

Berlindunglah kita kepada Allah,
Daripada perbuatan yang amat salah,
Mudah-mudahan dilepaskanlah,
Jangan menjadi betina sempolah.

Sesetengahnya suka bermain judi.
Inilah perangai banyak terjadi,
Habis tergadai intan serudi,
Kerana perangai sudah membadi.

Laki-laki perempuan bertindih lutut,
Banyaklah kelakuan yang tidak patut,
Sembahyang ibadat sudahlah bantut,
Kerana svaitan duduk dibuntut.

Soalan berdasarkan petikan

(i)  Berikan gambaran wanita yang terdapat dalam syair di atas. [3M]
- Mencukur bulu kening sehingga tajam
- Ketawa mengilai-gilai
- Menunjuk-nunjuk rupa paras kepada lelaki
- Suka bersolek/berdandan/berhias

(ii) Nyatakan sifat-sifat negatif wanita berdasarkan Syair Siti Sianah. [2M]
        Antara sifat negatif wanita berdasarkan Syair Siti Sianah ialah mencukur bulu roma di  
        muka dan di kening. Selain itu, terdapat juga wanita yang ketawa mengilai-ngilai dan
        berhias dengan tujuan memikat lelaki.

(iii) Berikan dua gambaran wanita yang terdapat dalam syair ini. [2M]
-     wanita yang berperangai janggal kerana mencukur bulu roma di muka dan kening sehingga tajam
-          wanita yang ketawa mengilai-ngilai dan menunjuk-nunjukkan mukanya kepada lelaki
-          wanita yang suka bersolek, berdandan, atau berhias

(iv) Berdasarkan rangkap kedua, apakah tujuan sesetengah perempuan itu bersolek?   
        [2M]
-          Supaya mereka kelihatan cantik pada pandangan lelaki.

(v)       Berikan maksud ‘jangan menjadi betina sempolah’. [2M]
-          wanita dilarang agar tidak menjadi sampah masyarakat / tidak berguna.

(vi)    Berikan maksud cemara. [2M]
-          rambut palsu

(vii)  Berikan maksud ‘memakai cemara berjela-jela’ dalam syair ini. [2M]
-          memakai rambut palsu yang terlalu panjang

************************************************************************************

Soalan berdasarkan pendapat

(i) Dalam rangkap akhir syair ini ada dinyatakan tentang gejala sosial yang berlaku. Pada pandangan anda, apakah langkah-langkah yang dapat dilakukan bagi mengatasi gejala tersebut? [3M]
-          Taat akan suruhan agama
-          Program keagamaan perlu lebih banyak/kerap
-          Ibu bapa perlu mengawasi anak-anak
-          Peranan guru, PIBG dan sebagainya dalam memberi kesedaran
-          Kecaknaan masyarakat  terlibat dalam pencegahan
-          Peranan media dalam melaksanakan kempen bahaya gejala sosial
-          Pihak berkuasa perlu lebih tegas dalam mengenakan tindakan

(ii) Golongan lelaki wajar bertanggungjawab terhadap golongan wanita. Pada pendapat anda, apakah tanggungjawab tersebut? Nyatakan tiga bentuk tanggungjawab itu.  [3M]
-          tidak menindas atau mengeksploitasi golongan wanita
-          membimbing golongan wanita ke jalan yang benar
-          menjaga kehormatan seseorang wanita

(iii)  Sebagai rakan yang prihatin, apakah tindakan yang akan anda ambil sekiranya rakan perempuan di sekolah anda berperangai buruk? Nyatakan tiga tindakan tersebut.  [3M]
-          menasihatinya agar meninggalkan perangai buruknya
-          memberitahu ibu bapanya supaya mereka dapat
-          membimbingnya dan mendoakannya agar diberikan petunjuk

(iv) Pada pendapat anda, apakah punca-punca yang mendorong sesetengah remaja bergaul secara bebas? Berikan tiga punca. [3M]
-          terpengaruh oleh rakan sebaya
-          terpengaruh oleh media massa
-          suka mencuba sesuatu yang baharu
-          gagal membezakan yang baik dengan yang buruk

(v)  Mengapakah seseorang perempuan itu dilarang berhias secara keterlaluan? Berikan tiga pendapat anda tentang perkara tersebut. [3M]
-          menimbulkan tarikan kepada lelaki untuk berbuat jahat
-          menjatuhkan maruah sebagai seorang wanita
-          dilarang oleh agama
-          merosakkan sistem atau norma masyarakat

(vi) Dalam rangkap kesebelas syair ini, dinyatakan perlakuan antara lelaki dan perempuan yang tidak patut dilakukan. Pada pendapat anda, apakah cara terbaik untuk mengelakkan gejala ini daripada menular dalam kalangan anak-anak? (3M)
Pada pendapat saya, cara terbaik untuk mengelakkan gejala ini daripada menular adalah dengan mendidik anak-anak sedari kecil tentang kesopanan diri. Selain itu, anak-anak mesti diberitahu tentang keburukan dan akibat yang mungkin berlaku daripada perlakuan seperti itu. Akhirnya, ibu bapa hendaklah sentiasa berusaha memberi perhatian dan mengawasi pergaulan anak-anak dan mengambil sikap menegur jika berlaku gejala ini.

(vii)  Jelaskan tiga kesan pergaulan bebas antara lelaki dengan perempuan. [3M]
-          pergauian bebas dilaknati oleh Tuhan / menyalahi nilai moral
-          mendorong kepada perlakuan zina
-          wanita mengandung anak luar nikah
-          bayi yang tidak berdosa dibuang di merata-rata tempat

**************************************************************************************

Soalan berdasarkan aspek KOMSAS

(i) Nyatakan pengajaran yang terdapat dalam syair tersebut. [3M]
      Pengajaran:
-          Seseorang wanita perlu bersederhana dalam penampilan diri
-          Seseorang wanita yang berada di khalayak ramai perlu bersopan santun seperti jangan ketawa mengilai-ngilai.
-          Golongan wanita sepatutnya tidak keterlaluan dalam menghiaskan diri.
-          Golongan wanita seharusnya bersyukur atas kejadian Tuhan terhadap dirinya.
-    Golongan wanita perlu bersikap jujur dan tidak seharusnya berniat untuk tidak memperdayakan orang lain.
-          Golongan wanita tidak harus berkawan dengan orang yang rendah akhlaknya.
-          Setiap wanita hendaklah menjaga perilaku mereka.
-     Kita haruslah sentiasa berdoa kepada Tuhan supaya dilindungi daripada pengaruh negatif.
-        Setiap wanita mestilah bertindak dan berfikir secara rasional dengan menjauhkan diri daripada amalan berjudi.
-          Setiap orang hendaklah mentaati ketetapan agama.
 (Pilih 3 pengajaran sahaja)

(ii)  Berikan dua persoalan yang terdapat dalam Syair Siti Sianah. [2M]
  Persoalan yang terdapat dalam Syair Siti Sianah ialah persoalan sikap wanita yang suka
        berhias hingga melanggar hukum syarak. Selain itu,  terdapat juga persoalan ketaaatan  
        kepada  Allah.

(iii) Jelaskan empat bentuk syair tersebut. [4M]
-          terdiri daripada sebelas rangkap
-          setiap rangkap terdiri daripada empat baris
-          mempunyai tiga hingga lima patah kata dalam setiap baris
-          rima akhirnya aaaa

(iv)    Bincangkan tiga latar masyarakat yang terdapat dalam syair di atas.
-      masyarakat yang terlalu mementingkan kecantikan diri : Terdapat wanita yang gemar bersolek, memasang badan dengan pakaian yang cantik, dan kerjanya hanya menghadap cermin untuk menghias wajah begitu lama.
-     masyarakat gila judi : Tabiat berjudi juga lekat kepada segelintir wanita sehinggakan mereka sanggup menggadaikan harta kerana kegilaan itu.
-       masyarakat yang lalai akan perintah Allah dan ajaran agama - Mereka telah dilalaikan oleh syaitan daripada mendirikan solat atau daripada mengerjakan ibadat lain.

(v)       Huraikan dua nilai kemanusiaan yang terdapat dalam syair tersebut. [4M]
-        memelihara maruah diri : tidak melakukan perkara yang tidak bermoral
-        kesyukuran : berterima kasih kepada Tuhan atas apa-apa yang telah dikurniakan kepada kita

(vi)          Huraikan dua persoalan yang terdapat dalam syair tersebut. [4M]
-      Sikap wanita yang suka berhias : Segelintir wanita berlebih-lebihan ketika berdandan seperti mencukur bulu roma di muka dan membentuk kening.
-       Wanita yang tidak sopan dan ingin menarik perhatian lelaki : Ada wanita yang sengaja cuba memancing perhatian lelaki dengan gelak ketawa yang berlebih-lebihan.
-          Golongan wanita yang sangat menitikberatkan kecantikan : Terdapat wanita yang gemar bersolek, memasang badan dengan pakaian yang cantik, dan kerjanya hanya menghadap cermin untuk menghias wajah begitu lama.

     -      Memohon perlindungan daripada Tuhan : Kaum wanita hendaklah berdoa supaya tidak 
            terjebak ke dalam kancah sampah masyarakat atau tidak berguna.

No comments :

Post a Comment

[ TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBACA ]